Mama mana yang tidak risau jika anaknya lambat bercakap ataupun pelat pada usia yang sepatutnya mereka petah bercakap bukan? Isu lambat bercakap ini mempunyai beberapa faktor dan sebab yang meluas. Kadang-kadang masalah ini merangkumi beberapa aspek seperti persekitaran dan media yang mereka ambil dalam seharian.
Dr Redza menceritakan tentang usaha seorang ibu kegigihannya dan tidak berputus ada untuk memperbaiki kelewatan pertuturan anaknya. Jom ikuti perkongsiannya di Twitter dengan lebih lanjut.
Anak Petah Bercakap Dek Kerana Usaha Mama
Baru saja mak dan anaknya duduk, saya pun senyum dan bertanya khabar. Pada asalnya, mak ni risau yang anaknya lambat bercakap.
“Sekarang dah jauh lebih baik doc, dah pandai sebut 2-3 perkataan dalam 1 ayat. Dah pandai mengadu bila abang dia sakat dia.”
“Apa lagi yang dia dah boleh sebut sekarang?” saya nak tahu lebih lanjut. “Lagi dia dah pandai sebut warna merah, biru, hijau. Anggota badan pun banyak dah yang dia tahu.” Wah, seronok pula saya dengar.
Selalu bila dapat kisah macam ni, saya cuba korek apa rahsia yang mak ayahnya buat di rumah. Mak dia pula dengan muka seronok nak sambung cerita. Ni yang dia kongsikan.
1) Buat jadual.
- Minggu 1 : Ajar tema binatang.
- Minggu 2 : Ajar tema warna.
- Minggu 3 : Ajar tema kenderaan.
- Minggu 4 : Ajar tema objek dalam rumah.
- Minggu 5 : ulang semula tema minggu 1.
2) Beli flash card ikut tema. Boleh juga cari sampel flash card di internet dan buat cetakan berwarna. Potong kertas ikut saiz flash card.
3) Setiap hari tunjuk 5 flash card pada anak. Dalam posisi duduk, tunjuk dan sebut objek yang ada dalam flash card. Contoh: ayam, kucing, arnab, katak, singa.
4) Ulang setiap hari menggunakan 5 objek yang sama selama seminggu. Masuk minggu kedua, ikut tema minggu kedua (Tema warna).
5) Pastikan anak boleh nampak pergerakan bibir kita bila kita sebut nama objek tu.
Maknanya, anak belajar dengan cara:
- Melihat sebutan bibir dan gambar objek tu (VISUAL).
- Mendengar sebutan objek tu (AUDITORY).
6) Kadang-kadang dia bagi anak sentuh objek tu. Kalau ajar perkataan “bola”, ibu ni bagi anaknya sentuh dan tendang bola tu. (KINESTHETIC).
7) Setiap flash card dia buat 2 set.
- Set pertama dia guna untuk tunjuk pada anak setiap hari.
- Set kedua dia tampal 5 helai di dapur, 5 helai di ruang tamu. Setiap kali anak lalu di situ, dia akan “tangkap” anaknya dan sebut objek tu sekali lalu.
8) Kalau 1 hari kita tunjuk 5 objek, maknanya sebulan anak dah lihat 150 objek. Dalam setahun, otak anak dah tengok dan belajar 1800 objek.
Saya ternganga. Bagusnya usaha mak ni. Kalau anak hanya mendengar, maknanya anak cuma guna 1 Channel of Learning.
Tapi bila anak dengar sebutan perkataan, kita bagi anak tengok gambar sambil sentuh objek tu, maknanya anak tengah belajar melalui MULTIPLE CHANNEL OF LEARNING.
Ramai je mak ayah yang rajin usaha gini. Bila diberi ilmu, mereka cepat tersedar dan terus mereka usahakan yang baik-baik untuk anak mereka.Tugas saya pula ialah untuk yakinkan yang mereka mesti buat bersungguh-sungguh untuk anak mereka.
Berat tugas seorang Mama yang mahukan perkembangan yang terbaik untuk anaknya. Dr Redza pun kagum! Good job Mama! Dengan usaha yang konsisten dan macam-macam cara berbeza, ia dapat membantu anak Mama yang kini petah bercakap.
Terima kasih Dr Redza kerana kongsikan cerita ini supaya Mama diluar sana tidak berputus asa untuk berusaha mendapatkan hasil yang mereka inginkan.
Selamat mencuba dan selamat maju jaya~
Kredit: Twitter Dr Redza Zainol