KelabMama

Air Ketuban Banyak? Awas! Itu Mungkin Petanda Masalah Dalam Kandungan

Usia kandungan masih belum mencecah 9 bulan, namun perut Mama dah kelihatan sarat seperti sedang menunggu masa untuk melahirkan. Awas Mama, saiz perut yang terlampau besar boleh menjadi petanda bahawa kuantiti air ketuban Mama terlalu banyak.

“Perlukah saya bimbang jika mempunyai air ketuban berlebihan?”

Lazimnya, ya. Ini kerana kehamilan yang mengandungi air ketuban tidak normal sama ada kurang daripada kuantiti asal ataupun terlampau banyak mungkin merupakan petunjuk bahawa bayi dalam rahim itu sedang mengalami masalah kesihatan.

Menurut laporan Hello Doktor, air ketuban atau juga dikenali cecair amniotik berfungsi sebagai salah satu daripada sistem sokongan kehidupan bayi yang meliputi sepenuhnya si kecil ketika mereka berada dalam rahim. Namun, amaun cecair yang mungkin terlalu banyak atau terlalu sedikit berupaya mengakibatkan infection kepada plasenta.

Pada awal kehamilan iaitu seawal minggu ke-14, cairan ini akan melalui sistem peredaran darah. Ketika permulaan trimester yang kedua, bayi akan mula menelan air tersebut dan kemudiannya mengeluarkannya melalui sistem urin.

Seterusnya, mereka akan mengulangi proses ini dalam tempoh beberapa jam demi memastikan amaun cecair ini berada pada tahap yang sama. Secara amnya, kebanyakan cecair amniotik ini datangnya daripada sistem urin bayi dalam kandungan Mama. Oleh itu, bayi memainkan peranan pentung dalam mengekalkan amaunnya dalam rahim anda.

Namun, jika sistem ini tidak berjalan seperti sepatutnya, ia akan mengakibatkan cecair itu menjadi terlalu banyak atau terlalu sedikit dan seterusnya menyebabkan pelbagai komplikasi lain.

Punca Air Ketuban Banyak

Merungkai lebih lanjut, seorang Pakar Kesihatan, Dr. Zubaidi Ahmad berkata, dalam istilah perubatan, situasi air ketuban banyak dipanggil sebagai Polyhydroamnios. Masalah ini boleh disebabkan penyakit yang berlaku pada ibu ataupun bayi tersebut. 

Katanya, hanya satu peratus orang yang mengandung akan mengalami masalah air ketuban banyak. Dan daripada jumlah tersebut, 20 peratus daripada mereka mungkin mempunyai bayi yang mengalami kecacatan semasa berada dalam kandungan.

Oleh itu, pesakit yang berhadapan masalah ini selalunya akan dirujuk kepada hospital untuk mencari punca kepada masalah tersebut.

Beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan masalah ini adalah:

  1. Mengandung bayi kembar.
  2. Organ yang tidak sempurna pada bayi: Saluran permakanan yang mempunyai masalah ataupun tidak terbentuk dengan normal menyebabkan bayi tidak mampu menelan air ketuban tersebut. Perkara ini selalu terjadi pada saluran esofagus (esophageal atresia) dan saluran usus kecil (duodenal atresia).
  3. Masalah saraf yang menyebabkan bayi tidak mampu menelan.
  4. Jantung bayi yang bermasalah.
  5. Ibu mengalami kencing manis.

#Risiko Air Ketuban Banyak

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Nurhazinat Mohamed Yunus, kekurangan atau berlebihan air ketuban boleh mendatangkan komplikasi kepada janin. Ia biasanya dikaitkan dengan diabetes yang menyebabkan bayi besar dan jangkitan kuman.

Bila kuantiti air ketuban berlebihan, Mama turut berpotensi berhadapan situasi ini:

1. Kelahiran pramatang dan meningkatkan risiko air ketuban pecah lebih awal. Namun begitu, dalam keadaan kehamilan yang sudah melebihi 35 minggu, biasanya organ dalaman bayi sudah agak matang. Jika dikhuatiri ibu bersalin lebih awal, sejenis steroid iaitu dexamethasone akan disuntik kepada ibu untuk mematangkan paru-paru bayi.

2. Kedudukan songsang. Ini disebabkan kedudukan bayi berada dalam keadaan kurang stabil dan bayi akan berpusing dan tidak berada dalam laluan sepatutnya. Jadi, risiko untuk kelahiran secara pembedahan adalah lebih tinggi.

3. Meningkatkan risiko uri terlepas lebih awal daripada masanya (abrupsi plasenta) dan menyebabkan pembedahan terpaksa dilakukan.

4. Dalam proses kelahiran pula, sekiranya air ketuban pecah sendiri, risiko untuk tali pusat keluar dulu adalah tinggi dan ini sangat membahayakan bayi. Jadi, kemungkinan besar ibu yang mengalami masalah polihidramnios akan dimasukkan ke wad lebih awal dan kantung air ketuban dipecahkan oleh doktor untuk mengelakkan tali pusat terkeluar dulu.

5. Selepas kelahiran, risiko untuk tumpah darah atau pendarahan juga lebih tinggi disebabkan rahim mengambil masa untuk mengecut semula.

#Cara Untuk Mengelakkannya

Menurut Dr. Zubaidi, tiada ubat yang spesifik digunakan untuk merawat masalah ini. Tetapi ada beberapa perkara yang akan dilakukan oleh doktor untuk menghadapi masalah ini.

Antaranya ialah pantauan dari doktor. Ibu yang menghadapi masalah ini selalunya akan dipantau dengan lebih kerap oleh doktor.

Ini untuk memastikan bahawa kandungan tidak menghadapi apa-apa masalah. Kandungan tersebut akan diberi masa hingga cukup bulan untuk dilahirkan seperti biasa.

Selain itu ialah kelahiran yang tidak cukup bulan. Pesakit yang mengalami masalah ini akan mempunyai risiko untuk kelahiran pra-matang.

Ini disebabkan saiz rahim yang semakin membesar akan merangsang proses kelahiran walaupun pada ketika itu bayi masih lagi tidak cukup bulan.

Jika proses bersalin telah bermula walaupun bayi masih tidak cukup bulan, pesakit perlulah menerima suntikan steroid untuk memastikan paru-paru bayi menjadi matang dan boleh bernafas seperti biasa apabila dilahirkan.

Jika bayi tersebut menunjukkan simptom yang bermasalah seperti bacaan denyutan jantung yang tidak normal, pesakit perlulah menjalani pembedahan caesarean untuk mengeluarkan bayi secepat mungkin.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Untuk pelbagai tips dan info kehamilan, Mama boleh lihat di SINI!