Semalam Mama Siti buat air barli, suka betul anak-anak Mama Siti minum. Bergelas-gelas ditambahnya! Kita pun ikut suka tengok anak-anak suka minum air barli ni. Yalah, barli ni kan banyak khasiatnya. Selain dibuat minuman, mama juga boleh buat sup ataupun bubur kalau anak mama demam.
Bercakap pasal khasiat barli ni, apa khasiatnya? Ha, buat pengetahuan mama, barli mengandungi sumber serat, vitamin, kalsium, zat besi, mangan, magnesium, anti-oksidan dan macam-macam lagi! Ibu mengandung pun digalakkan minum tau.
6 Khasiat Barli Untuk Ibu Mengandung & Menyusu
Berikut adalah antara khasiat barli untuk ibu mengandung dan menyusu.
1. Milk Booster Semulajadi
Menurut Hello Motherhood, barli tergolong sebagai salah satu makanan laktogenik, iaitu kategori makanan yang boleh menggalakkan penghasilan susu badan.
Seperti oat, barli telah diamalkan sejak berkurun lamanya sebagai milk booster semulajadi yang berkhasiat tinggi untuk ibu menyusu.
2. Membantu Melancarkan Pencernaan
Disebabkan barli ni kaya dengan serat, pengambilannya dapat bantu lancarkan sistem pencernaan. Kalau dulu mama sentiasa alami buasir atau sembelit ketika hamil, makanlah barli. Mama boleh ucapkan selamat tinggal kepada dua masalah ni.
3. Mengandungi Asid Folik
Seperti yang kita tahu, asid folik ni sangat penting bagi ibu mengandung bagi mengelakkan komplikasi neural tube defect pada kandungan.
Berdasarkan sebuah artikel dalam MomJunction, air barli atau sup barli boleh jadi sumber asid folik tambahan dalam diet semulajadi ibu sebab dalam 100g barli mengandungi 200mcg asid folik. Banyaknya! Dah tak perlu dah telan pil asid folik kalau macam ni.
Tapi kalau mama rancang nak makan barli, jangan pula tak makan vitamin lain yang dibekalkan oleh doktor tau. Dia bagi bukan saja-saja!
4. Mengurangkan Tahap Gula Dalam Darah
Satu kajian yang dilaporkan oleh Medical News Today menunjukkan pengambilan makanan berasaskan barli boleh bantu turunkan kadar gula dalam darah mama sehingga 11-14 jam setelah pengambilannya.
Mama kena ingat, time-time mengandung ni, sangat penting untuk mama kawal gula dalam darah supaya mama tak dapat kencing manis atau GDM semasa mengandung.
Pengambilan barli juga dikatakan dapat bantu mengawal kadar gula bagi ibu yang mengalami diabetes Type 2 kerana barli tergolong dalam makanan yang rendah kadar indeks glisemik (GI).
5. Membantu Mengawal Berat Badan
Bila berbadan dua ni, semua makanan kita sapu bersih betul tak? Yalah, nama pun berkongsi, mestilah cepat lapar kan? Berat badan pun cepat saja mencanak naik samapi kita pun jadi stres.
Mama boleh cuba makan barli. Menariknya tentang barli ni, ia menggalakkan tubuh menghasilkan hormon yang meregulasikan selera makan dengan membantu seseorang berasa kenyang dengan lebih lama.
Hormon ni juga dapat meningkatkan metabolisme yang membantu mengawal berat badan pada kadar optimum.
6. Meningkatkan Kesihatan Jantung
Barli juga mengandungi serat boleh larut yang berfungsi menurunkan kadar kolesterol, sekaligus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular terutama penyakit yang berkaitan dengan jantung.
Cara Buat Air Barli
Hmm, banyak rupanya khasiat barli ni kepada ibu mengandung. Mama tak nak cuba buat ke? Sedap tau!
Cara buat air barli ni tak susah pun. Lagipun, elok kalau kita buat sendiri kat rumah sebab kalau beli kat kedai, dah tak ori dah sebab dia dah tambah banyak gula. Kalau mama ni jenis yang sangat mengambil berat tentang kebersihan, lagilah mama tak nak beli kat kedai kan?
Jadi, Mama Siti akan kongsikan resepi nak buat air barli ni untuk mama. Caranya mudah saja.
- Mula-mula, ambil secawan bijirin barli dan basuh dengan bersih.
- Kemudian, rebuskan dalam 3 cawan air.
- Tunggu hingga barli kembang. Untuk aroma lebih wangi, letak sehelai dua daun pandan. Tambahkan air lagi jika perlu.
- Tambah sedikit gula (seeloknya gunakan gula batu berbanding gula biasa) untuk menambah rasa manis.
- Lebih elok jika diperasakan dengan madu atau sedikit lemon tanpa gula. Tetap sedap!
Mama kena ingat yang walaupun barli ni selamat diminum ketika hamil atau menyusu, Mama Siti nasihatkan ambillah secara bersederhana saja.
Lepas tu pastikan diet seimbang mama sentiasa konsisten amalkan gaya hidup aktif. Segala suplemen dan ubat yang doktor bagi jangan lupa tau!
Sumber: Sirap Limau, Hello Motherhood & MomJunction
BACA JUGA WANITA AMAL MINUM AIR BARLI DAN MINYAK IKAN LAHIRKAN ANAK 4KG!
Pesanan Mama Siti:
Barli ni tak ada kolestrol macam bijirin-bijirin yang lain. Setakat ni pun belum ada apa-apa kesan buruk pengambilannya untuk jangka masa panjang. Minum barli pun kulit anak jadi bersih. Barli kan menjadi anatara bahan asas dalam produk penjagaan kulit? Jadi jom amalkan minum barli!