Fibroid sejenis penyakit yang menyerang wanita tanpa menunjukkan sebarang tanda seseorang itu menghidapnya. Kebiasaannya mereka hanya mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit tersebut pada peringkat fibroid tersebut telah membesar. Menyerangkaum Hawa yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun (usia reproduktif), fibroid adalah satu ketumbuhan yang jinak atau benign tumor yang biasa pada rahim wanita. Didapati lebih 20 hingga 25 peratus wanita mempunyai fibroid, wanita hamil juga tidak terkecuali daripada penyakit ini.
FIBROID KETIKA HAMIL
Fibroid sering berlaku kepada wanita antara usia 30an hingga 40an. Menurut sumber, dianggarkan hampir 50%-80% wanita mengalaminya. Fibroid lazimnya berlaku kepada wanita pada usia subur. Maka, tidak hairanlah fibroid boleh ditemui dalam kalangan wanita yang hamil. Selalunya, fibroid berlaku sebelum seseorang wanita disahkan hamil. Namun, mereka hanya mengetahuinya apabila melakukan imbasan ultrasound terhadap kandungan. Fibroid juga boleh berlaku ketika mengandung. Ramai wanita yang tidak menyedari mereka mempunyai fibroid sehinggalah menjalani ultrasound semasa mengandung. Secara normalnya fibroid semasa mengandung TIDAK BAHAYA tetapi bergantung kepada di mana kedudukannya dan adakah ianya membesar atau tidak? Kebanyakan kes fibroid tidak membesar semasa mengandung dan tidak mengakibatkan apa- apa komplikasi utama kepada kehamilan atau kelahiran bayi. Masalah biasa yang mungkin terjadi ialah sakit pada bahagian peranakan dan pendarahan ringan (spotting), tetapi tidak menyebabkan risiko tinggi kepada kandungan. Pembesaran fibroid bergantung kepada paras estrogen di dalam badan. Walaupun secara puratanya kes fibroid ini jarang membesar semasa kehamilan, tetapi tetap ada sebilangan kecil yang mengalami pertambahan saiz fibroid dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan akibat pengaruh estrogen yang berada pada aras tertinggi semasa trimester pertama kehamilan. Fibroid biasanya akan mengalami pengecutan selepas kelahiran anak.
TANDA-TANDA FIBROID
Dalam sesetengah kes, seorang wanita tidak mengalami sebarang simptom yang luarbiasa. Namun, sesetengah wanita akan mengalami simptom seperti berikut:
- Sakit bahagian abdomen
- Rasa kerap ingin membuang air kecil
- Pendarahan vagina
- Tekanan pada bahagian pelvik
- Sembelit
BAHAYAKAH FIBROID SEMASA HAMIL
Ia bergantung kepada saiz dan sama ada ia mengganggu kehamilan. Oleh sebab itu, wanita hamil yang menghidap fibroid memerlukan pengawasan berkala untuk memastikan pembesaran janin berlaku dengan baik. Mengikut kajian melalui sebuah akhbar tempatan, imbasan ultrasound menunjukkan lebih kurang 70% wanita hamil tidak mengalami pembesaran fibroid ketika hamil. 30% wanita pula menghadapi pembesaran fibroid dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan.
KOMPLIKASI YANG BOLEH BERLAKU SEMASA HAMIL
- Sekiranya fibroid terletak bersebelahan dengan plasenta, ia mungkin boleh menjejaskan pengaliran darah kepada fetus, seperti yang dijelaskan oleh pakar. Selain itu, fibroid yang berkembang dari segi saiz meningkatkan risiko kelahiran bayi pramatang. Kehamilan itu juga berisiko untuk mengalami keguguran.
- Sungguhpun kebanyakan kes fibroid tidak mengganggu kelahiran, namun ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan. Antaranya, ia boleh mengganggu laluan kelahiran serta posisi bayi dalam kandungan. Sekiranya fibroid menutup laluan kelahiran, atau bayi berada pada kedudukan songsang / melintang, maka pembedahan C-section perlu dilakukan.
- Fibroid ketika hamil boleh menjadi punca rahim bermasalah untuk mengecut. Ia adalah salah satu penyebab utama tumpahan darah selepas bersalin. Untuk mengelakkan ianya berlaku, suntikan ubat akan dipreskripsikan untuk memastikan rahim tersebut dapat mengecut.
RAWATAN FIBROID KETIKA HAMIL
Sekiranya fibroid tidak serius dan tidak mengganggu kesihatan ibu hamil, doktor hanya akan memantau kehamilan tersebut. Sekiranya perlu, doktor akan mempreskripsikan ubat tahan sakit. Pembedahan mengeluarkan fibroid tidak akan dilakukan semasa hamil. Namun, jika ianya membahayakan kesihatan ibu hamil, ia akan dilakukan selepas melahirkan bayi.
JAGA PEMAKANAN SEMASA HAMIL
- Mungkin ada beberapa petua yang diamalkan oleh orang dulu-dulu atau yang disebarkan melalui internet untuk mengecutkan fibroid. Namun, terdapat sumber menunjukkan bahawa setakat ini masih belum ada ubat yang terbukti keberkesanannya. Cara yang terbaik untuk mengawal pembesarannya adalah dengan mengambil pemakanan seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat. Selalunya, saiz fibroid akan terus dipantau oleh doktor selepas tempoh berpantang, di mana aras hormon kembali normal.
- Fibroid yang ada pada wanita hamil bukanlah satu perkara luar biasa kerana ibu-ibu hamil akan menghasilkan lebih estrogen di mana ia akan menyebabkan fibroid tersebut menjadi aktif. Majoriti wanita yang menghidap penyakit ini tidak akan mengalami simptom-simptom bagaimanapun ia bergantung di mana fibroid itu berada serta saiznya. Individu yang mempunyai fibroid hanya akan berasa sakit sekiranya fibroid mengalami pendarahan dan jangkitan kuman yang kebiasaannya pada fibroid yang bersaiz besar.
- Fibroid yang bersaiz besar kadangkala menekan pundi kencing menyebabkan individu mempunyai simptom sering kencing manakala fibroid di dalam ruang endometrium atau submukosa iaitu pada dinding rahim yang akan menyebabkan individu tersebut sukar untuk hamil kerana penyempitan pada salur fallopio boleh berlaku. Dalam kalangan wanita hari ini, 20 hingga 25 peratus daripada mereka mempunyai fibroid bagaimanapun daripada jumlah ini 10 hingga 12 peratus sahaja yang menghidapinya ketika hamil.
- Bagi wanita sedang hamil tidak semua fibroid akan membesar atau aktif. Fibroid membesar ketika hamil adalah disebabkan hormon estrogen yang meningkat ketika hamil, begitupun tidak semua fibroid akan membesar atau aktif ketika hamil. Kebiasaannya fibroid yang berukuran lebih daripada enam sentimeter berkemungkinan untuk lebih membesar ketika hamil dan pemantauan perlu dilakukan secara pemeriksaan klinikal atau imbasan ultrasound untuk melihat sama ada fibroid membesar serta melihat perkembangan fibroid ketika hamil.
Sumber: Utusan & Pakar Perunding Sakit Puan dan Perbidanan, Mahkota Medical Centre, Dr. Ahmad Saifuddin Ahmad Yahaya,