KelabMama

10 Tips Ajar Anak Menjahit Guna Mesin Jahit dan Guna Tangan

kanak-kanak menjahit

Tiada apa yang lebih menggembirakan hati daripada mendapat ahli keluarga yang menyukai hobi kegemaran kita.

Itulah sebabnya kita perlu mula mendedahkan perihal menjahit kepada anak-anak serta bermain permainan berkaitan jahitan sejak mereka kecil lagi. 

Berikut ialah 10 tips ajar anak menjahit untuk Mama dan anak-anak mendapat pengalaman yang indah dan dapat berseronok.

10 Tips Ajar Anak Menjahit

#1 Lagi Awal, Lebih Baik

Setiap anak berkembang dengan tahap kemampuan berbeza tetapi semakin awal kita mendedahkan jahitan kepada anak-anak, semakin besar kemungkinan pengetahuan dan kemahiran itu akan kekal. 

Sesetengah kanak-kanak boleh mula mempelajari asas pengendalian mesin pada usia empat tahun, tetapi umur yang Mama Siti syorkan ialah sekitar enam tahun.

Sebaik sahaja anak Mama berumur 8 tahun, beri kepercayaan kepada anak-anak membuat projek jahitan mereka sendiri tanpa pengawasan.

Paling penting, langkah pertama ialah untuk ajarkan teknik jahitan dengan teliti dan dengan ciri-ciri keselamatan.

Mulakan dengan mengajar anak Mama cara menggerakkan kain perca sambil mengawal pedal

Pastikan mereka sentiasa berhati-hati dengan jarinya dan ajar mereka untuk melepaskan kakinya dari pedal sebaik sahaja Mama kata “berhenti”.

#2 Guna Alat Sebenar

Sudah tentu, terdapat  mesin jahit mainan yang bagus untuk membiarkan anak Mama bermain ketika mereka kecil. 

Namun begitu, jika menurut penilaian Mama anak sudah pandai mengawal koordinasi kaki dan tangan, jangan takut untuk membiarkan mereka menggunakan mesin sebenar.

Kalau nak anak belajar dan menyukai jahitan, kita perlu ajar mereka untuk membuat projek sebenar.

#3 Tak Perlu Tergesa-gesa

Kredit gambar: homeschoolmasteryacademy.com

Penting untuk kita ajar anak menjahit perlahan-lahan sehingga mereka  mahir setiap satu teknik jahitan. Lebih perlahan, lebih selamat dan lebih mudah difahami. 

Kadang-kadang kita sebagai ibu bapa nak anak menang dalam semua perkara sampai lupa yang setiap anak ada kemampuan masing-masing. 

Bukan makna bila anak lambat ‘tangkap’ tu maksudnya dia tak bijak. Dia sama saja seperti kanak-kanak lain, cuma proses mereka menguasai sesuatu perkara yang ambil masa.  

Biarkan mereka belajar menjahit secara perlahan-lahan mengikut kadar yang selesa.

#4 Beri Kebebasan Memilih

Kredit gambar: wodonga.vic.gov.au

Beri peluang anak Mama memilih fabrik, corak dan warna kegemaran mereka. 

Projek jahitan pertama mereka mungkin kelihatan agak pelik dan tak cantik, tetapi itu tak mengapa asalkan anak akan seronok menyiapkan projek mereka sendiri.

Bimbing anak Mama dalam proses menyiapkan projek mereka dengan mencadangkan fabrik dan rekaan yang mudah dijahit.

Bukan bermaksud untuk halang pilihan anak-anak tetapi cara Ini membantu mereka belajar menjahit tanpa rasa kecewa apabila perlu mengendalikan fabrik dan rekaan yang lebih kompleks.

Mama Siti cadangkan agar anak Mama menggunakan fabrik jenis kapas quilting atau fleece sebagai permulaan.

#5 ‘Practise Makes Perfect’

Bila anak buat jahitan yang sama berulang-ulang kali, Mama perlu tenang sahaja. Tak perlu paksa anak untuk cuba jahitan lain yang mereka belum pandai. 

Waktu-waktu macam ni, rugi kalau Mama lepaskan macam tu sahaja. Sebab Mama boleh manfaatkan untuk beri dorongan seperti kata-kata semangat dan raikan pencapaian anak-anak. 

Tak lama lagi, Mama pasti terkejut dengan kemajuan dan peningkatan anak-anak dalam menjahit. 

#6 Guna Kadbod Berbanding Tisu

Kredit gambar: Say Yes

Ada ibu bapa yang ajar anaknya menjahit dengan menggunakan tisu kerana tisu lebih murah dan mudah didapati. 

Sebenarnya cara ini agak tidak digalakkan kerana tisu sangat ringan dan mudah terbang. 

Oleh itu, gunakan bahan keras seperti kadbod ketika ajar anak menjahit kerana kesan jahitan lebih jelas kelihatan dan ianya juga tidak mudah koyak. 

#7 Lukis Garisan Jahit

Bagi kanak-kanak kecil, mungkin sukar untuk mereka mengekalkan garis lurus semasa menjahit. Oleh itu, Mama Siti cadangkan supaya Mama melukis garisan pada kain atau bahan jahitan sebelum anak menjahit.

Jika anak-anak sudah besar dan biasa dengan mesin jahit, biarkan mereka menjahit tanpa perlu melukis semua garis panduan itu.

#8 Guna Fabrik Secara Hemat

Kredit gambar: WeAllSew

Mama Siti yakin bukan anak Mama Siti saja yang suka mula menjahit di bahagian tengah kain kan. 

Mesti anak-anak Mama pun ada juga yang macam tu dimana mereka suka menjahit dan gunting dari bahagian tengah fabrik.

Kalau dibiarkan, mereka mungkin tak tahu yang fabrik boleh dipotong dari tepi dan dengan cara ini kita boleh menjahit banyak rekaan. 

Di samping itu juga apabila kita berhemat dalam penggunaan fabrik, banyak kain yang boleh diselamatkan dari pembaziran. 

#9 Guna Benang Tebal Kalau Jahit Tangan

Gunakan benang tebal setiap kali Mama ajar anak menjahit menggunakan tangan. 

Ini kerana ia mudah digunakan kerana jahitan kerana ianya tidak mudah kusut ataupun berpintal. Tidak seperti jenis benang yang biasa kita gunakan untuk menjahit pakaian. 

Sebagai tips ajar anak menjahit adalah dengan menggunakan benang upholstery atau benang quilting tangan.

Selain itu, pakai jarum sulaman dengan hujung yang  besar untuk memudahkan jahitan tangan untuk kanak-kanak.

Satu lagi tips, Mama boleh ajar anak menjahit tanpa simpulan supaya mereka boleh menanggalkan jahitan dan buat semula. 

#10 Jadikan Pengalaman Indah

Anak-anak sukakan permainan dan cabaran. 

Jadi, apabila menjahit bersama-sama anak, pastikan Mama menjadikannya sebagai pengalaman yang menyeronokkan. Lebih menyeronokkan sesuatu proses, lebih baik hasil akhirnya.

Sesungguhnya, kegembiraan yang Mama rasai turut sama dapat dirasai oleh anak. 

Akhirnya, pengalaman belajar menjahit menjadi salah satu daripada memori teras (core memory) anak-anak. 

Kredit gambar: Little Princess Shinta

Tak rugi pun ajar anak menjahit walaupun mereka anak lelaki. Walaupun prosesnya mungkin mencabar bagi sesetengah orang, apa lah sangat dengan impak kepada anak ketika mereka besar nanti. 

Semoga tips ajar anak menjahit ini memudahkan proses Mama ajar anak menjahit fabrik. 


Mama Siti kongsikan pelbagai tips amal ibadah di SINI.