Dalam kehidupan seharian, perasaan tidak percaya atau syak wasangka pada orang lain satu perkara lumrah yang sukar untuk dielakkan. Namun, perasaan buruk sangka yang keterlaluan terhadap orang lain sehingga menimbulkan masalah kepada diri sendiri dan masyarakat merupakan masalah serius yang perlu ditangani. Malah, individu yang tergolong dalam kumpulan ini dikategorikan sebagai individu yang mempunyai gangguan pada jiwa.
Secara umumnya paranoid (syak wasangka) diertikan sebagai seorang yang sentiasa mempunyai perasaan syak wasangka terhadap orang lain. Syak wasangka yang wujud pada diri mereka ini bukan sahaja tidak berasas, malah penuh dengan pelbagai andaian buruk yang tidak mempunyai bukti kukuh. Tidak menafikan bagi individu normal, perasaan syak wasangka ini sememangnya ada pada semua orang. Namun, penonjolan perasaan syak wasangka ini agak berbeza di mana syak wasangka yang berlaku biasa bertempat. Sebaliknya, bagi individu yang paranoid, mereka benar-benar percaya dengan perasaan yang wujud dalam diri dan bertindak terhadap orang yang disyaki. Contohnya, seorang suami merasakan (mengesyaki) dengan membuat andaian jiran sebelah rumahnya ingin mengorat isterinya. Dengan tuduhan melulu dan tanpa usul periksa suami tersebut akan bertindak dengan menyerang lelaki berkenaan dan pergaduhan besar berlaku akibat tindakannya. Dalam bidang psikiatri, paranoid dapat diklasifikasikan kepada beberapa jenis dan mempunyai tanda yang berbeza-beza seperti:
- Paranoid personaliti
- Paranoid psychosis (paranoid schizophrenia)
- Paranoia
- Reaksi paranoid
- Parafrenia
PARANOID PERSONALITI
- Individu yang tergolong dalam kategori ini mempunyai sahsiah atau peribadi yang tidak boleh berubah (rigid). Mereka juga begitu sensitif, sekiranya hati mereka mengesyaki atau merasakan sesuatu itu betul, ia kekal tidak berubah. Perasaan syak wasangka tanpa asas yang terdapat dalam diri terlalu dominan dalam diri mereka. Biasanya jika berkawan, persahabatan mereka tidak kekal. Pergerakan, tutur kata dan tindakan mereka hanya menganiaya diri mereka sendiri di mana mereka berasa rendah diri dan menyangka orang lain akan mengambil kesempatan ke atas dirinya.
- Kesannya, rakan-rakan akan lari daripada mereka. Sebaliknya, sama seperti individu normal lain, mereka boleh berjaya dalam hidup, intelek dan menjalani kehidupan seperti biasa. Namun syak wasangka yang keterlaluan menyebabkan mereka sering bersendiri dan tidak mempunyai ramai kawan. Masalah seumpama ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur. Individu yang berpersonaliti seperti ini tidak memerlukan sebarang rawatan selagi syak wasangka tersebut tidak mendatangkan sebarang masalah seperti bahaya atau menyusahkan diri sendiri mahupun orang di sekelilingnya.
PARANOID PSYCHOSIS (PARANOID SCHIZOPHRENIA)
- Masalah seperti ini biasanya berlaku di kalangan individu yang berumur 30-an ke atas tanpa mengenal faktor jantina. Mereka mempunyai pemikiran ‘delusi’ yang diertikan sebagai kepercayaan salah yang tidak berasas tetapi pada masa yang sama merasakan syak wasangka tersebut benar-benar berlaku. Golongan ini juga mengalami halusinasi iaitu… Kesannya, syak wasangka yang kukuh ini menyebabkan mereka bertindak terhadap individu yang disyakinya. Contohnya, mereka benar-benar yakin dan mengesyaki bahawa ada orang yang berniat untuk mencedera atau menghancurkan diri mereka. Justeru, sebelum orang lain mencederakan dirinya, individu terbabit akan bertindak lebih awal, secara tidak langsung tindakannya itu menimbulkan masalah pada dirinya sendiri dan orang lain.
- Sebaliknya, hasil siasatan mendapati, perasaan syak wasangka yang bersarang itu biasanya tidak benar. Meskipun, individu terbabit diberi penjelasan bahawa apa yang mereka rasai itu tidak benar, mereka tidak dapat menerima hakikat penjelasan tersebut. Apa yang membimbangkan, individu yang mengalami delusi ini biasanya boleh bertindak liar seperti membunuh orang lain.
- Individu yang tergolong dalam kumpulan ini memerlukan rawatan.
PARANOIA
- Paranoia diertikan sebagai satu sistem kepercayaan delusi yang teratur, kompleks dan tersusun apabila seseorang mendengarnya sekali gus mempercayai bahawa terdapat kemungkinan ia adalah betul. Syak wasangka jenis ini tertumpu hanya pada satu-satu aspek sahaja manakala perwatakan diri yang lain adalah normal. Keadaan ini banyak berlaku di kalangan pendatang asing yang datang ke negara ini.
- Sebagai contoh, seorang warga asing pergi ke kedai membeli barang mendapati penjual melayannya dengan bahasa yang kasar. Tindakan pekedai tersebut secara tidak langsung mencetuskan syak wasangka dalam diri warga asing tersebut dengan merasakan terdapat kemungkinan pekedai tersebut mempunyai niat yang tidak baik terhadap dirinya. Justeru, apabila dia pergi ke kedai lagi, pasti timbul syak wasangka yang sama seperti pengalaman yang pernah dilaluinya. Secara umum, individu seperti ini tidak pernah berkahwin, namun syak wasangka yang berterusan dalam dirinya tidak membahayakan dirinya sendiri mahupun orang lain.
REAKSI PARANOID
- Reaksi paranoid atau syak wasangka mungkin seringkali berlaku di kalangan individu normal. Syak wasangka yang timbul ini merupakan satu keadaan sementara berlaku dalam masa jangka pendek yang disebabkan oleh punca tertentu. Contohnya, A merupakan salah seorang daripada sekelompok individu memohon sesuatu jawatan. A merasakan dirinya benar-benar layak untuk mengisi jawatan tersebut. Bagaimanapun, hanya A sahaja yang gagal dalam permohonan tersebut. Secara tidak langsung, timbul rasa syak wasangka dalam diri A mengatakan terdapat kemungkinan orang tidak menyukai dirinya, dia tidak sehebat dan sebaik orang lain atau gagal meyakin pihak yang menemuduganya. Keadaan ini juga berlaku di kalangan mereka yang kurang upaya seperti kurang pendengaran.
PARAFRENIA
- Perasaan syak wasangka yang berlarutan ini berlaku di kalangan mereka yang telah berumur. Dianggarkan, 10 peratus di kalangan individu yang berumur 60 tahun ke atas mempunyai masalah ini.
- Keadaan ini lebih ketara di kalangan individu yang tinggal seorang diri atau pasangannya telah meninggal dunia. Mereka sering menafsirkan sesuatu yang berlaku dengan negatif, contohnya orang tidak sayang pada dirinya, tidak kisahkan dirinya yang akhirnya menyebabkan mereka sukar bergaul. Bagaimanapun, mereka yang menghadapi masalah ini tidak mengalami dimentia (pelupa). Terdapat kemungkinan ini disebabkan oleh kemampuan mendengar semakin berkurangan atau mereka tinggal berasingan daripada anak-anak mereka.
- Apabila tinggal berasingan mereka tidak pandai menyesuaikan diri, tidak pandai bergaul dan tidak mempunyai ramai rakan. Keadaan ini lebih ketara sekiranya anak-anak jarang menziarahi mereka. Namun, sekiranya anak-anak datang menziarahi mereka tetap menyangka bahawa kunjungan tersebut mempunyai maksud yang tersirat seperti inginkan wang mereka atau sebab dia (individu terbabit) merasakan bahawa dia hendak meninggal dunia.
- Meskipun, penjelasan diberikan berhubung perkara yang mereka syaki, tetapi bagi golongan ini mereka tidak akan menerimanya. Sebaliknya, penjelasan tersebut hanya memburukkan keadaan. Justeru, mereka yang menghadapi masalah ini memerlukan rawatan dan ubat-ubatan untuk mengawal masalah tersebut.
- Sehubungan itu, sekiranya mereka yang mempunyai ibu bapa atau salah seorang daripadanya mempunyai tingkah laku seperti ini, dinasihatkan supaya lebih kerap menziarahi mereka.
PUNCA
- Kurangnya perasaan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa sejak kecil boleh menimbulkan masalah jiwa seperti paranoid.
- Sifat kepercayaan atau tidak kepercayaan ditanam sejak seseorang itu masih bayi lagi. Contohnya, bayi yang menangis sebenarnya ingin perhatian daripada ibu bapa dengan menyatakan bahawa mereka lapar, dahaga, berada dalam keadaan tidak selesa atau ingin lampin mereka ditukar. Namun, seandainya, ibu bapa membiarkan anak-anak mereka terus menangis, secara tidak langsung mereka telah menanam perasaan tidak percaya dalam diri mereka.
- Seandainya ibu bapa berterusan dengan tingkah laku tersebut, perasaan ketidakpercayaan yang wujud dalam diri anak-anak semakin bertambah. Dengan erti kata lain, perasaan kurang percaya ini tertanam sekiranya individu yang sepatutnya bertanggungjawab dan prihatin gagal memahami kehendak anak-anak mereka.
GOLONGAN YANG MEMPUNYAI SYAK WASANGKA YANG TINGGI
- KAKI MINUM
Golongan ini biasanya mempunyai syak wasangka yang keterlaluan terhadap isteri mereka. Individu ini sering menuduh bahawa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. Namun, hakikatnya tuduhan yang dilemparkan ini biasanya hanya untuk menutup kelemahan dirinya sendiri. Keadaan ini sememangnya membahayakan keadaan isteri di mana kemungkinan nyawa isteri terancam begitu tinggi.
- INDIVIDU PARANOID SUKA MENGASINGKAN DIRI, BANYAK MENYENDIRI DAN TIDAK BANYAK BERKOMUNIKASI.
Sekiranya mereka ingin memulakan sesuatu hubungan contohnya untuk kawan mereka akan berfikir ‘dua kali’. Tingkah laku mereka yang tidak banyak bercakap kerana ingin menafsirkan gerak geri orang lain. Seandainya mendapati syak wasangka tersebut betul (pada sangkaannya), mereka akan bergaduh dengan individu terbabit. Malah, terdapat kemungkinan besar, individu yang seperti ini tidak akan berkahwin kerana mereka sukar percaya kepada orang lain.
RAWATAN
Rawatan paranoid ini banyak bergantung pada jenisnya. Jika masalah paranoid tersebut tidak menyusahkan dirinya ataupun orang lain, paranoid tersebut tidak memerlukan apa-apa rawatan. Sebaliknya, sekiranya tahap paranoid tersebut menyebabkan individu terbabit bertindak liar, mengganggu, mengugut orang lain dengan membuat laporan polis, dan simptom-simptom lain di mana rawatan diperlukan.
Sumber: Utusan