“Lah, tak kan tak tahu adab membaca al-Quran. Kecil-kecil dulu kan dah belajar.”
Betul! Masa kecil dah pernah belajar tapi manalah tahu ada ilmu yang kita lupa atau salah cara di mana-mana.
Lagipun ianya kitab suci umat Islam, kita kena sentiasa pastikan adab dipelihara ketika membaca setiap kalimah daripada al-Quran. Apa salahnya jadi orang yang saling berpesan ke arah kebaikan.
10 Adab Membaca Al-Quran Yang Disyorkan
#1 Niat Kerana Allah
Kita kena selalu ingatkan diri supaya jaga niat sebelum membaca al-Quran. Elakkan daripada niat membaca al-Quran kerana ingin dipuji orang lain.
Sebaiknya, kita niatkan agar setiap bacaan al-Furqan ini akan kembali kepada si pembaca sama ada di dunia dan di akhirat nanti.
Nota: Al-Furqan ialah nama lain bagi al-Quran.
#2 Bersuci dan Bersih
Sebelum membaca al-Quran, bersihkan diri dengan keperluan kebersihan yang sepatutnya.
Elakkan memegang dan membaca al-Quran jika Mama masih berhadas iaitu masih belum mandi wajib disebabkan haid.
“Tidak ada yang menyentuhnya, kecuali para hamba (Allah) yang disucikan.”
(Surat Al-Waqi’ah ayat 79)
#3 Menghadap Kiblat
Dalam hal membaca al-Quran, kita disunatkan untuk menghadap kiblat ketika membacanya di luar waktu solat.
Namun jika keadaan kesihatan atau persekitaran tidak sesuai, maka dibolehkan untuk tidak menghadap kiblat.
خَيْرُ الْمَجَالِسِ مَا اسْتُقْبِلَ بِهِ الْقِبْلَةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik majlis adalah yang menghadap kiblat.” (Al-Tabari meriwayatkan dalam Tahzib al-Athar
#4 Tinggikan Naskah al-Quran
Buku bacaan biasa pun kita kena jaga adab, inikan pula kitab suci umat Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melaui malaikat Jibril.
#5 Lafaz Taawuz
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam. (Riwayat al-Bukhari)
Lafaz taawuz adalah untuk mendapatkan perhatian maksimum semasa membaca al-Quran daripada gangguan syaitan.
#6 Ikut Tajwid dan Tartil
وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا
Maksudnya: dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.
(Surah al-Muzammil ayat 4)
Hendaklah kita menghormati al-Quran dengan membacanya mengikut hukum tajwid dengan makhraj yang betul dan tartil.
#7 Faham dan Amalkan Isi Kandungan (Tadabbur)
Mama Siti pernah ada persoalan “betul ke al-Quran ada semuanya? Ada sejarah, ilmu sains, ilmu geografi dan hukum”
Begitulah lumrah seorang anak remaja yang sering mendengar ceramah asatizah mengatakan kitab suci orang Islam itu lengkap tetapi tidak pernah ditunjukkan dimana bahagian yang dimaksudkan itu.
Bila kita faham dan amalkan apa yang tertulis dalam al-Quran, insya Allah kita dapat bezakan yang mana satu adat dan mana tuntutan syarak.
#8 Doa Selepas Baca al-Quran
Ibnu Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi menyebut: “Doa merupakan ubat yang paling bermanfaat. Ia merupakan musuh bagi musibah.”
Dalam doa khatam al-Quran, ada baris makna yang memohon agar dijadikan orang yang selalu ingat akan al-Quran. Begitu juga dengan makna yang lain agar kita selalu dikurniakan kefahaman apa yang terkandung dalam al-Quran.
Ya Allah rahmatkan kami dengan Al-Quran, dan jadikanlah Quran Imam, Cahaya, Hidayat dan Rahmat untuk kami. Ya Allah ingatkan kami dari Quran yang kami dilupakan, dan ajarilah kami dari Quran yang kami jahil akannya. Kurniakanlah kami membacanya siang dan malam. Dan jadikanlah Quran Pembela kami Wahai Rabbul ‘Alamin.
#9 Baca Ketika Waktu Mustajab
Lagi adab membaca al-Quran ialah memperbanyakkan bacaan pada waktu mustajab yang sesuai iaitu:
- Semasa hujan turun
- Selepas solat fardhu
- Hari Jumaat
- Bulan Ramadhan.
#10 Tadarus
Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Dan tidaklah dalam satu kaum yang berkumpul dalam rumah daripada rumah-rumah Allah lalu membaca kitab-Nya dan saling mempelajarinya bersama-bersama kecuali Allah akan turunkan ketenangan ke atas mereka, diliputi dengan rahmat-Nya, para malaikat akan memenuhi majlis mereka dan Allah akan menyebut-nyebut mereka dalam kalangan mereka yang dekat dengan-Nya.”
(Hadis riwayat Muslim)
Apabila kita menjadi orang yang membaca al-Quran bersama-sama, Allah SWT anugerahkan rasa tenang, rahmatNya dan menjadi bualan para malaikat.
Tak ada salah pun kita belajar adab membaca al-Quran sekali lagi. Lagi elok sebab kita akan selalu ingat apa yang boleh dan tak boleh buat ketika membaca naskah itu.
Mudah-mudahan, kita semua jadi orang yang jaga tata tertib membaca al-Quran dan diberikan peluang membaca al-Quran lagi dan lagi.
Tingkatkan kerohanian dengan pelbagai ilmu keagamaan di SINI.