Waktu tidur merupakan komponen yang sangat penting dalam tumbesaran bayi. Bila bayi tidur, itu merupakan saat paling bahagia buat mama sebab mama pun boleh tidur sekali. Tapi apa jadi kalau bayi tak nak tidur? Sakit kepala lah jawabnya!
Antara keperluan paling penting bagi seorang bayi ialah tidur yang mencukupi. Kajian telah menunjukkan bahawa tidur yang mencukupi turut mempengaruhi tumbesaran dan perkembangan fizikal, perasaan, serta tingkah laku mereka.
Namun, menjadi satu cabaran hebat buat ibubapa untuk wujudkan corak tidur yang sihat bagi bayi. Untuk pastikan bayi tidur nyenyak, mereka perlu rasa diri mereka berhubung dan selamat bersama ibu bapa, barulah mereka boleh tidur. Susah pula proses nak tidur ni ye? Ingatkan tutup mata dah boleh tidur dah.
Tapi Mama Siti, bayi perlukan berapa lama tidur sebenarnya? Bukan ke kita biarkan saja dia nak tidur seberapa lama dia nak? Kalau mama tak pasti, jom Mama Siti kongsikan waktu tidur yang disarankan untuk bayi mama. Mama Siti dah susun elok-elok ikut usia si manja.
Waktu Tidur Bayi Yang Disarankan
- Bayi 0-3 bulan tidur selama 16-17 jam sehari – 8 atau 9 jam pada waktu malam dan 6-7 jam waktu siang.
- Bayi yang berusia 4-6 bulan akan tidur selama 14 jam sehari – 10-11 jam tidur pada waktu malam dan 3-4 jam pada waktu siang.
- Si manja yang berusia 7-9 bulan akan tidur selama 14 jam – 11 jam pada waktu malam sementara 2-3 jam pada waktu siang.
- Bayi berusia 10 bulan-12 bulan akan tidur selama 14 jam, iaitu 11-12 jam pada waktu malam, 2 jam lagi pada waktu siang.
Tips Bayi Tidur Nyenyak Pada Waktu Malam
1. Jadual tidur
Ibu bapa harus mempunyai jadual tidur untuk anak masing-masing. Ini penting supaya waktu tidur anak jadi lebih teratur. Mama juga automatik tahu bila anak sepatutnya tidur dengan adanya jadual ni.
2. Main dengan anak
Bina hubungan yang baik dengan anak-anak melalui aktiviti ringan seperti bermain bola, melukis dan sebagainya. Yalah, nak main sukan yang aktif ni takut tak mampu pula kan? Aktiviti ringan ni dapat legakan tekanan yang dihadapi anak-anak sepanjang hari dan si manja pun akan tidur dengan lena. Yalah, dah stress-free katakan!
3. Jadi Pendengar Yang Setia
Teman anak-anak terutama waktu mereka sedang menangis sebab ketika itu mereka sangat-sangat perlukan kitauntuk redakan perasaan dia. Jangan pula mama biarkan mereka menangis keseorangan.
Mungkin dimata kita, masalah yang mereka hadapi mungkin kecil tapi bagi mereka masalah itu besarnya umpama menggalas satu dunia! Cuba mama duduk dengan dia, dengar apa yang berlaku. Confirm bila si manja tertidur takkan ada isu bangun malam dah.
4. Teknik Memujuk
Kaedah memujuk juga dapat bantu bayi tidur nyenyak tapi harus dilakukan dengan penuh kasih sayang bukannya secara kasar contohnya: marah atau herdik mereka.
5. Buang ‘Bantal Busuk’
Segala barangan kesayangan seperti bantal busuk atau puting seeloknyanya dibuang jauh-jauh sewaktu mereka nak tidur. Bukan apa, bila dah jadi tabiat, susah si manja nak tidur nyenyak kalau tak ada barang-barang kesayangan ni.
6. Jangan Paksa Anak Tidur
Kalau boleh, ibu bapa dinasihatkan agar biarkan anak-anak tidur dengan sendiri. Jangan paksa mereka tidur! Sebagai contoh, mama boleh dodoikan mereka atau bacakan buku cerita untuk tidurkan dia. Bila si manja tidur dengan sendiri, masa tidur mereka lebih lama dan mereka pun tidur dengan nyenyak!
Sumber: popmama
BACA JUGA SI MANJA TAK NAK TIDUR? INI TIPS UNTUK MAMA PASTIKAN SI MANJA CUKUP TIDUR!
Pesan Mama Siti:
Mama dan papa kena pastikan si manja mempunyai waktu tidur yang konsisten. Sebab waktu tidur yang konsisten ni dapat bagi manfaat kepada anak-anak bila mereka melangkah ke alam persekolahan tau! Mama mati akal, tak tau macam mana nak tidur kan anak ikut waktu yang ditetapkan? Jangan risau, Mama Siti ada backup untuk mama. Klik saja artikel kat atas tu. InshaAllah boleh bantu anak mama dapatkan tidur yang secukupnya!