“Runsinglah saya setiap kali suruh anak belajar je, mesti dia buat perangai. Langsung tak minat nak belajar. Penat tau hari-hari nak kena marah dulu barulah dia nak buka buku.”
Menghadapi situasi anak malas dan enggan belajar pastinya membuatkan para ibu bapa tertekan. Masakan tidak? Semua parents mendambakan anak-anak untuk berjaya dalam pelajaran mereka.
Jika kemalasan dibiarkan membelenggu dalam diri anak-anak, bukan setakat risau dengan masa depannya nanti, namun lebih utama adalah pembentukan disiplin anak-anak khususnya dalam sifat untuk mencintai ilmu pelajaran.
Malah, dengan pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit daripada ibu bapa demi memastikan anak-anak tidak keciciran dalam pembelajaran menjadi antara faktor utama mengapa si kecil tidak boleh dibiarkan terus bermalasan untuk belajar,
Ditelan mati mak, diluah mati bapak. Mungkin ini peribahasa sesuai untuk golongan parents yang terpaksa berhadapan kerenah anak sebegini. Jika disuruh anak untuk belajar, ibu bapa terpaksa menggunakan ketegasan yang pastinya membawa kepada kemarahan. Itu tentulah tak sesuai untuk perkembangan mental si anak.
“Tapi kalau tak tegas dalam menyuruh anak-anak belajar, kelak apa pula akan jadi pada mereka kalau jadi budak yang tak pandai. Ah, stressnya cabaran membesarkan anak ni!”
Sabar Mama dan Papa. Dalam mengubah minat dan kegemaran mereka, tentulah ia memerlukan masa dan kaedah yang sesuai.
Secara umumnya, pelajaran itu boleh dikategorikan sebagai aktivti membosankan untuk kanak-kanak. Kerana pada peringkat usia berkenaan, rangsangan aktiviti seperti bermain atau melakukan perkara yang menghiburkan adalah lebih menarik perhatian. Justeru, Mama Siti percaya senario ini bukan perkara yang asing dalam keluarga anda.
Memetik laman web oleh Built By Me, kanak-kanak yang tidak gemar dengan aktiviti belajar adalah kerana tiadanya motivasi untuk mendorong mereka berbuat demikian.
Namun, sebelum kita ketahui cara untuk menarik minat anak dalam aktiviti pelajaran, adalah penting untuk Mama dan Papa ketahui punca si anak tidak suka untuk belajar.
Punca Anak Malas Belajar
1. Belum Mengetahui Kepentingan Belajar
Ini antara faktor utama mengapa kanak-kanak malas setiap kali memulakan aktiviti pembelajaran. Kematangan mereka tidak sama seperti kita, justeru anak tidak faham lagi mengapa pentingnya menuntut ilmu sehingga berjaya.
Malah, contoh mudah sering diberikan parents iaitu dengan mengatakan belajar boleh memberikan result yang bagus dan itu mendorong kepada kejayaan dalam hidup bukanlah satu motivasi yang sesuai.
Walaupun ia makes sense, tapi Mama dan Papa kena ingat, kanak-kanak belum mempunyai pengalaman yang sama dalam kehidupan sebagai dewasa, jadi memberikan contoh kejayaan hidup bila berilmu boleh mendapat peluang kerja yang baik bukanlah satu motivasi sesuai.
Hakikatnya, mereka tetap belum memahami keperluan untuk belajar.
Akibatnya, anak-anak mungkin tak dapat melihat kepentingan belajar dengan cara yang sama seperti Mama dan Papa. Inilah punca mereka tidak mempunyai semangat untuk belajar.
Cara yang tepat mungkin boleh dilakukan adalah buat anak-anak faham kegunaan ilmu sehingga mereka mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Contohnya seperti kepentingan subjek matematik. Explain pada anak bagaimana matematik boleh membantu mereka dalam urusan jual beli, perancangan bajet, dan menjimatkan wang.
Jangan hanya memberi penjelasan sahaja, tunjukkan juga situasi sebenar contohnya jika ada sesuatu yang anak nak beli seperti mainan, pakaian, atau makanan.
Dedahkan pada mereka cara mengira jumlah harga barang, balance duit yang boleh diperolehi dan seterusnya penyimpanan wang baki tadi.
Nanti Mama dan Papa boleh ajak anak kira wang dalam tabung yang mereka dah simpan. Masa ni selitkan juga ayat kalau lagi banyak saving, lagilah banyak duit terkumpul. Maka, hasilnya boleh dapat reward yang lebih seronok.
Secara teori, mereka tak akan bersemangat kalau wang yang mereka dah kumpul tadi terus disimpan dalam bank. Jadi, masa ni lah sesuai untuk Mama dan Papa tunjukkan hasil yang mereka boleh perolehi melalui saving mereka. Sama seperti bila dah dewasa dan pandai uruskan duit, lebih banyak benda menarik atau hobi boleh dilakukan.
Dan kena sentiasa ingatkan anak bahawa wang kecemasan juga penting. Libatkan anak-anak dalam apa-apa perancangan bajet atau kewangan supaya mereka mendapat pengalaman waktu sebenar dengannya.
2. Obses Terhadap Perkara Lain
Terlalu minat dengan perkara lain juga boleh menyebabkan anak malas untuk belajar. Dalam fikirannya hanya tertumpu kepada perkara diminatinya yang dia sendiri telah rancang untuk lakukan sebaik selesai makan.
Sebagai contoh, anak yang obses dengan video game, kalau Mama dan Papa suruh mereka buka buku belajar, tentu anak-anak tak akan fokus dengan apa yang dipelajari sebab dah tak sabar nak sambung game yang tertunda semalam.
Setiap obsesi atau keghairahan itu normal dan memang wujud dalam kalangan kanak-kanak. Namun ingat, jangan sampai menghalang anak daripada mengembangkan minat dan obsession mereka, cukup dengan memberikan penjelasan iaitu melalui psikologi seperti pilihan untuk main video game, tapi dengan syarat selepas habis ulangkaji.
Cari kaedah tepat untuk mengajar mereka bagaimana merancang dan menguruskan masa serta memberi keutamaan kepada hal yang penting.
3. Kaedah Pembelajaran Yang Memboringkan
Kanak-kanak mempunyai keutamaan dan keperluan pembelajaran berbeza. Justeru, ada yang enjoy fasa pembelajaran mereka di dalam kelas, namun tak kurang pula murid yang berasa boring dan ngantuk.
Bukanlah teknik pembelajaran oleh guru itu tak tepat, tapi keupayaan dan kemahiran kanak-kanak memahami ilmu yang diterima berbeza menyebabkan ‘aktiviti boring’ ini tak menarik perhatian mereka untuk belajar. Pastinya ini mempengaruhi minat dan motivasi anak -anak kan?
Jadi, bagi Mama Siti, solution yang tepat untuk masalah ini adalah Mama dan Papa pula yang perlu cipta kaedah pembelajaran yang kreatif antara anda dan anak-anak. Pastinya lebih menarik dan dekat di hati mereka, kan?
4. Subjek Pelajaran Terlalu Mencabar
“Ish, susahnya subjek Sains ni! Banyak sangat konsep nak kena hafal. Abang tak sukalah belajar Sains.” Mama Siti yakin ini antara faktor utama mengapa anak tak suka belajar ekoran kesukaran mereka untuk memahami subjek yang dipelajarinya.
Malah, kegagalan berulang kali dalam subjek yang dirasakan sukar tadi meningkatkan lagi kecenderungan terhadap fikiran negatif sehingga membuatkan hilangnya motivasi diri untuk belajar dan skor dalam mata pelajaran tersebut.
Justeru, adalah penting komunikasi antara Mama Papa dan anak-anak dalam membantu mereka mengenal pasti apakah subjek mencabar dan cara untuk memahami dan meminati dengan mata pelajaran yang dirasakan susah tadi.
5. Subjek Yang Terlalu Mudah
“Subjek susah, tak minat. Subjek mudah pun boleh buat anak tak minat juga?” Secara logiknya ya. Bila subjek yang terlalu mudah, memang anak boleh skor.
Namun untuk mengajak mereka ulangkaji mata pelajaran tersebut, ia seperti tiada minat kerana dirasakan tidak mencabar dan menguji kemampuan diri. Ia seperti tiada motivasi untuk mereka belajar.
Justeru, guru perlu tahu apakah cabaran tambahan untuk golongan pelajar sebegini melalui aktiviti di kelas dan kokurikulum.
Ia juga boleh membantu kanak-kanak ini untuk berhubung dengan pelajar-pelajar yang sehaluan, seterusnya memperbaiki kesejahteraan mereka, sikap terhadap, dan minat dalam subjek tersebut.
6. Burn Out
“Nak ulangkaji, nak buat homework, nak baca buku kisah rakyat yang cikgu suruh hafal tadi, argh, banyaknya benda nak buat!”
Menerima tekanan yang tinggi menjadi penyebab anak tak suka untuk belajar. Selain daripada bebanan yang besar, mereka juga terikat dengan banyak aktiviti seperti kokurikulum, jawatan yang disandang di sekolah dan macam-macam lagi yang mana ini semua boleh menyumbang kepada tekanan serta keletihan.
Oleh itu, pentingnya memastikan anak anda mampu menyelesaikan tugas sekolah tanpa rasa ‘barai’. Caranya adalah Mama dan Papa harus berikan mereka masa untuk lakukan perkara yang digemari dimana ia berupaya membuatkan anak-anak release tension.
Sesekali, kurangkan tekanan mereka dengan tugasan di sekolah dan biarkan anak nikmati aktiviti bermain dan rehat yang cukup. Kedua-dua perkara ini adalah penting untuk perkembangan optimum kanak-kanak.
7. High Expectation Daripada Ibu Bapa
Meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada anak-anak boleh menjadi faktor tiada motivasi untuk mereka belajar.
Awas Mama Papa, keadaan ini boleh menyebabkan kemurungan dalam kalangan pelajar dan seterusnya memberi kesan negatif terhadap prestasi akademik anak-anak. Cara yang tepat adalah, berikan galakkan dan motivasi. Namun, jangan sampai push mereka berlebihan.
8. Masalah Kekeluargaan
Terpalit dengan masalah peribadi juga boleh memberikan kesan kepada semangat kanak-kanak terutama melibatkan aktiviti pembelajaran.
Kanak-kanak berasa tiada motivasi untuk belajar jika keadaan di rumah tidak tenteram. Satu kajian di Colorado menunjukkan bahawa kanak-kanak daripada keluarga bercerai mempamerkan keputusan akademik yang lebih lemah berbanding kanak-kanak daripada keluarga yang utuh.
Oleh itu, parents perlu sedar bahawa apa-apa yang memberikan kesan kepada anak-anak boleh mempengaruhi sesuatu perubahn untuk jangka masa panjang untuk anak itu sendiri.
9. Persekitaran Yang Tak Selesa
Jangan ingat persekitaran tidak effect untuk motivasi kanak-kanak ye? Penting untuk pastikan anak mempunyai semua keperluan yang diperlukan seperti pencahayaan mencukupi, tempat belajar yang selesa.
Ketidakselesaan di kawasan sekitar boleh menyebabkan kanak-kanak hilang semangat untuk belajar. Ini termasuklah hubungan dengan kanak-kanak lain, buli, dan konflik dengan guru.
Justeru, penting untuk ibu bapa untuk berkomunikasi dengan anak-anak dan bertanya tentang keadaan di sekolah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak anda.
10. Keupayaan Pembelajaran Yang Perlahan
Daya pemikiran dan kebijaksanaan semua kanak-kanak adalah berbeza. Bagi kumpulan kanak-kanak yang mempunyai keupayaan belajar lebih perlahan, semestinya mereka kurang motivasi untuk belajar.
Dalam kes sebegini, cara yang terbaik adalah mendapatkan bantuan atau nasihat profesional mengenai apa yang boleh membantu kanak-kanak untuk meningkatkan prestasi lebih baik dalam akademik.
Tips Untuk Anak Rajin Belajar
Selain daripada beberapa penyelesaian terhadap permasalahan di atas, di sini Mama Siti senaraikan juga tips yang dapat membantu si kecil gemar dengan aktiviti belajar.
1. Terapkan Pendidikan Daripada Kecil
Jika kita mahukan anak-anak kita menjadi seorang yang cintakan ilmu dan suka belajar, mulakan sejak mereka masih kecil lagi. Dedahkan anak-anak dengan pelbagai bahan pembelajaran sama ada bahan pembelajaran huruf nombor dan sebagainya.
Dengan cara ini sedikit sebanyak anak-anak mula didedahkan dengan ilmu pengetahuan walaupun hanya huruf atau nombor ia dapat menimbulkan minat anak-anak untuk suka belajar dan rajin menuntut ilmu apabila sudah bersekolah nanti.
2. Sediakan Peralatan Pembelajaran Secukupnya
“Pensel ada, ruler ada, eraser ada. Apa lagi ye? Oh, lupa nak sediakan ubat pensel!” Memastikan segala peralatan pembelajaran mencukupi adalah penting yerr Mama Papa.
Ini kerana, jika peralatan pembelajaran yang tidak mencukupi kadangkala boleh menjadi salah satu punca kenapa anak malas belajar.
Mana tidaknya, anak-anak sudah mula bersemangat hendak belajar tetapi bila peralatan pembelajaran tidak mencukupi sudah pastilah akan mematahkan semangat mereka hendak belajar dan seterusnya mereka akan menjadi malas belajar.
3. Jangan Jatuhkan Semangat Anak
Anak: “Papa kenapa benda ni jadi macam tu? Ni apa Mama?”
Papa: “Ish, budak ni banyak sangat tanya! Tengok je lah.”
Mungkin Pada zahirnya situasi ini merimaskan parents, namun jangan pernah abaikan setiap persoalan anak meskipun benda yang tiada kaitan dengan pembelajarannya.
Setiap persoalan itu membuatkan anak anda menjadi kanak-kanak yang bersemangat dan yakin diri. Kalau Mama dan Papa kerap sangat merengus bila ditanya, anak akan hilang keyakinan diri sekaligus melemahkan semangatnya untuk belajar kerana mereka meliat diri ibu dan bapanya seperti seorang yang serious dan ada limit untuk menjawab setiap persoalan.
Buat anak selesa tanpa menjatuhkan semangatnya walaupun apa jua situasi. Ia memerikan kesan kepada mood belajar mereka sebenarnya.
Jika anak-anak sudah berusaha untuk belajar dan sudah berusaha berikan yang terbaik dalam pelajaran tetapi masih gagal dalam pelajaran, jangan sesekali downkan mereka.
Sebaliknya, teruskan bagi kata-kata semangat dan dorongan supaya mereka lebih rajin lagi belajar. Dengan makian atau merendahkan semangat anak-anak yang sedang rajin belajar ia akan menyebabkan anak-anak tersebut menjadi putus asa dan tidak mahu lagi belajar.
4. Bagi Pujian Dan Hargai
Jika anak kita mendapat keputusan yang sederhana dan cemerlang, jangan lupa untuk bagi kata-kata pujian dan penghargaan kepada mereka.
Dengan pujian, ia akan membuatkan anak-anak lebih bersemangat lagi hendak belajar terutama sekali jika kata-kata pujian dan penghargaan tersebut daripaada ibu bapa mereka sendiri.
5. Terlibat Sekali Dalam pembelajaran Di Rumah
Tips terakhir dalam mengatasi masalah anak malas belajar ialah dengan terlibat sekali sewaktu proses pembelajaran sewaktu di rumah. Selain daripada pembelajaran di sekolah, Mama dan Papa juga boleh terlibat membantu anak-anak belajar di rumah.
Cara ini secara tidak langsung akan buatkan ibu bapa tahu tahap pembelajaran anak-anak dan dalam pada masa yang sama akan mengelakkan dari anak-anak menjadi malas belajar.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Untuk dapatkan pelbagai info menarik berkaitan keibubapaan, Mama dan Papa boleh klik di SINI!