Penyakit jantung kekal sebagai salah satu kebimbangan kesihatan utama di Malaysia, dengan penyakit jantung iskemik menyumbang 15.1% daripada semua punca kematian yang disahkan oleh penguatkuasa perubatan1.
Lebih membimbangkan ialah rakyat Malaysia mengalami serangan jantung pada usia purata hanya 58 tahun, hampir lapan tahun lebih muda daripada usia purata global2.

Pakar Perunding Kardiologi, Pakar Elektrofisiologi dan Perubatan Dalaman
Walaupun fakta ini mengerunkan, ramai orang dewasa yang berusia lebih muda cenderung mengabaikan tanda amaran awal, dengan menganggap mereka terlalu muda untuk mengalami masalah jantung, menurut Dr Lim Chiao Wen, Pakar Perunding Kardiologi, Pakar Elektrofisiologi dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV).
“Kelewatan dalam mengenalpasti simptom ini boleh menyebabkan mereka terlepas peluang untuk mendapatkan rawatan perubatan awal,” terang Dr Lim.
Trend ini amat membimbangkan terutama sekali kerana penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti dan tabiat gaya hidup yang tidak sihat menjadi semakin berleluasa di kalangan golongan muda Malaysia, menjadikan kesedaran awal dan pengesanan tepat pada masanya lebih kritikal berbanding sebelum ini – terutamanya apabila ingin mengenali tanda-tanda awal yang disebut ramai sebagai “serangan jantung mini”.
Memahami Serangan Jantung Mini & Simptomnya
Istilah “serangan jantung mini” biasanya digunakan untuk menerangkan bentuk serangan jantung yang kurang teruk, seperti angina tidak stabil dan Non-ST Elevation Myocardial Infarction (NSTEMI). Angina tidak stabil berlaku apabila jantung tidak menerima darah yang mencukupi akibat sebahagian arteri yang tersumbat, menyebabkan sakit dada tetapi tanpa kerosakan kekal.
NSTEMI, sebaliknya melibatkan kecederaan otot jantung namun kurang kecederaan ini tidak seteruk seperti yang mereka yang mengalami serangan jantung penuh (STEMI), yang terhasil daripada penyumbatan arteri sepenuhnya dan memerlukan campur tangan perubatan kecemasan.

Simptom serangan jantung mini yang biasa dialami pesakit termasuk ketidakselesaan dada, sesak nafas, keletihan, rasa loya, pening dan rasa sakit yang mungkin merebak ke rahang, leher, lengan atau belakang.
“Simptom serangan jantung mini yang ramai rakyat Malaysia cenderung abaikan termasuk ketidakselesaan dada, sesak nafas dan keletihan,” kata Dr Lim. “Simptom ini sering diketepikan kerana ia boleh disebabkan oleh banyak faktor harian lain seperti stres, tidak cukup tidur, atau masalah ketidakhadaman.”
Beliau menjelaskan bahawa mengenalpasti serangan jantung mini boleh menjadi sukar tanpa mendapatkan penilaian perubatan, kerana simptom ini boleh mengelirukan dan mudah disalah anggap sebagai masalah gastrik atau pedih ulu hati.
Mengapa Serangan Jantung Mini Berbahaya
Ramai orang mengaitkan serangan jantung dengan simptom sakit dada yang teruk, sesak nafas dan rebah, tetapi serangan jantung mini selalunya menunjukkan simptom yang lebih ringan atau senyap.
Oleh kerana simptomnya tidak begitu teruk, individu yang mengalami serangan jantung mini mungkin menangguhkan untuk mendapatkan rawatan perubatan atau tidak mendapatkan sebarang rawatan perubatan langsung, dengan mengangap simptom yang dialami mereka tidak serius.
Malangnya, kekurangan kesedaran ini boleh mengundang bahaya, kerana walaupun serangan jantung ringan bermaksud aliran darah ke jantung telah disekat buat sementara waktu, menyebabkan kerosakan pada otot jantung.
Walaupun simptomnya kelihatan ringan, serangan jantung mini masih boleh membawa kepada kerosakan yang ketara dan berkekalan pada jantung.

Apabila bekalan oksigen terganggu, walaupun sebentar, tisu jantung boleh berparut, melemahkan keupayaan jantung untuk mengepam darah dengan normal. Semakin lama, kerosakan ini boleh menyumbang kepada penyakit jantung kronik seperti kegagalan jantung, aritmia (degupan jantung tidak teratur), atau peredaran darah berkurangan ke organ penting.
Lebih-lebih lagi, individu yang mengalami serangan jantung mini tanpa menyedarinya mungkin tidak mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah isu kardiovaskular selanjutnya, menyebabkan mereka berisiko lebih tinggi untuk mendapat serangan jantung yang teruk pada masa hadapan.
Malah, kajian menunjukkan bahawa sehingga 50% individu yang mengalami serangan jantung yang serius sebelum ini pernah mengalami serangan jantung mini yang tidak dapat dikesan, bermakna mereka terlepas peluang penting untuk mendapatkan campur tangan perubatan awal3.
Tambahan pula, satu kajian yang dilaporkan oleh CNN mendedahkan bahawa kira-kira 42.4% individu yang meninggal dunia akibat serangan jantung mengejut tanpa pengetahuan awal tentang penyakit arteri koronari menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka pernah mengalami serangan jantung mini sebelum ini4.
Kajian-kajian ini secara kolektif menunjukkan bahawa serangan jantung mini berpotensi menyebabkan kerosakan jantung yang serius, dan selalunya tidak disedari sehingga serangan jantung yang lebih teruk berlaku.
Bahaya serangan jantung mini ditambah lagi dengan fakta yang menujukkan kumpulan tertentu mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapatnya, termasuk pesakit diabetes, dan warga emas yang sering mengalami gejala atipikal atau kurang jelas.
Adakah Rakyat Malaysia Berisiko Tinggi Untuk Mendapat Serangan Jantung Mini?
Merokok dan pengunaan rokok elektronik (vape) terus menjadi penyumbang utama kepada penyakit jantung, kerana ia menyebabkan keradangan, memekatkan darah, dan menggalakkan pembentukan darah beku yang boleh menyekat aliran darah ke jantung.
Lebih membimbangkan, 19% rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok, manakala peratusan pengunaan vape telah meningkat kepada 5.8% pada 2023, menurut Kementerian Kesihatan5. Perkara yang sama membimbangkan ialah tabiat pemakanan yang buruk, yang telah lama menjadi kebiasaan di negara ini tetapi kini diburukkan lagi oleh gaya hidup moden yang didorong oleh kemudahan terkini.

Pengambilan makanan bergoreng, minuman manis dan daging diproses yang tinggi, di samping amalan menggunakan semula minyak masak, telah dikaitkan dengan paras kolesterol yang tinggi dan pembentukan plak dalam arteri, yang kedua-duanya meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit jantung dengan ketara.
Risiko ini ditambah lagi dengan gaya hidup yang tidak aktif dan peningkatan kadar obesiti, tabiat suka duduk dengan lama dan kurang melakukan aktiviti fizikal yang secara beransur-ansur boleh melemahkan jantung. Individu yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi juga menghadapi risiko yang lebih tinggi.
Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, 15.6% rakyat Malaysia menghidap diabetes, yang secara ketara boleh meningkatkan risiko seseorang itu mendapat penyakit jantung6.
Begitu juga dengan mereka dengan penyakit tekanan darah tinggi yang memberi tekanan tambahan pada jantung dan menyebabkan kerosakan arteri jangka panjang jika tidak penyakit sedia ada tidak dikawal dengan baik.
Walaupun gaya hidup dan penyakit kronik adalah faktor risiko yang terkenal, terdapat juga beberapa salah tanggapan tentang jantina dan penyakit jantung.

Dr Lim menjelaskan salah satu mitos bahawa wanita selepas menopaus lebih terdedah kepada penyakit jantung, dengan menyatakan, “Wanita pra-menopaus mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat penyakit jantung disebabkan oleh kesan perlindungan estrogen. Walau bagaimanapun, selepas menopaus, apabila tahap estrogen menurun, wanita menghadapi risiko yang sama seperti lelaki untuk mendapat penyakit jantung. Tambahan pula, wanita mungkin melaporkan simptom seperti keletihan melampau, pening, rasa loya berbanding simptom klasik sakit dada yang mencucuk. Disebabkan simptom-simptom ini, kebanyakan kes selalunya tidak didiagnos sehingga mereka mula mengalami komplikasi jantung yang lain.”
Beliau turut menambah bahawa genetik juga memainkan peranan penting dalam risiko untuk mendapat penyakit jantung untuk kedua-dua jantina. Menyedari faktor ini, Dr Lim menggalakkan semua orang untuk menjadi proaktif dalam mengambil berat tentang kesihatan jantung mereka, tanpa mengira umur, jantina atau sejarah keluarga.
Mengurus dan Mencegah Serangan Jantung Mini

Serangan jantung mini boleh berulang jika faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes, merokok, obesiti dan gaya hidup tidak sihat tidak diurus dengan baik. Dr Lim menjelaskan bahawa keadaan ini boleh terus merosakkan arteri jantung dari masa ke masa, meningkatkan kemungkinan episod serangan jantung mini berulang atau serangan jantung yang lebih teruk berlaku.
Rawatan biasanya melibatkan gabungan ubat-ubatan dan prosedur untuk memulihkan aliran darah ke jantung dan mengurangkan risiko untuk mendapat episode serangan jantung mini berulang atau serangan jantung yang lebih teruk berlaku pada masa hadapan.
Ubat antiplatelet dan ubat cair darah biasanya akan dipreskripsi oleh doktor pakar, manakala pesakit dengan kes yang lebih serius mungkin memerlukan prosedur seperti angioplasti. Walaubagaimanapun, rawatan perubatan sahaja tidak mencukupi.
Dr Lim menekankan kepentingan untuk menggabungkannya dengan perubahan gaya hidup yang berkekalan, termasuk diet yang menyihatkan jantung, senaman yang kerap, berhenti merokok, pengurusan stres, dan kawalan bacaam tekanan darah dan kolesterol.
Panggilan Kesedaran untuk Rakyat Malaysia
Penyakit kardiovaskular terus memberi kesan kepada lebih ramai rakyat Malaysia pada usia yang lebih muda, dan ini didorong oleh tabiat gaya hidup, penyakit sedia ada, dan kelewatan mendapatkan rawatan perubatan.
Walaupun gejala serangan jantung mini mungkin kelihatan ringan, ia boleh bertukar kepada komplikasi jantung yang lebih serius jika dibiarkan.
Melalui pemeriksaan kesihatan berkala, mendapatkan rawatan perubatan tepat pada masanya dan perubahan gaya hidup yang berkekalan, rakyat Malaysia boleh mengambil langkah proaktif untuk melindungi kesihatan jantung mereka dan mengurangkan risiko kejadian serangan jantung mini berulang atau serangan jantung yang lebih teruk.
Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my/ (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).
Rujukan:
- https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/statistics-on-causes-of-death-malaysia-2024#:~:text=In%202023%2C%2060.7%20per%20cent,of%20the%20medically%20certified%20deaths
- https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/heart-disease-hits-malaysians-at-younger-age-as-cholesterol-issues-go-undiagnosed
- https://www.cbsnews.com/news/almost-half-of-heart-attacks-are-silent/
- https://edition.cnn.com/2019/07/10/health/heart-attack-sudden-cardiac-death-study/index.html
- https://www.nst.com.my/news/nation/2024/10/1114814/ministry-aims-reduce-smoking-prevalence-15pct-end-2025
- https://iku.nih.gov.my/images/nhms2023/key-findings-nhms-2023.pdf
Ketahui lebih banyak info tentang kesihatan Mama Papa dan bayi di SINI.