KelabMama

Adab-Adab Terhadap Ibu Bapa Yang Perlu Kita Amalkan

“Ibu, Ibu, Ibu”. Itu adalah jawapan daripada baginda Rasulullah apabila ditanya berkenaan siapakah yang patut kita taati. Kewajipan mengamalkan adab dengan ibu-bapa amatlah dituntut dan dibuktikan dalam sebuah hadith riwayat Imam Al Bukhari dan Muslim. Dalam hadith itu, disebut tentang kedudukan ibu-bapa yang dituntut dalam Islam.

“Amal perbuatan yang amat disukai Allah swt ialah solat (yang tepat) pada waktunya, berbakti kepada orang tua dan berjihad pada jalan Allah”

Imam Al Bukhari dan Muslim

Perkara ini menjadi satu benda yang dituntut adalah kerana beberapa sebab. Antaranya adalah ibu-bapa adalah sumber keberkatan dalam hidup kita. Orang pernah berkata, jika kita menjaga hubungan kita dengan ibu-bapa, maka berkatlah hidup kita. Adab kita terhadap ibu-bapa juga menzahirkan tanda terima kasih dan sayang kita terhadap mereka.

Antara amalan yang boleh kita praktikkan adalah:

1. Mendengar nasihat dan tidak melawan

Sebagai anak, kita hendaklah patuh dan sentiasa mendengar nasihat mereka selagi tak melanggar syarak. Janganlah kita berbalah dengan mereka kerana perbuatan ini boleh mengguris hati. Walapun kadangkala ada masa mereka salah, namun apa yang kita boleh buat hanyalah dengar dan diam.

2. Menjaga kebajikan mereka

Selain mentaati, kita juga boleh membantu mereka mengikut kemampuan. Kebajikan yang diperkatakan bukan sahaja dari aspek kewangan malah juga tenaga dan luangkan masa. Luangkanlah masa bersama mereka selagi mereka masih ada. Jangan kita menyesal di kemudian hari sudahlah.

3. Menghormati mereka

Terdapat banyak perbuatan yang boleh kita amalkan untuk menghormati mereka. Antaranya adalah seperti jangan makan sebelum mereka, segera menyahut panggilan mereka dan jangan keluar rumah tanpa izin. Banyak lagi perbuatan yang boleh kita lakukan untuk kita beradab dengan ibu bapa dan itu antara contoh yang kita boleh lakukan.

4. Memelihara nama baik, kehormatan dan harta benda mereka; tak memburukkan mereka

Dalam menjadi anak yang baik, kita juga hendaklah menjaga nama, kehormatan dan harta benda kedua-dua orang kita. Kita disarankan untuk tak bercakap benda yang tak baik tentang mereka dan menggunakan harta benda mereka ke arah kebaikan. Elakkan membazir dan menggunakan harta mereka dengan lagha.

5. Mendoakan mereka jika sudah meninggal dan berbuat baik dengan rakan mereka

Bagi anak-anak yang sudah tiada orang tua, anda boleh beradab dengan mereka dengan cara berdoa untuk kesejahteraan roh mereka. Doa anak-anak yang soleh adalah salah satu perkara yang tak putus setelah seseorang itu meninggal dunia. Selain itu, anda juga dituntut untuk menjaga hubungan baik bersama sahabat mereka. Bukan sahaja dapat mengekalkan kemesraan jalinan itu malah kita juga boleh menambah kenalan.

6. Langsaikan hutang mereka yang telah meninggal 

Jika arwah meninggalkan hutang, segeralah melangsaikan hutang piutang itu. Hal ini kerana hutang wajib dibayar melainkan sudah dihalalkan oleh pemberi hutang. Anda boleh bertanya kepada kawan-kawan arwah sekiranya arwah ada berhutang dengan mereka. Boleh juga menggunakan media sosial untuk memberitahu perkara ini memandangkan semua orang sangat aktif di platform ini.

7. Menunaikan upah haji

Bagi ibu-bapa yang tak sempat menunaikan ibadat haji, anak-anak digalakkan melakukan upah haji atau badal haji kepada arwah orang tua mereka. Anda boleh dapatkan perkhidmatan ini daripada Tabung Haji atau juga syarikat-syarikat yang berdaftar.

Dalam mengejar mimpi dan mencari rezeki, jangan kita lupa asal-usul kewujudan kita. Telah menjadi kewajipan kepada kita untuk mentaati dan beradap terhadap kedua ibu-bapa kita. Jadilah anak soleh dan solehah yang sentiasa patuh dengan mereka selagi tidak melanggar syarak.

Sumber: Dakwah dan Tarbiah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Kompleks Islam USIM

Pesan Mama Siti

Sebagai anak, kita hendaklah sentiasa menghormati dan bertanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapa kita. Mama Siti harap, semua dapat mengaplikasikan tips and panduan ini. Dan ingat juga, jika kita mahu dihormati oleh anak-anak kita, maka kita juga perlu menghormati ibu-bapa kita dan anak-anak kita. Kerana ‘what you give, you get back‘.