KelabMama

AJAK ANAK BERBORAK, KURANGKAN PENGGUNAAN GAJET

Menjadi kebiasaan ibu bapa masa kini memberikan anak-anak dengan pelbagai gajet yang menghidangkan permainan-permainan video, rancangan kartun serta hiburan berunsurkan muzik, dengan harapan anak-anak itu dapat belajar sesuatu daripada gajet berkenaan. Lebih buruk, ada pula yang memberikan gajet berkenaan agar anak-anak dapat dikawal tingkah laku bagi membolehkan ibu bapa melakukan rutin harian tanpa diganggu. Namun, tanpa sedar kecenderungan itu sebenarnya meningkatkan risiko anak-anak mengalami kelewatan kemahiran komunikasi sosial dan kelewatan bahasa.

 

KEBURUKAN GAJET TERHADAP SI KECIL

Kanak-kanak memerlukan komunikasi dua hala, iaitu interaksi bersama ibu-bapa dan individu di persekitarannya untuk membina kemahiran bahasa dan komunikasi. Rangsangan bahasa yang diberikan semasa kanak-kanak itu bermain atau semasa proses interaksi akan membantu kanak-kanak untuk faham input yang diberikan dengan lebih baik. Bermain tanpa penggunaan gajet juga amat penting dalam proses pembesaran kanak-kanak. Menerusi bermain, kanak-kanak membina kemahiran kognitif dan sosial, sekaligus merangsang perkembangan bahasa dan pertuturan. Penglibatan aktif kanak-kanak dalam proses interaksi akan memberi keyakinan untuk mereka mengekspresi diri.

 

PENDENGARAN BERKESAN

Tahap pendengaran yang baik amat diperlukan untuk membolehkan kanak-kanak membina kemahiran bahasa dan pertuturan. Ibu bapa juga perlu tahu, seseorang kanak-kanak boleh mendengar sejak kandungan ibu mencecah usia empat bulan. Sebab itu, setiap kelahiran di hospital kita akan jalankan pemeriksaan saringan untuk memastikan tahap pendengaran bayi berkenaan. Jika bayi tersebut mengalami masalah pendengaran kita akan rujuk kepada pakar berkaitan. Ini kerana, hanya melalui pendengaran sahaja dapat merangsang pertuturan, jadi ujian pendengaran sangat penting dalam memastikan kanak-kanak berkenaan mempunyai akses kepada bunyi-bunyi pertuturan. Walaupun ada ibu bapa yang menyangka ujian tersebut tidak penting, ujian berkenaan adalah penentu kepada masalah selanjutnya. Ini kerana biarpun mengalami masalah pendengaran tahap sederhana, hakikatnya kanak-kanak itu telah kehilangan banyak bunyi-bunyi pertuturan yang membantu mereka bercakap.

Pengesanan dan intervensi awal amat penting untuk membolehkan kanak-kanak memiliki kemahiran bahasa yang baik dan meningkatkan potensi mereka apabila mencapai umur persekolahan. Dengan adanya kemahiran bahasa dan keupayaan untuk bertutur serta berkomunikasi dengan berkesan, seseorang kanak-kanak akan dapat berkongsi emosi dan keperluannya, sekali gus mengurangkan masalah perlakuan.

 

SEGERA JUMPA PAKAR

Dalam konteks rawatan pula, masalah kelewatan bercakap dapat diatasi melalui terapi pertuturan yang melibatkan pelbagai ujian bagi mengenalpasti tahap kefahaman dan ujaran (ekspresi) serta kefungsian motor pertuturan kanak-kanak berkenaan. Terdapat kanak-kanak dengan kelewatan bahasa turut mempunyai masalah kelewatan perkembangan yang lain seperti kemahiran motor kasar (berjalan, berlari), pergerakan motor halus (menulis, melukis) dan perkembangan kognitif (pembelajaran, pemprosesan maklumat).

Jika kanak-kanak dengan lewat bercakap ini turut menunjukkan masalah perkembangan yang lain, mereka akan turut dirujuk kepada profesional berkenaan untuk intervensi. Ujian pendengaran bersama ahli audiologi juga amat penting bagi memastikan kanak-kanak mempunyai pendengaran yang baik untuk semua bunyi-bunyi pertuturan.

 

ELAK GUNA BAHASA BERCAMPUR

Ibu bapa digalak mengelakkan penggunaan bahasa yang bercampur dalam satu. Ketika menggunakan bahasa Inggeris, kena cakap take the blue ball bukannya ‘ambil blue ball’. Setiap bahasa mempunyai peraturan tersendiri. Percampuran perkataan menyebabkan kanak-kanak akan menjadi keliru pada peraturan bahasa berkenaan.

 

 

 

 

 

 

 

Sumber: Ketua Jabatan Perkhidmatan Pemulihan yang juga Patologi Pertuturan-Bahasa, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Nor Shahrina Mohd. Zawawi & Utusan