KelabMama

Ingin Bawa Keluarga Menikmati Keindahan Alam Pada Hujung Minggu? 10 Air Terjun Di Kawasan Selangor

Siapa sangka di sebalik kesibukan bandar, terdapat beberapa lokasi air terjun dan hutan simpan yang mampu memberikan ketenangan kepada warga kota yang tinggal di situ. Selangor antara negeri yang tersibuk dengan perkembangan ekonomi serta pembangunan semasa.

Cukup tenang, cukup mendamaikan serta cukup memberikan kerehatan kepada minda buat warga kota apabila sesekali dapat lari dari kesibukan urusan kerja dan dapat menghabiskan masa senggang di kawasan pergunungan yang menghijau, mandi manda di air terjun yang dingin, bersama keluarga tercinta.

Bagi Mama Papa yang inginkan masa senggang diisi dengan aktiviti menarik di kawasan semula jadi ini, apa kata kali ini anda ambil peluang dengan menghabiskan masa hujung minggu anda bersama keluarga atau rakan-rakan ke kawasan air terjun di kaki-kaki bukit sekitar Selangor.

Keriangan anak kecil bermain di dalam air dan Mama sibuk menyediakan makanan di kawasan teduh sudah cukup membuatkan anda tersenyum bahagia.

Kali ini, Mama Siti ingin menyenaraikan 10 Air Terjun Di Selangor Yang Menarik untuk Mama Papa sekeluarga. Rancanglah aktiviti hujung minggu anda sebaiknya dan dapatkan kerehatan minda yang sebenar sambil menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.

10 Air Terjun yang Ada di Selangor

1. Air Terjun Batu Asah – Hulu Langat

Kredit gambar: Hiking The World

Air Terjun Batu Asah turut dikenali sebagai Air Terjun Kemensah kerana lokasinya terletak di kawasan Kampung Kemensah, Hulu Klang Selangor. Jadi, jangan keliru bila ada sesetengah yang meyebut Air Terjun Kemensah dan yang lain menggelarnya sebagai Air Terjun Batu Asah kerana ianya lokasi yang sama dengan dua nama yang berbeza.

Bagi anda yang inginkan pengalaman yang baru dalam menerokai keindahan semula jadi di lokasi ini, All Terrain Vehicle atau juga dikenali sebagai ATV rides adalah sesuatu yang wajib anda cuba. Bukan saja dapat merasai kelasakan ketika mengikuti geng ATV rides bahkan anda juga dapat menikmati keindahan alam semula jadi secara lebih dekat lagi.

2. Air Terjun Semangkuk – Rawang

Kredit gambar: Selangor.travel

Air Terjun Semangkuk bukanlah seluas dan selapang air terjun yang lain. Namun, ia mempunyai daya tarikan dan keistimewaannya yang tersendiri. Lokasinya di antara Kuala Kubu Bharu menuju ke Bukit Fraser menjadikan lokasi ini sebagai tempat persinggahan wajib bagi pengunjung yang ingin bercuti ke Bukit Fraser.

3. Lata Makau – Kuala Kubu Bharu

Kredit gambar: Malaysia Hikes

Kuala Kubu Bharu (KKB) sememangnya menjanjikan kepuasan yang maksimum buat penggemar aktiviti lasak dan ekstrem.

Persiapkan mental dan fizikal sebaiknya sebelum ke sini. Ini antara pesanan untuk anda yang merancang ke Lata Makau. Untuk sampai ke lokasi ini, anda perlu meredah hutan terlebih dahulu dan perjalanannya mengambil masa kira-kira selama 2 hingga 3 jam. Agak mencabar bukan?

Melihat pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan serta dapat menyejukkan badan dengan dingin air sungai sudah pasti perjalanan anda meredah hutan sebentar tadi sememangnya berbaloi-baloi.

4. Sungai Pisang – Gombak

Kredit gambar: Visit Selangor

Sungai Pisang sangat popular di daerah Gombak terutamanya dalam kalangan pelajar IPT di sekitar Gombak.

Pelajar dari UIA, UNIKL, BMI dan lain-lain institusi sangat gemar meluangkan masa hujung minggu dengan pelbagai aktiviti yang menarik di kawasan ini. Tak terkecuali juga dengan masyarakat di sekitar daerah Gombak. 

Air sungainya yang dingin, trek meredah hutan yang sederhana lasak serta ruang bersantai yang cukup mendamaikan adalah daya tarikan utama mengapa pengunjung lebih memeilih untuk menghabiskan sisa-sisa hujung minggu mereka di sini.

5. Sungai Sendat – Ulu Yam

Kredit gambar: Facebook- Rimbunan Chalet Ulu Yam Sg. Sendat

 Hutan Lipur Sungai Sendat terletak di Jalan Ulu Yam yang menuju ke Batang Kali. Persekitaran sungai yang dihiasi dengan floral dan fauna yang eksotik serta mempunya 3 tingkat air terjun sudah pasti menjadi daya penarik kepada para pengunjung.

Berlainan kedalaman dan keluasan kolam di kawasan ini memberikan kelebihan kepada para pengunjung untuk merasai dan melakukan pelbagai aktiviti mandi manda.

6. Air Terjun Serendah – Rawang

Kredit gambar: Foursquare

Templer Kai dan Rekreasi Air Terjun Serendah, merupakan destinasi sasaran pencinta alam popular di daerah Hulu Selangor. Lokasinya tak jauh dari Kuala Lumpur dan mudah diakses antara faktor penarik ia dikunjungi ramai terutama oleh warga kota.

Apa yang lebih menariknya, terdapat perkampungan masayrakat orang asli yang terletak tidak jauh dari kawasan ini yang boleh dilawati bersama anak-anak.

Melihat cara hidup masyarakat orang asli, seni bina rumah dan cara pergaulan mereka sudah pasti percutian ini akan memberikan pengalaman yang baru buat anak-anak.

7. Air Terjun Templer

Air Terjun Templer terletak di dalam hutan simpanan Templer sememangnya menarik dan menjanjikan kelainan buat para pengunjung. 

Kawasan Sungai Templer kebiasaannya akan menjadi tumpuan ratusan pengunjung yang ingin menghabiskan masa hujung minggu yang berkualiti. Tetapi jangan risau kerana tempat letak kereta dan kawasan rehat adalah mencukupi bagi menampung pengunjung yang datang ke sini.

Pondok berkelah, bilik salin pakaian dan surau disediakan bagi memudahkan urusan para pengunjung. Selain itu, laluan serta jambatan bagi menjamin keselamatan turut dibangunkan.

Bukan itu saja, pengunjung juga dilengkapi dengan kemudahan lain seperti kedai makan, tapak perkhemahan dan juga chalet bagi yang berminat untuk bermalam di sini.

8. Sungai Gabai – Hulu Langat

Kredit gambar: Visit Selangor

Kejernihan air sungai di Sungai Gabai pasti akan memikat hati anda sekeluarga. Kelestarian yang masih terjaga, kedingin air yang terasa serta kemudahan yang disediakan adalah yang terbaik.

Sungai Gabai bukan hanya sesuai untuk aktiviti mandi manda sahaja tetapi di sini anda boleh berBBQ bersama keluarga.

Antara kemudahan lain yang disediakan di sini adalah pondok tempat berteduh yang memuatkan lebih dari 5 orang pengunjung, penjaga parking yang memudahkan urusan pengunjung serta tandas dan surau yang bersih untuk digunakan.

9. Sungai Tekala – Hulu Langat

Kredit gambar: Petit Go

Air terjun Sungai Tekala memang terkenal dengan kecantikanya. Air yang jernih, suasa dingin serta kedalaman air yang cetek dan arus yang tidak deras menjadikanya destinasi yang sesuai untuk keluarga yang mepunyai anak kecil.

Tambahan pula, terdapat kolam tadahan buat pengunjung untuk berendam sememangnya cukup sesuai bagi anda sekeluarga untuk berehat rehat di sini.

Bagi anda yang belum pernah ke sini, bayaran sebanyak RM1 bagi orang dewasa dan RM0.50 untuk kanak-kanak akan dicaj sebelum masuk ke kawasan ini. Antara kemudahan yang disediakan di sini adalah tandas dan surau.

10. Sungai Kancing – Selayang

Kredit gambar: Selangor.travel

Apa yang menariknya di Air Terjun Kancing Selayang sehingga ia tersenarai dalam senarai air terjun menarik di Selangor ini? Untuk makluman anda, terdapat 7 peringkat air terjun untuk anda terokai bersama rakan-rakan serta keluarga pada hujung minggu di sini.

Tapi, pastikan stamina anda cukup ye sebelum ke sini kerana untuk sampai ke peringkat yang paling atas anda perlu meredah hutan terlebih dahulu. Namun begitu jangan risau kerana ianya amat berbaloi bagi anda si pencinta alam semula jadi.

Pemandangan yang cantik, suasana yang dihiasi dengan kicauan burung serta kerjenihan air dingin yang memikat hati bakal anda nikmati nanti.

Selain dari itu, sungai yang cetek serta kurang berbatu sangat sesuai untuk aktiviti berenang terutamanya bagi anak-anak kecil. Kemudahan seperti tandas, surau dan tempat persalinan pakaian antara keistimewaan dan kemudahan lain turut disediakan di sini.

Sekarang Mama Papa dah tahu, mana nak pergi untuk hujung minggu ni, kalau nak rasai keindahan khazanah alam di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Apa tunggu lagi! Cepat-cepat buat perancangan untuk ke sana hujung minggu ini.

Kalau anda inginkan pelbagai lagi info menarik jangan lupa untuk hidupkan notifikasi! Mama Siti akan kongsikan pelbagai lagi tempat-tempat menarik di sekitar selangor.


Mama Siti kongsikan pelbagai tempat-tempat menarik di SINI.