Aidiladha atau dikenali dengan Hari Raya Haji malah turut digelar Hari Raya Korban. Tak kira apa namanya, pasti ramai mengetahui ia adalah hari yang istimewa dan gembira untuk umat Islam.
Jika Hari Raya Aidilfitri dianggap kemenangan kepada umat Islam atas kekuatan dan kesebaran menempuh ramadan, Aidiladha juga tidak kurang bezanya apabila ia menjadi kemenangan untuk umat Islam yang melakukan pengorbanan terhadap haiwan sembelihan.
Bagaimanapun, pernah tak Mama perasan kenapa sambutan Aidiladha di Tanah Haram lebih meriah? Ini berikutan lokasi Tanah Haram iaitu Mekah merupakan tempat wajib bagi melaksanakan ibadah haji.
Seiring dengan sambutan Hari Raya Haji pada ketika, maka jutaan umat Islam akan berlumba-lumba melaksanakan rukun Islam kelima ini sekaligus menjadikan Aidiladha di Tanah Haram begitu riang.
Bagaimanapun, bagi umat Islam yang tidak berpeluang menunaikan Haji, hari raya itu tetap disambut meriah melalui pelaksanaan ibdah korban.
Dua aktiviti inilah yang membezakan Aidilfitri dan Aidiladha. Malah, kisah korban ini turut diabadikan Allah S.W.T di dalam al-Quran. FirmanNya: “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?”
Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar.” Surah al-Saafat, ayat 102
Sebagai ganjaran terhadap pengorbanan, keimanan dan kepatuhan mereka, Allah S.W.T menggantikannya dengan seekor binatang. Firman Allah SWT: “Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu.” Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan, Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.” Surah al-Saafat, ayat 102-106.
Hukum ibadah korban adalah sunat muakkad (sangat dituntut) bagi orang-orang yang berkemampuan. Malah, makruh hukum meninggalkannya jika mampu. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat), Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” Surah al-Kauthar, ayat 1-2 Nabi Muhammad SAW tidak pernah meninggalkan ibadah korban setelah disyariatkan. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban, tetapi dia tidak berkorban, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini.” Riwayat Ibnu Majah
Rentetan dari peristiwa ini, setiap tahun ketika perayaan Aidiladha maka umat Islam menyembelih binatang-binatang korban lalu mengagihkan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Fakta Menarik Hari Raya Aidiladha
- Orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian.
- Umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak dua rakaat dengan tujuh takbir pada rakaat pertama diikuti lima takbir pada rakaat kedua.
- Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit. Ini sekaligus membezakan dengan solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid.
- Hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat.
- Waktu menyembelih haiwan korban adalah ketika imam telah selesai solat Aidiladha dan sepanjang hari-hari Mina (tarikh 11, 12 dan 13 Dzulhijjah).
- Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, sesungguhnya sembelihan itu hanyalah menjadi daging untuk diberikan kepada keluarganya (sedekah) bukan termasuk binatang korban.
- Haiwan yang hendak kita korbankan mestilah dari jenis baka yang baik serta tidak memiliki kecacatan seperti buta, tempang, kurus, tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan penyakit lain.
- Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Dzulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.
- Sunnah dan afdal mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban tersebut agar menyembelih haiwan korbannya dengan tangannya sendiri.
- Sunnah bagi keluarga yang melakukan ibadah korban turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan mensedekahkan sebahagian yang lain. Malah, mereka juga boleh menyimpan daging tersebut.
Perbezaan Sambutan Aidiladha Di Malaysia Dan Negara Lain
Perbezaan ketara mengenai sambutan Aidiladha di Malaysia dan negara lain adalah masa. Sesetengah negara seperti Mekah sendiri menyambut Hari Raya Haji sehari lebih awal daripada Malaysia.
Pasti ramai hairan kerana bulan Ramadan dan Syawal jatuh pada tarikh sama seperti Malaysia, namun tidak pada Hari Raya Haji.
Dalam hal ini berdasarkan pandangan mazhab Syafie, negara Malaysia dan Arab Saudi boleh berbeza hari dari sudut penentuan hari raya korban, puasa Arafah, ibadat korban dan lain-lain.
Ketika ini kebanyakan para ulama kontemporari memilih pandangan ulama Syafie disebabkan umat Islam berpecah kepada pelbagai negara dan bangsa.
Yang penting, jangan lupa untuk mengamalkan amalan sunat hari raya Aidiladha yang disyorkan seperti dalam artikel ini.
Dapatkan pelbagai info menarik lain mengenai Hari Raya Haji di SINI.