Fakta menarik tentang anak sulung cenderung memiliki ciri-ciri berkaitan dengan kepimpinan, termasuk tanggungjawab, kreativiti, ketaatan dan penguasaan. Mereka juga lebih berkemungkinan mempunyai kebolehan akademik dan tahap kecerdasan yang lebih tinggi berbanding adik-adik mereka.
Apabila anak kita mencapai usia prasekolah, terdapat perubahan mendadak dalam tingkah laku mereka. Anak Mama akan cenderung untuk mengawal dan mengarahkan ibu bapa untuk melakukan sesuatu mengikut kehendak mereka. Walaupun ini pada mulanya mungkin berasa comel dan normal, lambat laun Mama sedar bahawa dia menguasai semua orang di sekelilingnya!
Tak cukup dengan bos di ofis yang bossy, kat rumah pun ada bos besar! Anak sulung yang terlalu bossy ini berkaitan dengan cara kita didik anak kita tau Mama.
Daripada pandangan seorang bapa dan doktor, Dr Taufiq Razif kongsikan tentang apa akan jadi sekiranya Mama dan cik suami biarkan sahaja sikap anak yang bossy.
Kalau tak mahu anak bossy, jom kita baca sampai habis! Sebelum tu, mari kita lihat dahulu, apakah ciri-ciri anak yang bossy?
Tanda-Tanda Anak Sulung Terlampau Bossy
- Suka tengking adik-adik.
- Nampak adik-adiknya ketakutan selalu.
- Dia suka bagi arahan yang terlalu menekan pada adik-adiknya.
Anak sulung ni memang Natural Born Leader tapi kalau salah cara didiknya, sifat Leadership anak sulung boleh bertukar jadi sifat Bossy. Bahaya sebenarnya kalau salah didik anak sulung.
Apa Jadi Jika Perangai Bossy Ini Berlarutan?
Anak sulung ni memang banyak kelebihan antaranya mengikut kajian mereka ada IQ yang tinggi tetapi cara didik anak sulung yang salah boleh buatkan:
1. Anak sulung jadi pemarah
Mudah melenting dengan adik adik dan selalu tinggikan suara bila bersama adik adiknya.
2. Anak sulung jadi terlampau sensitif (oversensitive)
Anak sulung jadi mudah menangis, mudah tersinggung dan sangat mudah merajuk hingga membuatkan mak ayah tertekan kerana setiap hari perlu memujuk.
3. Anak sulung jadi terlampau dominan (bossy)
Anak sulung menjadi terlampau menguasai adik adiknya, tak suka berkongsi dan selalu gunakan kemarahan untuk menguasai.
4. Anak sulung berubah perangai (first born syndrome)
Anak sulung tiba-tiba berubah perangai menjadi pendiam, suka memendam dan penuh amarah dalam hati sejak kehadiran adik beradik yang lain dalam keluarga. Ada juga kes anak sulung jadi mengasingkan diri daripada ibubapa dan ahli keluarga.
5. Anak sulung jadi jauh hati dan suka memendam
Anak sulung merasa tak disayangi dan tak penting di dalam keluarga. Mereka takkan bagitahu kita tapi mereka pendam senyap senyap hingga akhirnya mereka lepaskan dengan cara memberontak bila dah remaja nanti.
6. Gagal dalam hidup mereka
Anak sulung tak tahu nak capai apa dalam hidup mereka hingga buatkan hidup mereka menjadi rosak. Paling dasyat jika ianya sampai mempengaruhi adik adiknya yang lain.
Lagi perit bila anak sulung yang tak dididik dengan betul akan:
- Mempengaruhi adik beradiknya yang lain, sebab anak sulung adalah contoh ikutan adik beradiknya.
- Kita sebagai ibubapa jadi makin tertekan dan cemas dengan masa depan anak sulung kita.
” Anak sulung ni kalau baik, baik sungguh tapi kalau rosak memang rosak habis kerana kesannya pada seluruh adik beradik “
Strategi Mengasuh Anak Bossy
Selepas baca ni, jom tengok balik anak sulung kita. Anak Mama ni bossy ke? Kalau jawapannya ya, jom tengok beberapa strategi yang boleh Mama lakukan untuk mengasuh anak-anak Mama dan kurangkan sifat bossy tersebut mereka.
- Menjadi contoh yang baik. Adakah Mama bossy dengan anak Mama? Bagaimanakah Mama berkomunikasi dengan cik Suami, rakan sekerja atau kawan anda? Anak kita belajar daripada sekeliling mereka dan mereka akan memerhati orang di sekeliling mereka, jadi, Mama dan Papa cuba ubah cara komunikasi anda berdua dan menjadi contoh yang baik pada anak-anak.
- Bercakap tentang kemahiran berkawan. Jika ada anak yang suka memerintah di sekolah, anak anda mungkin sedang berjinak-jinak dengan perangai bossy di rumah. Tanya pada anak Mama bagaimana perasaannya apabila dia mendengar komen bossy dalam kalangan rakan-rakan. Dari masa ke masa, anak-anak belajar bahawa tindakan mereka mempunyai akibat dan menjadi terlalu bossy boleh memudaratkan cara anak-anak berkawan.
- Bertolak ansur apabila boleh. Apabila anda membolehkan mereka mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan, anda memodelkan nilai perkongsian kuasa. Juga, perkukuhkan sikap tolak ansur, perkongsian dan gelagat kerjasama lain semasa bermain. Tunjukkan kemahiran mendengar dan cara untuk menggabungkan beberapa idea yang berbeza semasa bermain.
Dari masa ke masa, anak-anak Mama akan belajar bahawa kedua-dua berkawan dan kepimpinan melibatkan idea kreatif mereka sendiri dan bagaimana mereka harus mendengar serta belajar daripada orang lain.
Kadang-kadang memang kita sendiri tak perasan anak kita menjadi keterlaluan. Hingga mengganggu kehidupan seharian Mama dan rakan-rakan mereka di sekolah. Pastikan Mama peka dengan perkembangan mereka jika anak Mama menjadi terlebih bossy. Harap-harap dengan perkongsian daripada Dr Taufiq ini, Mama faham dengan kenapa mereka bossy, dan ciri-cirinya.
Kredit: Facebook Taufiq Razif