Bayi yang kurang tidur boleh mendatangkan pelbagai masalah.Ini adalah kerana sebahagian besar kerja-kerja hormon terjadi ketika tidur, termasuklah hormon pertumbuhan otak bayi. Jelas membuktikan tidur adalah aktiviti penting buat bayi. Ini bermakna mereka memerlukan waktu tidur lebih lama untuk perkembangan tubuh dan otaknya. Lamanya waktu tidur yang baik untuk bayi 0-6 bulan rata-rata dianggarkan 16 jam sehari. Semakin bertambah usianya, maka waktu tidurnya menjadi semakin berkurangan.
PUNCA YANG MENYEBABKAN BAYI SUKAR TIDUR
- KELAPARAN
Bayi juga manusia biasa, malahan lebih lemah sifat fizikal mereka jika dibandingkan dengan seseorang dewasa. Bayi memerlukan perutnya sentiasa kenyang dan ia juga kerap terasa lapar. Sebagai ibu, susukanlah anak anda sekurang-kurangnya setiap empat jam kerana bayi mudah terasa lapar. Sebelum tidur, susukanlah anak anda secukup-cukupnya, pasti masalah bayi anda yang susah tidur ini akan mula berkurangan.
- SUASANA YANG TIDAK SELESA
Tidur memerlukan relaks dan ketenangan sendiri. Jadi, jauhkan bilik tidurnya dari suasana bising dan lampu yang terlalu terang. Selain itu, pastikan juga ruang udaranya mencukupi untuk menjaga keselesaan serta kesihatan bayi. Suhu bilik juga perlu diberikan perhatian, jangan terlalu panas atau terlalu sejuk. Jika menggunakan pendingin udra, atur suhunya jangan sampai bayi menggigil kesejukan.
- TIDAK SELESA DENGAN PAKAIANNYA
Pakaian yang tidak selesa di tubuh bayi, seperti tidak menyerap peluh atau terlalu sempit boleh menganggu tidur bayi. Sebaiknya, pakaikanlah baju tidur yang ukurannya sesuai dengan tubuh bayi (jangan terlalu besar/kecil), serta diperbuat daripada material yang lembut serta menyerap peluh.
- MULA TUMBUH GIGI
Tumbuh gigi bagi bayi amat menyakitkan sehingga tidurnya menjadi kurang nyenyak. Gigi yang baru hendak tumbuh akan membuatkan bayi berasa tidak selesa kerana gusinya terasa gatal. Usia bayi di mana gigi pertamanya mula tumbuh adalah berbeza-beza, namun rata-rata bayi mulai tumbuh gigi pada sekitar enam bulan. Kebanyakan bayi yang tumbuh gigi akan menunjukkan tanda-tanda seperti mengeluarkan air liur dan suka menggigit benda keras. Cara terbaik untuk melegakan ketidakselesaan anak anda ialah dengan picit gusinya dengan lembut. Pastikan anda membasuh tangan sebelum melakukannya untuk mengelakkan pembiakkan kuman di dalam mulut anak anda.
- PENYAKIT ATAU GANGGUAN KESIHATAN
Biasanya bayi kalau ada sesuatu yang tidak selesa di tubuhnya seperti adanya penyakit atau gangguan kesihatan seperti demam dan batuk pasti akan kerap menangis. Jika perlu, segeralah ke doktor kerana gangguan pernafasan pada setiap bayi adalah berbeza-beza.
- TERLALU AKRAB DENGAN IBUBAPA
Menemani bayi sehingga benar-benar lena adalah kunci kesalahan yang utama. Bayi akan terbiasa dengan kehadiran anda sehingga saatnya terjaga, dan tidak melihat anda, dia akan berasa gelisah.Temani bayi anda sehingga hampir tidur dan bukannya sehingga terlelap! Ketika bayi sudah terbiasa dengan dunia sendirinya, maka dia tidak akan lagi merengek minta ditemani kala terbangun di tengah malam. Secara tidak langsung anda telah mendidik anak anda untuk mengatasi kegelisahan dan membuatkannya lebih berkeyakinan pada kemudian hari.
- ADHD/ANAK HIPERAKTIF
Sungguhpun masalah tidur merupakan masalah tersendiri pada seseorang anak kecil, namun ia mungkin mempunyai kaitan dengan ADHD. Penghidap sindrom ADHD akan menyebabkan tubuh si manja sering gelisah, berpusing sini dan sana kerana cuba mengaktifkan diri walaupun pada waktu tidur malam. Ini menyebabkan mereka sering terjaga dan gelisah sehingga tidak mendapatkan tidur yang sepatutnya pada waktu malam
APA ITU ADHD?
ADHD ialah antara gangguan kanak-kanak yang biasa ditemui dan boleh berterusan sehingga usia remaja dan dewasa. Gejala anak hiperaktif termasuk kesukaran memberi fokus dan perhatian, kesukaran mengawal perilaku dan bersikap terlebih aktif. Kemunculan gejala boleh jadi pada sebarang umur sebelum 12 tahun. Untuk mengetahui sama ada kanak-kanak itu mengalami ADHD, mereka mesti mempunyai gejala selama sekurang-kurangnya enam bulan untuk melihat tahap kroniknya. Kanak-kanak ADHD ini sebenarnya tidak sakit. Tetapi, mereka hanya mengalami ketidakseimbangan sistem neuro di dalam otak menjadikan mereka sukar mengawal diri. Sindrom ADHA ini juga bukan berpunca daripada pemakanan, pengambilan gula berlebihan, alahan atau terpengaruh dengan televisyen. Terdapat 3 kelas utama bagi ciri ADHD, iaitu tiada tumpuan, hiperaktif, dan impulsif.
JANGAN MALU DAPATKAN RAWATAN
Walaupun ADHD sukar dikesan dan tidak mudah didiagnosis kerana tiada simptom jelas yang boleh dilihat seperti penyakit-penyakit lain, namun ia boleh dirujuk kepada pakar kesihatan kanak-kanak untuk dinilai dengan terperinci. Sebagai ibu bapa, janganlah berasa malu dan kecewa jika anak mereka didapati mengalami masalah ini. Penting membawa anak hiperaktif ini bertemu pakar supaya tingkahlaku mereka boleh dirawat dan tidak terbawa-bawa ke alam dewasa. Sungguhpun mencabar, mereka sebenarnya masih berpotensi menjalani hidup normal seperti individu lain. Jika tidak diberi rawatan lebih awal, 60% daripada individu ini akan membesar sebagai orang dewasa yang bermasalah sehingga mendorong mereka melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.
Sumber: Internet