Sentiasa ingat bahawa setiap anak adalah unik dan berkembang mengikut rentak masingmasing, dengan caranya tersendiri. Maka, penting bagi anda memahami anak anda dan mengenal pasti kekuatannya dan memberi sokongan yang diperlukan. Pada asasnya, ini merupakan cara terbaik untuk anda menggalakkan perkembangan yang sihat.Sebagai permulaan, penting untuk anda membantu bayi anda berasa selesa dengan dunia baharunya dalam dua bulan kehidupannya. Segala-galanya baharu baginya, dan dia masih belajar bagaimana untuk mengawal makan minum/corak tidur dan mencuba membezakan emosi-emosinya. Cuba sedaya upaya untuk membuat dia selesa dan pastikan dia berasa selamat dan dilindungi.
0-2 BULAN
- Pemerhatian teliti diperlukan – pemerhatian secara aktif akan membantu anda mengetahui apa maksud tangisannya. Pakar kanak-kanak (atau ibu bapa) yang berpengalaman akan mengatakan bahawa bayi menangis dengan cara yang berlainan untuk keperluan yang berbeza. Kehidupan anda akan menjadi lebih mudah sekiranya anda mempelajari bagaimana untuk membezakan maksud tangisannya!
- Ambil tindakan sewajarnya – selepas pemerhatian, datang pula tindakan. Dengan bertindak dengan cepat, anda dapat memastikan dia berasa penting dan disayangi. Ini membantu membina rasa diri yang positif dan menggalakkan dia untuk lebih berkomunikasi. Ingat, anda tidak akan memanjakan bayi. Tindakan yang penuh dengan kasih sayang membantu bayi anda mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk menenangkan dirinya. Yang paling penting ialah untuk memupuk hubungan yang kuat dengannya, sekaligus memastikan perkembangan otak yang sihat.
- Hiburkan bayi anda! – sentiasa bercerita dengan bayi anda tentang perkara-perkara yang sedang berlaku disekelilingnya. Inilah masa dalam kehidupannya apabila dia mula mengadakan hubungan mata dengan anda, memegang jari anda, dan seronok dengan sentuhan anda dan bertindak balas kepada suara anda. Objek-objek yang berwarna terang juga akan mula menarik minatnya. Walaupun dia tidak memahami kata-kata anda, mendengar suara anda akan berjaya mengeratkan hubungan anda dengannya. Ingatlah bahawa nada suara anda dan pandangan mata adalah penting!
2-6 BULAN
- Saya ingin bercakap juga! Bayi-bayi sangat interaktif pada peringkat ini apabila mereka cuba untuk berkomunikasi dengan anda. Mereka senyum dan mengagah, sekali-sekala berhenti sebentar untuk menunggu tindak balas anda. Bayi juga mula meniru anda, semuanya sebahagian daripada proses mempelajari kemahiran baharu. Dengan mengambil bahagian secara aktif dalam ‘perbualan’ awal ini, anda mempunyai banyak peluang untuk mendedahkan bayi anda kepada banyak perkataan baharu sebelum dia belajar bercakap.
- Meneroka adalah cara terbaik untuk belajar – dengan memerhati, memegang dan memasukkan objek yang berbeza ke dalam mulutnya, sebenarnya bayi sedang belajar tentang dunianya. Kebanyakan bayi akan mencapai, dan cuba untuk memegang, pada sekitar umur tiga bulan. Untuk menjaga keselamatannya, pastikan apa-apa objek yang bayi anda pegang adalah selamat untuk bayi dan tidak boleh masuk keseluruhannya ke dalam mulut.
- Bergerak – menjelang umur empat hingga enam bulan, bayi mempunyai kawalan tubuh yang lebih baik. Dia mungkin boleh berpusing ke kiri/kanan, lebih pandai mencapai dan memegang barang-barang, dan boleh duduk dengan sedikit sokongan. Pastikan anda turun ke paras yang sama dengannya dan periksa rumah anda untuk memastikan keselamatan bayi anda, contohnya tutup semua palam, letakkan penghalang pada tangga, balut/tutup bucu-bucu tajam untuk mengelakkan kecederaan kepada bayi, pastikan kabinet/laci tidak boleh dibuka oleh bayi, dll.
6-9 BULAN
- Fokus pada komunikasi – kebanyakan bayi pada peringkat umur ini gemar berkomunikasi dengan bunyi, gerak isyarat dan riak wajah. Mereka mula berceloteh satu suku kata di mana anda boleh kaitkan beberapa bunyi dengan orang-orang tertentu seperti ‘mama’ untuk ibu dan ‘papa’ untuk ayah. Pastikan anda terus bercakap dengannya, bahkan sehingga menceritakan perbuatan anda, contohnya “Ini dia mainan kegemaran anda, tengok tu, gebunya”. Jika dia memberi tindak balas, pastikan anda menjawabnya. Teruskan ‘perbualan anda’ seberapa lama yang boleh.
- Bergerak, bahagian dua – kemahiran motornya semakin baik pada umur ini. Galakkan dia berguling, menyusur, merangkak, atau berdiri seberapa banyak yang boleh. Jika dia inginkan permainan, jangan terus beri kepadanya tetapi biar dia bekerja keras untuk mendapatkannya; pegang tinggi-tinggi supaya dia mencapai, atau letak jauh dari capaiannya supaya dia terpaksa berjalan ke arah anda. Dengan membiarkan dia melakukan sendiri, anda juga sedang membantu membina keyakinannya. Walau bagaimanapun, jangan lupa untuk memastikan persekitarannya selamat.
9-12 BULAN
- Ini mungkin peringkat umur yang paling menyeronokkan bagi kebanyakan ibu bapa, memandangkan bayi-bayi boleh berkomunikasi dengan berkesan melalui tindakan dan bunyi.
- Bayi sedia mendengar – pada peringkat ini, bayi anda memahami lebih banyak perkataan daripada apa yang boleh dia tuturkan dan boleh mengikut arahan mudah seperti “ambil bola”. Pada peringkat ini, anda harus meneruskan’perbualan’ kerana ia akan membantu bayi anda belajar bahasa. Jika anda melihat dia memerhatikan sesuatu, bercerita tentangnya kepada bayi anda, contohnya “Cantikkan bulan tu? Nampak tak bulan tu sangat terang!” Meniru bunyi mungkin bermula dan penting bagi anda mengaitkan bunyi dengan perbuatan atau objek di sekelilingnya, contohnya ‘mam-mam’ untuk makanan/makan.
- Bergerak, bahagian tiga – dia masih belum puas meninjau dan akan menyusur, merangkak atau berjalan merata-rata. Biarkan dia mendapat ‘senamannya’ tetapi anda harus pastikan persekitarannya selamat untuk dia berbuat demikian. Selain itu, anda boleh bermain dengan bayi anda sambil dia bergerak; membuat jejak menggunakan permainannya atau bermain ba chak atau sorok-sorok.
- Jauh di mata dekat di hati – kini dia tahu bahawa benda-benda (dan orang) masih wujud walaupun dia tidak nampak mereka. Bermain sorok-sorok membantu bayi anda lebih memahami konsep ini. Begitu juga, sekiranya anda pergi ke mana-mana tanpa membawanya bersama, jangan keluar secara sembunyi! Pastikan anda memberitahu dia dan ucapkan selamat tinggal. Ini membina kepercayaan bayi anda terhadap anda dan juga membantu dia mengawal perasaan.
- Kuncinya ialah pengulangan – dengan melakukan sesuatu berulang kali, bayi anda sebenarnya sedang meningkatkan kemahiran motor dan daya ingatannya. Ini juga membantu dia memahami bagaimana benda-benda berfungsi. Anda boleh membantu dengan bermain bersama, contohnya, jika dia asyik menghantuk-hantuk blok binaan, cuba perhati jika dia lebih suka menyusunnya. Cuba untuk memperkayakan pengalamannya dengan aktiviti-aktiviti lain, seperti menggolek atau melambung bola, menggoncang atau menghantuk orok-orok, atau membiarkan dia bermain dengan permainan manik berselirat. Ini membantu mengajar dia bagaimana benda-benda berfungsi, pada masa yang sama membina otot pada tangannya yang diperlukan apabila dia mula menulis.
Sumber: mypositiveparenting.org