Adakah benar ketika kita sedang datang haid, pahala pun berkurang? Ya lah, tak dibenarkan solat, puasa dan baca al-Quran.
Walaupun Mama Siti masih belum jumpa mana-mana rencana yang membahaskan hal ini tetapi Mama Siti ada satu logik yang boleh difikirkan.
Dapat Pahala Sebab Tak Solat dan Puasa?
Macam mana kalau ketaatan kita untuk tidak mendirikan solat, berpuasa dan membaca naskah al-Quran ketika haid itu pun satu cara menambah pahala. Logiknya ialah kita melakukan amalan yang diperintahkan Allah untuk tidak solat, puasa dan membaca al-Quran.
Di samping itu, Mama juga boleh pelbagaikan amalan ketika haid agar sentiasa berada dekat dengan tuhan yang maha esa dan pesuruhNya, Nabi Muhammad SAW.
10 Amalan Ketika Yang Boleh Diamalkan Wanita Ketika Haid dan Nifas
#1 Kongsi Ilmu
Cara mudah nak tambah pahala adalah dengan berkongsi ayat, video atau lagu yang bermanfaat kepada rakan-rakan di media sosial.
Lagipun ianya salah satu cabang dakwah dan juga satu tuntutan dalam Islam.
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
#2 Sedekah
Bukan kita tak tahu keajaiban bersedekah ini bukan main-main kesannya. Kalau tidak didunia, mungkin akan diberikan ganjaran di akhirat nanti.
#3 Sertai Majlis Ilmu
Mama Siti nak kongsikan tip sediakan masa menyertai majlis ilmu. Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja atau ketika memandu, Mama mainkan podcast di telefon pintar.
Bak kata pepatah; sambil menyelam, minum air.
Abu Hurairah dan Abu Sa’id RA bahawa Baginda SAW bersabda:
لَا يَقْعُدُ قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا حَفَّتْهُمُ المَلَائِكَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَنَزَلَتْ عليهمِ السَّكِينَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَن عِنْدَهُ
Maksud: “Tidaklah suatu kaum duduk berzikir (mengingat) Allah melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, diliputi rahmat, diberikan sakinah (ketenangan) dan mereka disebut oleh Allah di hadapan malaikat yang ada di sisiNya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
#4 Ulang Hafazan al-Quran
Dari laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, wanita haid yang ingin mengulang hafazan al-Quran adalah dibenarkan kerana bimbang hafazan mereka luput dari ingatan.
#5 Istighfar
Semudah menyebut Astaghfirullah hal ‘aziim ( اَسْتَغْفِرُ اَللّهَ الْعَظِیْمَ) pun sudah memadai. Tetapi jika Mama ingin bacaan istighfar yang lebih panjang, amalkan doa taubat yang pernah Mama Siti kongsikan sebelum ini.
#6 Berdoa
Dalam pandangan agama, berdoa ialah cara kita mengharapkan bantuan dari Allah SWT. Namun sebenarnya dalam perspektif kehidupan, amalan berdoa ialah manifestasi.
Ianya ialah cara kita menzahirkan, memperlihatkan, merasakan dan menjadikan sesuatu itu nyata.
#7 Sediakan Makanan Orang Puasa
Untung kan jadi perempuan Islam? Tak puasa pun dapat pahala penuh macam orang berpuasa. Kita kena ambil peluang ini Mama.
Zaid bin Khalid al-Juhani RA;
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.”
(Hadis riwayat Tirmizi)
Tak kisahlah kita yang masakkan atau kita beli. Selagi makanan itu dinikmati orang yang berpuasa, kita akan dapat pahala dengan izin Allah.
#8 Berselawat
Kelebihan berselawat untuk wanita haid termasuklah diberikan kecukupan dalam hidupnya. Kadang-kala kita berusaha menyediakan masa untuk melakukan sesuatu tetapi masih juga tidak cukup.
Usahakanlah untuk perbanyakkan selawat, semoga Allah dan Rasulullah SAW memberikan kecukupan atas sesuatu yang kita perlukan.
#9 ‘Me Time’ dan Zikir
Personaliti Aida Azlin pernah kongsikan cara kita berdisiplin solat di awal waktu. Kata beliau, ketika sedang datang bulan, kita hendaklah luangkan masa mengingati Allah SWT dalam tempoh yang biasa diluangkan semasa solat.
Contohnya, Mama tulis jurnal tentang nikmat yang sedang dinikmati atau cukup dengan duduk dan refleksi diri.
Ada benar kata-kata itu kerana Allah juga berfirman;
فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ
Maksudnya: Ingatlah Aku, nescaya Aku akan mengingatimu, dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur.
(Surah al-Baqarah: 152)
#10 Membaca Al-Mathurat
“Tapi dalam al-Mathurat ada ayat al-Quran lah Mama Siti? “
Jangan bimbang kerana ianya dianggap sebagai zikir dan bukan membaca naskah al-Quran. Al-Mathurat merupakan himpunan wirid dan doa harian yang dibacakan pada setiap waktu pagi dan petang.
Melalui kreativiti Mama sendiri, cuba pelbagaikan amalan ketika haid dan nifas berdasarkan 10 amalan ketika datang bulan yang Mama Siti kongsikan itu.
Semoga usaha ini menjadi jalan untuk kita masuk ke syurga.
Tingkatkan amal ibadah dengan pelbagai panduan lain di SINI.