Pemakanan ialah aspek yang amat penting dalam rawatan pantang bersalin. Ini kerana proses kehamilan telah mengganggu keseimbangan hormon ibu. Mereka mengalami pelbagai bentuk tekanan dan gangguan emosi akibat perubahan fizikal. Apalagi semasa melahirkan anak, tenaga dikerah dengan hebat, urat saraf banyak yang cedera dan terjadi luka di bahagian tertentu.
Mengikut sesetengah petua Melayu, ibu-ibu dalam pantang disyorkan makan nasi berlaukkan ikan masin atau ikan panggang berkunyit dan meminum air mengikut sukatan jari (dua ruas jari untuk sekali minum).
Amalan Pemakanan Yang Harus Diamalkan
Akibat diet cara ini (kurang berzat dan kurang air) ibu-ibu terdedah kepada risiko penyakit buah pinggang dan tekanan darah rendah. Ingin diingatkan, cara pemakanan tersebut bukanlah cara Melayu tradisional yang sejati tetapi merupakan sebahagian cara hidup mereka yang kurang berkemampuan.
Jenis Ikan
Ibu dalam pantang dilarang memakan adalah ikan masin atau ikan kering kerana makanan tersebut hanya akan menyebabkan darah nifas berbau busuk, cepat kering serta melemahkan daya ketahanan fizikal dan mental.
Ilmu perbidanan Melayu menggalakkan memakan ikan yang segar dan mengelakkan ikan yang berbisa seperti bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang serta parang kerana takut menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim. Selain ikan berbisa, jenis ikan yang dilarang yang menyebabkan kegatalan kulit serta menimbulkan reaksi alahan ialah ikan kembung, tamban, cencaru, atau tongkol dan makanan laut seperti udang, sotong, kerang dan lain-lain.
Mengikut petua Melayu, ikan yang disyorkan dalam pantang bersalin ialah haruan dan yu. Ia dipercayai boleh memulihkan luka-luka dalaman dan luaran. Ikan haruan yang hidup di dalam lumpur mengandungi khasiat mineral yang tinggi bagi menyembuhkan luka. Secara tradisi, ikan yu dipercayai dapat membanyakkan susu ibu dan beberapa kajian saintifik turut mendapati perkara tersebut benar.
Jenis Ayam Dan Burung
Untuk ibu bersalin disyorkan memakan ayam hitam, ayam didik atau ayam selasih yang digaul dengan halia tua, garam kasar dan madu lebah. Ayam ini dikukus dan diambil patinya untuk mengembalikan ketahanan tubuh. Burung puyuh dan merpati juga baik untuk melancarkan aliran darah dan mengatasi masalah sukar tidur pada waktu malam.
Ulam Ulaman
Terdapat pelbagai jenis ulam tempatan yang mudah diperoleh di mana-mana, antaranya serai, lengkuas, daun atau ubi cekur, bunga kantan, kunyit hidup, daun kesum serta halia, daun pegaga, pucuk mengkudu, ulam raja, daun lemuni hitam, daun kaduk, daun sekentut, daun cemumar, daun pudina, daun kari, daun bebuas dan daun ruku. Ulam-ulaman ini mengandungi fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, bersifat anti oksidan.
Jenis Sayuran Dan Buah-Buahan
Ibu bersalin dilarang memakan sayur-sayuran menjalar, sejuk serta berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi, pucuk paku, bayam, sayur atau daun keti (bunga putih), kacang panjang, petola, labu, rebung, kacang botor, jeruk maman, petai, jering serta terung.
Ibu bersalin juga harus mengelakkan mengambil buah yang sejuk serta tajam seperti air tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas, jambu, belimbing, durian belanda, mangga, betik, ciku, langsat, tembikai cina, nangka, cempedak, pisang masak hijau, pisang nangka, pisang embun, pisang udang, ubi kayu, ubi keladi, sengkuang, manggis, macang, kuinin, dan binjai. Sayuran dan buah tersebut dilarang pengambilannya semasa pantang kerana akan menyebabkankan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi.
Makanan Berangin
Makanan yang menyumbangkan angin dalam perut sangat perlu dielakkan oleh ibu berpantang. Angin atau dalam bahasa saintifiknya flatulence boleh didefinisikan sebagai situasi di mana seseorang terasa sangat kenyang dan menyebabkan perut berasa tidak selesa. Namun begitu masalah angin yang disebabkan oleh makanan adalah berbeza mengikut individu.
• Legumes – kebanyakannya dari jenis kekacang kering, kacang panjang dan kacang soya.
• Susu dan hasil susu – susu, aiskrim dan keju.
• Sayur-sayuran – kubis, lobak putih, lobak merah, kubis brussel, bawang, kubis bunga, asparagus, timun dan brokoli.
• Sayuran berubi – kentang dan sengkuang
• Buah-buahan – prun, aprikot, epal, kismis, pisang, sukun, nangka, pear dan pic.
• Bijirin dan roti – kesemua jenis makanan yang mengandungi gandum dan produk daripada gandum termasuk bijirin, roti dan pastri.
• Makanan berlemak – makanan bergoreng, lemak daging, sos krim dan sos tartar.
• Cecair – minuman bikarbonat soda, fizi, minuman bergas, ubatan atau serbuk.
• Serat (fiber) – kacang, oat, bran dan kacang panggang.
Bukan tak boleh makan sampai bila-bila, tapi ketika berpantang je. Kalau Mama amalkan pemakanan yang seimbang ini, inshaallah badan akan menjadi lebih sihat dan bertenaga bak sebelum berkahwin lagi. Harap bersabar dan tolong jaga pantang anda ya Mama.