KelabMama

AMBIL TAHU TAHAP PENDENGARAN BAYI SAMADA PEKAK ATAU NORMAL

Masalah pendengaran adalah kecacatan saraf yang paling kerap berlaku dalam kalangan manusia. Kehilangan pendengaran berlaku sama ada sejak dilahirkan, jangkitan dalam kandungan atau komplikasi ketika dilahirkan, jangkitan virus, kesan sampingan ubatan, terdedah kepada bunyi bising berlebihan dan penuaan. Mereka yang mengalami masalah dibantu dengan alat pendengaran, implan koklea, bahasa isyarat dan sokongan sosial walaupun sebahagian daripada punca masalah itu boleh dielakkan.

Kehilangan pendengaran menjejaskan peluang si comel untuk belajar berkomunikasi secara mendengar dan bertutur mengakibatkan mereka gagal berinteraksi dengan orang di sekeliling. Ini kerana, mereka  mula belajar bercakap dan memahami bahasa melalui bunyi yang didengarnya sejak dilahirkan hingga berusia empat tahun dan jika dalam tempoh kritikal itu mereka mengalami masalah pendengaran ia menghalang proses perkembangan bahasa dan pertuturan. Itu menyebabkan kebolehan mereka mendengar bunyi berkurangan mengakibatkan perkembangan bahasa dan pertuturan terhalang serta menjejaskan peluang untuk ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan.

Amat penting ibu bapa menjalankan ujian saringan pendengaran kepada bayi mereka yang baru dilahirkan kerana pengesanan awal masalah pendengaran mampu membantu mereka mendapatkan rawatan dan pemulihan secepat mungkin bergantung kepada tahap kerosakan. Kehilangan pendengaran kekal boleh menjejaskan perkembangan si kecil. Mengetahui masalah ini lebih awal dapat memberi si manja ‘nafas baru’ untuk mengembangkan kemahiran berbahasa, pertuturan dan komunikasi.

Diagnosis sepenuhnya perlu dijalankan terhadap bayi selewat-lewatnya pada usia tiga bulan dan sekiranya dikesan mengalami masalah pendengaran langkah pemulihan pula dapat dilakukan pada usia enam bulan. Bagaimana, rawatan dan pemulihan terhadap kanak-kanak yang dikesan mengalami masalah pendengaran adalah berbeza setiap individu disebabkan kecacatan dihadapi mungkin tidak sama. Ada masalah pendengaran boleh diatasi dengan pemakaian alat bantuan pendengaran atau peranti pendengaran, tetapi ada yang hanya boleh diatasi dengan pembedahan bagi memasang implan koklea disebabkan kecacatan kekal pada bahagian telinga dalam. Kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran yang diberi rawatan dan pemulihan segera sebelum berusia empat tahun akan berpeluang mempelajari bahasa dan pertuturan sekaligus menjalani kehidupan seperti insan normal lain.

 

BILAKAH UJIAN PENDENGARAN DIBUAT?

Jika bersalin di hospital swasta, anda mungkin ditawarkan ujian pendengaran sebelum pulang ke rumah. Ia boleh dilakukan oleh pengamal perubatan bertauliah, pembantu penjagaan kesihatan atau pelawat kesihatan dalam beberapa minggu pertama. Sebaiknya, ujian itu dilakukan dalam tempoh empat hingga lima minggu pertama tetapi ia boleh dilakukan sehingga umur bayi mencecah tiga bulan.

 

BAGAIMANA UJIAN DIBUAT?

 

ADAKAH PERLU JALANI UJIAN?

Sangat disyorkan tetapi anda tidak perlu menerimanya. Sekiranya anda memutuskan tidak mahu bayi menjalani pemeriksaan saringan, dapatkan senarai semak untuk membantu anda memeriksa pendengaran bayi ketika mereka meningkat usia. Sekiranya mempunyai sebarang kebimbangan, anda harus bercakap dengan pakar kesihatan yang berkenaan.

 

BILA DAPAT KEPUTUSAN?

Anda akan diberikan keputusan ujian pendengaran bayi sebaik sahaja ujian dilakukan. Jika bayi anda mempunyai tindak balas yang jelas di kedua-dua telinga, mereka tidak mungkin kehilangan pendengaran secara tetap.

 

APA MAKSUD BAYI DIRUJUK PADA PAKAR PENDENGARAN?

Sekiranya keputusan pemeriksaan pendengaran tidak menunjukkan tindak balas yang jelas daripada satu atau kedua-dua telinga bayi, janji temu akan dibuat dengan pakar pendengaran di klinik audiologi. Sekiranya ini berlaku, ia tidak semestinya bayi anda kehilangan pendengaran. Pakar pendengar harus melihat bayi anda dalam masa empat minggu dari ujian pendengaran. Adalah sangat penting anda menghadiri janji temu sekiranya bayi anda mengalami kehilangan pendengaran secara tetap. Ahli audiologi biasanya menerangkan keputusan pada akhir janji temu. Mereka akan menjelaskan hasil untuk pendengaran bayi dan pada masa sama, apa ujian lanjut diperlukan.

 

APA MAKSUDNYA BAYI MENGALAMI KEHILANGAN PENDENGARAN KEKAL?

Jenis dan tahap kehilangan pendengaran kekal berbeza. Kehilangan pendengaran setiap bayi juga berbeza. Ada banyak sokongan dan maklumat, termasuk risalah mengenai pelbagai jenis kehilangan pendengaran mahupun kepakaran pada masa kini yang serba canggih dan berteknologi tinggi. Berjumpalah doktor demi masa depan anak anda.

 

 

 

Sumber: – Pakar Audiologi Kanan Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Darleena Abdul Aziz – Harian Metro