Anak yang enggan ke taska atau sekolah adalah suatu masalah yang normal yang sering dihadapi oleh kebanyakkan ibu bapa. Banyak sebab menjadi punca kepada masalah ini. Mungkin kerana anak merasa takut atau tertekan untuk datang ke sekolah, hal ini akan memberi kesan kepada si anak. Kadang-kadang kita mengambil ringan tentang tekanan yang dihadapi oleh anak ini.
Alamak, anak menangis! Macam mana ni?
Perkara ini perlu diambil perhatian kerana ia bukan sahaja menjejaskan emosi kanak-kanak tersebut, bahkan mampu menjejaskan sistem tubuh anak seperti selalu mengalami sakit kepala dan sakit perut. Yang pasti, mesti ada sesuatu sebab kenapa mereka tidak mahu pergi taska atau sekolah. Contohnya tidak suka pada guru yang garang, dibuli rakan, takut berpisah dengan ibu dan sebagainya. Selidiki punca masalah; apakah sebab anak tidak mahu pergi sekolah. Pujuk dan tanya kenapa dia tidak mahu pergi sekolah; adakah sebab kena buli, takut kawan atau guru atau sebagainya.
Apa Patut Anda Lakukan?
- Seelok-eloknya sebelum ingin hantar anak ke taska atau sekolah, anak sudah didedahkan dengan cerita mengenai taska/sekolah baru supaya emosinya lebih bersedia. Ceritakan suasana positif dan keseronokan di sekolah, seperti ada ramai kawan,guru yang baik, ada taman permainan dan sebagainya.
- Kita sendiri sebagai ibu bapa perlu cekal apabila menghantar dan meninggalkan anak buat pertama kali kerana emosi kita banyak mempengaruhi emosi anak.
- Cuba berfikiran positif dan elakkan daripada menunggu anak dalam kelas terlalu lama. Perkara ini akan menyukarkan proses penyesuaian. Tinggalkan saja anak sebaik menghantarnya ke taska/tadika walaupun dia menangis. Usah bimbang kerana biasanya anak akan diam selepas ibu atau bapa pulang.
- Pastikan juga kita tidak lewat mengambil anak pulang dari taska atau sekolah terutamanya pada minggu pertama. Biasanya kanak-kanak akan berasa takut apabila melihat kawan sudah pulang.
- Beri ganjaran (umpan) kepada anak yang tidak mahu ke taska/ sekolah dengan sesuatu yang disukai sekiranyanya dia rajin ke kelas tetapi elakkan daripada mengumpan anak dengan jajan dan mainan yang mahal. Teruslah menghantar anak ke taska/sekolah secara konsisten. Tidak konsisten akan melambatkan proses penyesuaian.
- Buat kerja rumah dan ulangkaji bersama-sama. Tanya hal-hal aktiviti, siapa kawan dia di sekolah dan sebagainya. Tunjukkan minat dan sokongan anda terhadapnya.
- Mungkin juga dia tidak suka pakaian harian yang tidak selesa. Oleh itu belikan mereka pakaian yang selesa dipakai.
Ini merupakan antara tips-tips yang Mama Papa boleh lakukan sekiranya anak menangis di sekolah. Semoga berjaya!