KelabMama

AirAsia dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura, Gardens by the Bay dan Kumpulan Hidupan Liar Mandai lancar rekaan pesawat ‘Love, Singapore’ untuk memacu sektor pelancongan serantau

AirAsia Singapore 2024, Love Singapore

AirAsia dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Gardens by the Bay dan Kumpulan Hidupan Liar Mandai hari ini melancarkan rekaan pesawat ‘Love, Singapore’.

Pelancaran ini adalah sebahagian daripada usaha kerjasama kempen mempromosikan sektor pelancongan Singapura bagi pengembara dari Malaysia, Thailand dan Indonesia sempena tempoh perjalanan akhir tahun di rantau ini.

Rekaan pesawat Airbus A320 ini memaparkan tarikan ikonik Singapura, termasuk Gardens by the Bay dan taman hidupan liar daripada Kumpulan Hidupan Liar Mandai seperti Zoo Singapura dan Bird Paradise, bersama-sama Merli yang merupakan produk jenama Singapura terkemuka yang diilhamkan oleh tugu Merlion.

Rekaan ini bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pelancong serantau bagi menerokai pengalaman menakjubkan yang ditawarkan di Singapura.

Terrence Voon, Pengarah Eksekutif, Asia Tenggara Lembaga Pelancongan Singapura berkata: “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan AirAsia dan pemain industri pelancongan untuk mempromosikan Singapura di ruang udara serantau. Pelbagai acara dan pengalaman yang menarik ditawarkan kepada para pelancong untuk melawat serta mengunjungi semula Singapura pada tahun ini. Kami menggalakkan mereka untuk mengambil peluang daripada tawaran hebat yang akan dilancarkan bersama-sama rekaan pesawat ‘Love, Singapore’ ini untuk menempah percutian seterusnya ke Singapura.”

Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Pengarah Urusan AirAsia Malaysia berkata: “Kami berbesar hati apabila dapat bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Singapura sempena meraikan 20 tahun operasi kami di Singapura pada tahun ini. Kami kini mengendalikan 286 penerbangan mingguan antara Singapura dan Malaysia. Laluan udara Kuala Lumpur-Singapura yang merupakan laluan paling sibuk di dunia amat penting untuk meningkatkan pelancongan serantau dan kerjasama ini adalah peluang yang tepat untuk memanfaatkan rangkaian penerbangan kami yang luas bagi memperkukuh hubungan antara negara jiran.”

Addison Goh, Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan, Gardens by the Bay berkata: “Gardens by the Bay berbangga untuk bekerjasama dengan AirAsia dan Lembaga Pelancongan Singapura. Sebagai taman pameran hortikultur yang baru-baru ini telah dinobatkan sebagai tarikan terbaik di Asia dan tarikan kelapan terbaik di dunia dalam Anugerah Pilihan Pengembara TripAdvisor 2024, misi utama kami adalah untuk mempromosikan kecintaan terhadap dunia tumbuhan dengan cara  baharu dan kreatif menerusi pelbagai golongan dan bukan sahaja pencinta alam semula jadi. Kami juga menawarkan pelbagai tarikan lain kepada pengunjung ke Singapura dan kami berbesar hati untuk berkongsi segala usaha kami dengan para pelancong di seluruh rantau ini.”

Jean Choi, Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran, Kumpulan Hidupan Liar Mandai berkata: “Kami berbangga untuk mempamerkan keunikan taman hidupan liar kami di ruang udara serantau dengan cara tersendiri. Kami menawarkan pelbagai pengalaman kepada pengunjung seperti interaksi secara berdekatan dengan haiwan dan acara tahunan seperti ulang tahun ke-30 Night Safari. Sebagai sebahagian daripada kempen ‘Love, Singapore’, para tetamu AirAsia yang menempah penerbangan ke Singapura boleh menikmati promosi istimewa untuk mengunjungi taman ini atau menikmati pakej ParkHopper dengan nilai hebat di mana anda boleh melawati empat taman dengan harga yang lebih rendah. Ini adalah masa yang tepat untuk melawat Singapura dan menerokai pengalaman hidupan liar yang menakjubkan.”

Bagi meraikan pelancaran rekaan pesawat baharu ini, AirAsia menawarkan tambang rendah bermula daripada RM78 termasuk semua* sehala untuk pengembara yang ingin menerokai Singapura dengan penerbangan terus dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Langkawi, Kuching, Ipoh dan Kota Kinabalu.

Tambang promosi ini boleh ditempah di aplikasi AirAsia MOVE (dahulu dikenali sebagai airasia Superapp) dan airasia.com mulai hari ini sehingga 30 Ogos 2024 untuk tempoh perjalanan segera sehingga 30 Jun 2025.

AirAsia kini mengendalikan 10 penerbangan terus dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Langkawi, Kuching, Kota Kinabalu, Jakarta, Bali, Bangkok, dan Phuket ke Singapura.

Selain itu, penumpang AirAsia juga boleh menikmati tawaran eksklusif di pelbagai tarikan utama di Singapura dengan hanya menunjukkan pas masuk mereka.

Tawaran ini memberikan penjimatan yang banyak dan menambahkan pengalaman berharga untuk para pengunjung ke Singapura.

*Tambang promosi termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala sahaja. Termasuk cukai lapangan terbang, fi MAVCOM, surcaj bahan api dan caj-caj lain yang berkenaan. Tertakluk pada terma dan syarat lain.