Rupanya sedikit lama dan buruk, ada kala baunya kurang menyenangkan. Tetapi bagi sesetengah kanak-kanak, inilah teman setia mereka. Tanpanya mereka akan gelisah, menangis dan tidak boleh tidur.Dijinjing ke mana sahaja tanpa rasa malu, sama ada dalam bentuk bantal, anak patung atau kain. Semua objek ini adalah kesayangannya sejak kecil lagi dan agak sukar untuk dipisahkan. Jika tidak dipisahkan dengan objek ini, kemungkinan akan berlarutan sehingga melangkah remaja dan dewasa.
Namun, fenomena biasa yang sering kita lihat ialah perlakuan menjinjing bantal kegemarannya yang dipanggil bantal busuk ke mana sahaja iaitu bantal yang menjadi temannya ketika tidur semenjak bayi lagi. Bantal itu mungkin sudah lusuh, buruk dan berbau kerana sudah terlalu lama digunakan tetapi kanak-kanak ini masih perlukannya untuk tidur. Malah, bantal ini perlu dibawa oleh ibu bapa ke mana-mana sahaja supaya tidak timbul masalah semasa kanak-kanak ini mahu tidur nanti.
Dipercayai tabiat mempunyai bantal busuk menjelang tidur bukan disebabkan oleh faktor genetik mahupun personaliti sesebuah keluarga. Ia suatu perbuatan yang sudah terbiasa sejak kecil lagi. Bantal kegemarannya ini berfungsi sebagai transitional object. Ia seolah-olah memberi perlindungan dan anak-anak akan merasa selamat apabila objek ini berada di sisinya.
Mereka telah biasa dengan bau dan rupa serta selesa dengan bantal itu apabila hendak tidur. Jika dibasuh atau diganti dengan yang lain, anak tidak mudah tidur dan sering teringat dengan bantal busuknya. Transitional object tidak semestinya bantal, boleh jadi objek lain seperti anak patung kegemaran anak-anak, selimut dan sebagainya. Sebagai contoh, sejak kecil ibu bapa telah membelikan anak patung sebagai permainan anak perempuan mereka. Disebabkan itulah maka anak itu lebih gemar bermain anak patung berbanding permainan yang lain dan kebanyakan kanak-kanak perempuan gemar menjadikan anak patung yang lembut dijadikan teman ataupun dipanggil ‘bantal busuk’.
Ada juga berpendapat, selimut dan kain napkin yang digunakan juga sering dijadikan bahan heretan ke mana sahaja anak ini pergi. Justeru itu, boleh dikatakan setiap kanak-kanak mempunyai transitional object yang tersendiri bagi membuatkan mereka berasa selesa dan selamat walaupun ketika berjauhan dengan ibu bapa.
SEBAB PUNYA BANTAL BUSUK
- Tingkah laku pautan (clinging behaviour) adalah sikap biasa yang sering terjadi kepada bayi dan kanak-kanak diperingkat awal. Biasanya tabiat itu bermula di rumah dan berlaku kepada kanak-kanak yang kurang stimulasi dan mahukan sesuatu atau peneman untuk menenangkan diri mereka. Kanak-kanak yang begini akan memegang bantal, kain atau anak patung sebelum tidur kerana rasa ingin ada seseorang bersama mereka.
- Perlakuan menggentel bantal atau kain ini seakan memberi kanak-kanak tadi ketenangan dan keselesaan sehingga menjadikan mereka asyik. Dek keasyikan menggentel bantal tadi membuatkan mata mereka mudah terlelap dan perkara ini berulang-ulang sehinggalah ia menjadi satu tabiat yang sukar dikikis.
- Sesetengah kanak-kanak ini juga berbual dengan bantal atau anak patung kesayangan mereka. Ini merupakan satu cara untuk mereka berkomunikasi dan ia dipanggil teman imaginasi (imaginary friends). Sebenarnya mereka mahukan seseorang untuk meluahkan perasaan, namun disebabkan kesibukan ibu bapa atau pengasuh, luahan itu terpaksa disalurkan kepada teman imaginasi tadi.
- Satu lagi punca tingkah laku yang bergantung kepada sesuatu ini juga disebabkan oleh rasa ingin selamat (sense of secure). Kanak-kanak kecil belum memahami konsep kehilangan sementara. Mereka tidak faham bahawa sesuatu benda yang hilang itu akan muncul kembali dan kerana itu mereka mahukan ada sesuatu yang menjadi peneman mereka. Dengan melakukan perlakuan demikian seperti menggentel bantal, kain dan sebagainya membuatkan mereka rasa selamat dan tidak ditinggalkan keseorangan.
BERSIFAT SEMENTARA
- Sebenarnya ibu bapa tidak perlu terlalu risau dengan tabiat mengendong bantal atau anak patung ini kerana ia bersifat sementara. Dalam hal ini ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengelakkan tabiat ini daripada berterusan.
- Ibu bapa atau pengasuh katanya perlu cuba memisahkan anak dengan rakan karib mereka ini secara perlahan-lahan.
- Masa yang terbaik untuk memisahkan kanak-kanak ini katanya adalah ketika umur mereka mencecah tiga tahun. Sebaliknya jika dibiarkan perlakuan ini mungkin akan berterusan sehingga mereka dewasa.
- Namun, terdapat juga kanak-kanak yang boleh berpisah dengan teman akrab mereka ini dengan sendirinya selepas memasuki taska kerana malu kepada rakan-rakan yang lain.
- Aktiviti seharian di taska yang banyak juga mengurangkan kebergantungan kanak-kanak tadi terhadap bantal atau anak patung mereka.
BANTAL BUSUK HINGGA DEWASA
Memiliki bantal busuk hingga dewasa bukan perkara yang mustahil. Memanglah tidak ada kesan sampingan, tetapi tabiat ini boleh berlarutan hingga dewasa dan sukar dikikis jika tidak dikawal. Sesetengah individu sukar berpisah dengan tabiat ini disebabkan ibu bapa mereka terlalu mengikut kehendak anak yang mahukan bantal busuk sentiasa ada bersama. Dalam hal ini katanya, peranan ibu bapa dan pengasuh perlu ada untuk mengelakkan tabiat ini berterusan.
Sumber: Pensyarah dan Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Wan Salwina Wan Ismai & Utusan