Kejayaan anak-anak kita di masa depan bergantung dengan bagaimana mereka dibesarkan. Benarlah kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Mama Siti kongsikan 25 tips membesarkan anak berjaya yang disokong dengan kajian sains. Ayuh kita lihat bagaimanakah cara jadikan anak berjaya dari kecil sampai besar.
25 Tips Didik Anak Berjaya
#1 Selesaikan Diri Sendiri
Kehidupan anak-anak bermula dari kita sendiri. Kita individu sosial mereka yang terawal sebelum mereka berjumpa dengan rakan-rakan di luar sana.
Kita perlu perbaiki diri dan rawat trauma masa lalu agar ia tidak diturunkan kepada anak-anak yang akhirnya menganggu perkembangan emosi dan fizikal.
#2 Jadi Ibu Bapa Yang Bahagia
Psikologis Carolyn and Philip Cowan mendapati apabila ibu bapa bahagia, anak-anak juga turut mendapat tempiasnya.
Lagi pula hubungan antara keduanya menjadi hubungan kekeluargaan yang sihat dan bukan dengan kemarahan.
#3 Raikan Ahli Keluarga
Mama kenal pempengaruh TikTok Syamimia? Perasan tak cara beliau meraikan hari lahir anaknya Malik cukup sederhana.
Kalau nak anak berjaya, kita kena selalu raikan usaha mereka mencapai sesuatu. Dengan cara ini, mereka akan meraikan proses mencapai impian dan meneruskannya sehingga berjaya.
#4 Beri Perhatian
Tolak tepi semua perkara yang sedang dilakukan terutamanya gajet ketika anak Mama sedang bercakap.
Jika tidak mampu, setidaknya fikirkan tentang soalannya dan jawab dengan teliti. Elakkan beri jawapan sambil lewa kalau tak nak anak Mama bijak komunikasi.
#5 Makan Bersama
Nampak mudah tapi percayalah, rutin ini sudah semakin pudar dalam institusi kekeluargaan. Anak yang makan bersama-sama ahli keluarganya tahu lebih banyak kosa kata, lebih berkeyakinan dan dapat mengurangkan gejala sosial seperti merokok dan dadah.
#6 Ajar Anak Urus Emosi
Anak yang pandai kawal emosi akan lebih fokus dan ini penting untuk kejayaan jangka panjang. Caranya tak lain tak bukan adalah dengan;
- Tunjukkan contoh pengurusan emosi oleh ibu bapa
- Berempati kepada anak-anak
- Jelaskan bahawa emosi itu boleh diluahkan tetapi bukan dengan tingkah laku
- Mengakui kemajuan emosi anak-anak
#7 Bina Hubungan Yang Bermakna
Anak yang berjaya perlukan hubungan yang bermakna. Oleh itu, sebagai ibu bapa kita hendaklah memupuk hubungan persahabatan dengan anak.
Perhatikan perubahan emosi anak dan beri tindak balas yang sewajarnya, dengan cara ini kita membantu anak melihat hubungan persahabatan yang baik dan cara untuk menangani konflik.
#8 Tetapkan Sempadan
Seorang anak berjaya tahu memanfaatkan potensi diri mereka. Demi mendapatkan hasil sebegitu, kita perlu tetapkan garis sempadan dengan anak.
Peraturan yang ditetapkan harus diselaraskan dengan prinsip disebaliknya dan dijelaskan mengikut tahap fikiran logik anak-anak.
#9 Cukup Tidur!
Anak yang kurang tidur akan kurang bijak. Lebih tepat lagi, mereka berisiko untuk melemahkan fungsi otak, tidak fokus, menjadi obesiti, kurang kreatif dan tidak mampu mengawal emosi.
Pastikan tiada lagi aktiviti merangsang otak ketika hampir waktu tidur seperti pendedahan skrin televisyen, tablet, komputer dan telefon pintar.
#10 Fokus Pada Proses Berbanding Hasil Akhir
Masih ingat poin nombor tiga di atas? Anak berkemungkinan mendapat masalah psikologi apabila ibu bapanya terlalu menekankan pencapaiannya.
Kajian Dr. Carol Dweck; seorang ahli psikologi Amerika menyatakan, kanak-kanak yang fokus pada usaha dan sikap sepanjang proses berjalan lebih mencapai kejayaan dalam jangka panjang.
#11 Main Sepuasnya!
Sama seperti apa yang Dr Afzan Maria; pengasas sekolah KinderKaizen katakan masa bermain yang tidak berjadual, berstruktur dan diluar rumah melahirkan kanak-kanak yang berjaya dalam akademik.
Bermain penting untuk perkembangan dan pembelajaran mereka. Lebih terhad masa bermain, menimbulkan masalah berkaitan fizikal, emosi, sosial dan kesejahteraan mental.
Nota: Bermain yang dimaksudkan disini ialah permainan yang tidak melibatkan gajet elektronik.
#12 Masa Menonton? Kurangkan!
Mama dan Papa perlu hadkan masa menonton televisyen. Mereka yang banyak menonton televisyen mengurangkan kebahagiaan dan sekaligus mendorong kepada kecenderungan mendapat kemurungan.
#13 Sentiasa Bersyukur
Anak yang berjaya ialah anak yang peka dengan keadaan sekeliling. Merekodkan hal-hal baik yang berlaku setiap hari meningkatkan tahap kebahagiaan sebanyak 25% dalam masa 10 minggu sahaja.
#14 Biar Anak Buat Keputusan
Ketika kita memberi peluang kepada si anak membuat keputusan atau pilihan, kita sebenarnya membantu mereka menjadi berdisiplin. Ianya juga sebagai latihan bagi mereka membuat keputusan lebih bijak di masa hadapan.
#15 Selesaikan Konflik Perkahwinan
Mama tahu apa berlaku kalau konflik rumah tangga tidak diselesaikan secara baik? Anak Mama dan Papa akan menjadi kurang motivasi, tidak bertanggungjawab dan jauh dari keluarganya.
Perkara ini mengganggu proses pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak menjadi bijak secara keseluruhan.
#16 Berbakti dan Murah Hati
Contoh bakti yang patut diterapkan dalam diri anak-anak ialah membantu ahli keluarga dan rakan-rakan, terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan dan lain-lain.
Ketika anak murah hati memberi sesuatu bernilai kepada orang lain, mereka menjadi lebih gembira lebih-lebih lagi jika barang itu kepunyaannya sendiri.
#17 Galakkan Berat dan Bentuk Badan Positif
Ada ibu bapa yang mengejek anaknya sendiri apabila mereka berbadan gempal. Namun begitu, mereka sendiri sebenarnya yang dari awal mengabaikan kesihatan dan penampilan si anak.
Sebaliknya, kita gunakan cara ini agar anak lebih berjaya:
- Fokus pada manfaat kesihatan, bukannya pada cara ia mempengaruhi penampilan
- Fokus lebih pada perwatakan dan pembangunan kemahiran anak dan kurangkan pada penampilan mereka
- Bersenam bersama sebagai sebuah keluarga
- Bercakap dengan anak-anak tentang bagaimana media mempengaruhi cara kita melihat tubuh kita
- Jangan menilai penampilan orang lain
#18 Jangan Menengking Anak!
Anak yang kerap mendengar jeritan mengakibatkan mereka rasa tidak selamat dan cemas. Mama Siti sarankan agar Mama dan Papa jauhkan diri dari anak-anak ketika perasan marah mulai hadir. Jika sudah reda, barulah bercakap dengan anak.
#19 Ajar Untuk Memaafkan
Jadilah contoh kepada anak-anak dengan menjadi pemaaf kepada mereka dan orang lain. Cara ini mengajar anak untuk mengubah perasaan negatif kepada positif secara beransur-ansur.
#21 Fikir Positif
Pupuk fikiran positif dalam diri kanak-kanak. Namun jangan pula sampai ke tahap ‘toxic positivity’, nanti lebih teruk jadinya.
Berikut ialah cadangan Mama Siti:
- Lihat kebaikan orang lain dan akuinya
- Ajar anak untuk menyatakan sesuatu secara positif, contohnya. “Saya suka bermain dengan Musa dan Sarah” dan bukannya “Saya benci bermain dengan Aniq”
- Beritahu anak-anak tentang cabaran yang Mama hadapi dan bagaimana cabaran tersebut membantu Mama berkembang
#22 Motto Keluarga
Setiap organisasi mempunyai pernyataan motto mereka sendiri; keluarga Mama juga harus lakukannya. Pernyataan ini sama sahaja seperti menerangkan nilai dan visi sesebuah keluarga.
Contohnya, ‘proses itu amat bermakna!’
#23 Perjumpaan Keluarga
Pertemuan ini merapatkan ikatan keluarga serta mengukuhkan kepentingan hubungan kekeluargaan.
Pastikan tiga soalan berikut ditanyakan semasa perjumpaan keluarga:
- Apa yang anda lakukan dengan baik pada minggu lalu?
- Apa yang anda tidak lakukan dengan baik pada minggu lalu?
- Apa yang akan anda usahakan pada minggu akan datang?
Soalan dan jawab boleh ditanyakan bagi kedua-dua belah pihak iaitu ibu bapa dan anak-anak.
#24 Kongsikan Sejarah Keluarga
“Anehnya, kenapa nak kongsi sejarah ahli keluarga?”
Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mengetahui tentang latar belakang ahli keluarganya mempunyai tahap harga diri (self-esteem) lebih tinggi.
#25 Bantu Cari Mentor
Mantapkan potensi diri anak Mama dengan mendapatkan mentor untuk menggilap kemahiran dan bakatnya.
Kanak-kanak yang mempunyai orang dewasa yang dipercayai dalam hidup mereka; selain daripada ibu bapa mempunyai tahap kepuasan hidup 30% lebih tinggi daripada kanak-kanak lain.
Apa yang kita tidak boleh nafikan ialah membesarkan anak berjaya memerlukan kerjasama dari Mama dan Papa.
Semoga segala usaha kita menjadikan anak bijak dipermudahkan tuhan. Mudah-mudahan anak kita menjadi insan bermanfaat di masa depan.
Dapatkan lebih banyak tips didik anak bijak dan sihat di SINI!