Nabeez adalah air rendaman (infused water) yang digemari Nabi Muhammad S.A.W, sama ada menggunakan kurma ataupun kismis, yang direndam semalaman. Kurma atau kismis ini telah larut khasiat vitamin dan mineral di dalamnya setelah direndam, lebih mudah dihadam dan akan membekalkan tenaga kepada badan kita, terutamanya sepanjang berpuasa.
Ada ibu-ibu menyusu bagitahu Mama Siti, mereka rasa lebih mudah menjalani ibadah puasa selepas amalkan bersahur dengan air Nabeez ini. Tambahan pula, air nabeez yang menggunakan buah kurma dapat membantu menambahkan susu ibu secara semula jadi.
Daripada Ibn ‘Abbas di dalam riwayat Sahih Muslim, katanya: Rasulullah S.A.W selalu dibuat nabeez untuk Baginda pada awal malam.
Lalu Baginda meminumnya apabila masuk waktu pagi hari tersebut, juga pada malam yang akan tiba, pada keesokkan pagi, pada malam lain, pada keesokan pagi (hari ketiga) hingga Asar. Sekiranya masih berbaki sedikit, Baginda akan memberinya kepada khadam atau Baginda memerintahkan supaya membuangnya (dikhuatiri menjadi air peraman).
Resepi Air Nabeez
Bahan-bahan
- 500ml Air mineral atau bertapis
- 5 biji Kurma atau 10 biji kismis saiz sederhana (hanya gunakan salah satu bagi setiap bekas)
- Gelas kaca berpenutup untuk rendaman
Cara Membuat Air Nabeez
- Sediakan jar atau gelas kaca dan masukkan air dan kurma atau kismis yang telah dibuang bijinya.
- Simpan semalaman sebelum tidur di dalam peti sejuk untuk diminum semasa sahur nanti.
- Ambil segelas untuk diminum dan baki boleh diminum untuk hari kedua.
- Isi kurma atau kismis yang telah lembut itu juga boleh dimakan sebagai sumber serat yang baik.
Kelebihan Air Nabeez
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sebuah universiti di Arab Saudi, kurma mempunyai manfaat anti-oksidan yang boleh memberikan tenaga, mengelakkan keradangan yang berlaku ketika berpuasa, mengelakkan ketumbuhan, melawan jangkitan, dan banyak lagi.
Kismis juga mempunyai khasiat yang hampir sama dengan kurma. Kedua- dua kurma dan kismis kaya dengan vitamin dan mineral seperti vitamin B, magnesium, potassium dan lain-lain.
Menu ini sangat ringkas namun bernutrisi, sesuai bagi semua dan Mama yang masih menyusukan anak. Mama Siti harap Mama sekalian bolehlah cuba resepi ini ya untuk bersahur, insyaAllah dipermudahkan urusan berpuasa.
Jangan dilupakan bahawa, ibu hamil dan menyusu tetap diberikan rukhsah untuk berbuka. Tidak perlu rasa sedih apabila Mama telah berusaha semampu daya.
Selamat bersahur, Mama!