Bermula seawal 28 minggu usia kandungan, wanita akan mula mengalami pengecutan rahim yang normal secara fisiologi, ia dinamakan pengecutan rahim Braxton-Hicks. Pengecutan rahim ini berlaku jarang-jarang, sekitar setiap 30 minit dan mengambil tempoh beberapa saat saja serta tidak menyakitkan. Ini berbeza dengan pengecutan rahim bersalin yang dialami setiap 15 minit namun kemudiannya menjadi lebih kerap (setiap lima atau tiga minit), setiap satu pula semakin panjang tempohnya (sehingga 45 saat) dan disertai dengan kesakitan. Tempoh ini bolehlah dikira secara meletakkan tapak tangan pada puncak rahim untuk mengesan pengecutan rahim itu yang sentiasa datang dan menghilang. Jangan gusar, kontraksi Braxton Hicks ialah simptom normal yang biasa dialami semasa hamil. Pada peringkat pertengahan kehamilan, anda mungkin akan merasakan otot rahim (uterus) anda mengecut. Namun jika tidak pasti, berjumpalah dengan doktor untuk mengesan punca kesakitan yang anda alami.
TANDA-TANDA KONTRAKSI BRAXTON HICKS

- Kontraksi Braxton Hicks mungkin petanda yang rahim anda sedang melatih serat-serat ototnya. Mungkin kontraksi itu adalah cara rahim anda mengajar dan bersedia untuk bekerja keras bila tiba masa bersalin. Ada pakar berpendapat bahawa kontraksi-kontraksi mempengaruhi serviks anda. Pada peringkat awal kelahiran, serviks mula memendek dan menjadi lebih lembut sebagai persediaan untuk mengembang bagi menyenangkan perjalanan bayi.
- Jadi mungkin kontraksi Braxton Hicks adalah cara serviks dilatih bagi peringkat ini. Ada juga percaya bahawa kontraksi Braxton Hicks tidak membawa perubahan kepada serviks dan perubahan hanya berlaku semasa prakelahiran, apabila kontraksi yang berkoordinasi bermula atau semasa proses kelahiran itu sendiri.
- Kontraksi Braxton Hicks biasanya tidak melebihi satu atau dua kali dalam masa sejam, mungkin dialami beberapa kali sehari. Ia lazimnya berhenti bila anda bertukar aktiviti, biasanya tidak teratur atau regular. Keadaan ini juga tidak bertahan lama, biasanya kurang satu minit, tidak beritma dan tidak bertambah intensiti. Berbanding kontraksi Braxton Hicks, kontraksi sebenar bertahan lama, lebih teratur, lebih kerap, lebih menyakitkan, lebih panjang dan lebih berkala.
- Anda mungkin juga mengalami sakit kelahiran palsu. Ini berlaku bila kontraksi Braxton Hicks lebih beritma iaitu mungkin setiap 10 hingga 20 minit pada peringkat terakhir kehamilan. Mungkin sukar bagi anda membezakan antara sakit kelahiran palsu dengan yang benar terutamanya jika keregangan rahim yang dialami sungguh tidak selesa. Tetapi, sakit kelahiran palsu tidak membawa sebarang perubahan pada serviks. Doktor anda boleh membuat pemeriksaan untuk menentukan sama ada ia kelahiran palsu atau sebenar.
- Bagaimanapun, jika anda merasakan kontraksi menjadi reda dengan cara apa pun, kemungkinan besar keadaan ini adalah Braxton Hicks. Anda perlu berjumpa doktor, jika hamil kurang 37 minggu tetapi mengalami kontraksi, lelehan yang melekit dan berdarah, sakit pinggang atau kekejangan. Ini tanda-tanda anda sedang mengalami kelahiran bayi pramatang.
TANDA HAMPIR BERSALIN
- Perut menjadi ringan sekitar dua minggu sebelum kelahiran kerana kepala bayi sudah pun ‘turun’ ke dalam kawasan rangka tulang pelvis.
- Keluar lendir pekat seperti gam yang lekang dari laluan pintu rahim apabila pintu rahim mula menipis.
- Pengecutan otot rahim yang semakin kerap dan untuk tempoh yang lama.
- Keluar lendir bercampur darah apabila pintu rahim mula membuka.
- Selain tanda di atas, anda juga perlu ke hospital jika mengalami keluar air ketuban, pergerakan bayi menjadi kurang kerap, keluar darah atau apa saja masalah yang dialami untuk kepastian doktor.
CTG ALAT MENGUKUR KONTRAKSI IBU HAMIL
- Anda juga boleh mempelajari cara mengesan pengecutan otot rahim. Ia juga dapat dilihat dalam carta cardio-tocograph atau CTG yang mencatat pola aktiviti jantung bayi serta pengecutan otot rahim. Ia dilakukan secara melekapkan dua alat berbentuk cakera tebal ke atas puncak rahim dan pada kawasan jantung bayi, alat ini dilekapkan dengan bantuan tali pinggang bergetah dan dibiarkan selama kira-kira 20 minit.
- CTG atau Cardiotocography ialah sejenis alat yang dipasang di perut ibu hamil bagi mengesan kadar degupan jantung bayi dalam kandungan dan juga kontraksi (contraction). Alat CTG biasa digunakan di hospital terutama dewan dan wad bersalin. Sesiapa yang mengandung dan masuk ke hospital untuk melahirkan anak mesti akan merasa pengalaman memakai CTG ini. Fungsi CTG adalah sama dengan Fetal Doppler yang kecil iaitu untuk mendengar degupan jantung bayi dalam kandungan. Bayi-bayi pada kehamilan berisiko tinggi seperti ibu kencing manis, darah tinggi, bayi kurang berat. Tetapi maklumat yang diperolehi dari mesin CTG adalah lebih lengkap kerana digunakan selama 30 minit setiap sesi bagi mendapatkan graf degupan jantung bayi dan juga kontraksi ibu jika ada.
- Dari segi perubatan, cardiotocography (CTG) merujuk kepada pengiraan atau merekod (merujuk kepada perkataan -graphy) denyutan jantung bayi / fetal (merujuk kepada perkataan cardio-) dan juga kontraksi ( merujuk kepada perkataan -toco-) sewaktu hamil kebiasaannya dibuat pada trimester ketiga. Alat atau mesin yang diguna dipanggil cardiotocograph, atau electronic fetal monitor (EFM). Alat CTG sangat berguna untuk mengesan tanda-tanda ‘fetal distress’ iaitu bayi berada dalam keadaan tertekan.
INFO
- Waktu 40 minggu adalah dikira bermula hari pertama haid terakhir sehingga tarikh jangkaan bersalin. Namun, 90 peratus wanita didapati sudah selamat bersalin sebelum tiba tarikh terbabit, sekitar 10 hari sebelum tarikh itu.
- Bayi dikatakan cukup bulan apabila mencecah usia 38 minggu kandungan. Bayi pula dikatakan lebih hari jika masih belum dilahirkan selepas tarikh 40 minggu, jika melebihi 42 minggu pula dikatakan lebih masa.
- Lazimnya bayi selamat jika lahir dalam tempoh 38 hingga 41 minggu, sebaliknya melebihi usia 42 minggu pula dikaitkan dengan risiko kepada bayi.
- Membenarkan bayi di dalam kandungan melebihi usia 40 minggu memerlukan pengawasan pergerakan bayi, kandungan air ketuban, keadaan uri, aktiviti jantung dan seumpamanya bagi wanita yang tidak mempunyai masalah seperti darah tinggi, kencing manis atau rhesus negatif.
- Pada masa sama, jika keadaan terbabit masih memuaskan, kandungan mungkin dibenarkan selama sekitar seminggu bagi memberi peluang jika anda didatangi sakit bersalin sendirinya tanpa perlu dipaksa bersalin (induksi). Namun, ia lebih bergantung kepada keputusan anda setelah mendapat pandangan doktor anda.
Sumber: Harian Metro/ Utusan/ InterneT