Pasa usia yang awal, kita sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, haruslah mendidik anak kita menjadi seorang yang beradab dan sopan santun.
Menurut Dr Redza Zainol di Twitter post-nya, beliau menitip berat tentang peradaban anak lelaki. Benar, anak lelaki mungkin membesar dengan kurang menunjukkan emosinya apabila tidak digalakkan. Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita perlu guide mereka menjadi seorang yang beradab dan sopan santun.
“Kita nak anak lelaki membesar menjadi seorang yang beradab. Tahu sebut ‘terima kasih’, ‘minta izin’, ‘minta maaf’ dan ‘minta tolong’ dengan orang lain. Tahu merendah diri dan tak ego walaupun dia lebih bijak dan lebih kuat semasa remaja nanti.“
Nasihat beliau mengajak Mama untuk lebih proaktif tentang keberadaan ibu bapa secara emosi supaya mereka dapat meluahkan perasaan serta beradab dengan sesiapa jua mereka berjumpa.
Dibawah Mama Siti turut kongsikan petua untuk mendidik anak-anak menjadi seorang yang sopan santun dan beradab!
5 Petua Untuk Mendidik Anak Menjadi Sopan dan Beradab
#1 Ucapkan ‘Terima Kasih’, ‘Tolong’, dan ‘Maaf’
Sebelum apa-apa lagi, Mama haruslah mengajar anak-anak untuk mengucapkan ‘terima kasih’ serta ‘tolong’ kerana mereka sentiasa memerlukan pertolongan semasa mereka kecil. Oleh itu, biasakan mereka mengucapkan kata-kata ini.
Selain itu, semasa mereka kecil, mereka sentiasa membuat kesilapan. Oleh itu, anda boleh juga ajar mereka menggunakan perkataan ‘maaf’.
Pastikan mereka faham perkataan yang digunakan dan maksud ketika mereka mengucapkan kepada orang yang mendengarnya. Mama juga harus menggunakan kata-kata ini dengan kerap dalam perbualan dengan anak supaya mereka terbiasa.
#2 Ucapkan Salam Dan Salam Tangan
Kemudian, ajarkan mereka bagaimana untuk mengucapkan salam dan bersalaman dengan orang lain. Sewaktu pandemik ini, mungkin tidak perlu normalisasikan bersalaman cuma mengucap salam sudah memadai.
Berikan mereka contoh bagaimana untuk memulakan perbualan iaitu bercakap dengan mengadap muka serta bercakap dengan sopan santun. Selain itu, terangkan kepada anak Mama bahawa ia tidak elok untuk menggunakan perkataan yang kesat dan kasar sama sekali.
Mama juga harus mengajar mereka untuk mendengar terlebih dahulu, kemudian bercakap setelah seseorang selesai bercakap.
#3 Adab Semasa di Meja Makan
Selain itu, kita juga ada adab semasa berada di meja makan. Pastikan mereka membasuh tangan dengan bersih sebelum makan. Mama juga harus didik mereka untuk berkunyah dengan mulut bertutup dan jangan bercakap apabila mulut penuh dengan makanan.
Fahamkan mereka konsep makan dengan perlahan-lahan supaya tidak tercekik dan baik untuk penghadaman. Selepas itu, jangan beri mereka bermain dengan makanan ataupun meludahnya keluar.
Apabila anak Mama sudah besar sedikit, Mama perlu mengajar mereka untuk menunggu orang lain bersedia di meja makan sebelum mula makan.
Peringatan untuk Mama supaya jangan biarkan mereka merampas makanan orang lain tetapi boleh ajarkan mereka untuk meminta makanan yang terletak jauh daripada mereka.
#4 Masa Bermain
Apabila anak sudah besar sedikit dan mempunyai adik-beradik yang sebaya, Mama dan Papa pasti lebih bimbang tentang cara mereka dengan adik-beradik mahupun rakan sebaya. Hal ini adalah kerana anak-anak di tahap umur ini berpotensi untuk bermain dengan kasar ataupun menyebabkan sesiapa sahaja menangis. Pertama sekali, Mama harus ajar mereka untuk berkongsi mainan dengan rakan atau adik-beradik.
Selain itu, apabila mereka menang dalam sesuatu permainan atau mereka bermain bersama-sama, ajar mereka untuk menyokong rakan mereka dan merendahkan diri mereka. Jangan amalkan mereka memanggil rakan atau adik-beradik dengan nama yang buruk atau perkataan yang tidak elok.
#5 Komunikasi Bersama Anak
Komunikasi adalah kunci rumah tangga. Sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak Mama. Cari waktu yang sesuai seperti di meja makan atau sebelum mereka tidur. Memahami perasaan mereka dapat membentuk mereka menjadi orang dewasa yang sensitif dan menyedari perkara-perkara sekeliling mereka.
Moga-moga petua yang telah disenaraikan ini dapat membantu Mama dalam membentuk anak yang baik, bersopan santun dan beradab. Sebelum kita mendidik anak-anak, kita juga harus menjadi contoh baik untuk mereka! Semoga berjaya, Mama sekalian. Pesan Mama Siti adalah sabar dan semua ini akan berbaloi di kelak hari.