Sebaik-baiknya, semasa hamil, anda perlu berhati-hati apabila mengambil sebarang ubat termasuk ubat-ubatan yang boleh dibeli tanpa preskripsi doktor. Ini kerana sesetengah ubat boleh membahayakan bayi dalam kandungan. Ini tidak bermakna bahawa anda tidak boleh mengambil sebarang ubat jika anda benar-benar tidak sihat. Tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, periksalah dengan doktor, pakar obstetrik ataupun ahli farmasi sebelum mengambil sebarang ubat.
SAKIT KEPALA
- Sakit kepala biasa berlaku apabila anda hamil, terutamanya dalam trimester pertama. Jika anda memang sering mengalami sakit kepala, kehamilan boleh membuat masalah ini bertambah teruk. Paracetamol tanpa sebarang bahan tambahan ialah ubat penahan sakit yang paling selamat diambil apabila anda hamil.
- Ibuprofen tidak seharusnya menjadi pilihan pertama untuk mengubati sakit kepala semasa hamil. Tiada bukti kukuh yang menunjukkan ubat ini membahayakan dalam trimester pertama dan kedua, tetapi sesetengah pakar menasihatkan anda mengelakkannya sebagai langkah berjaga-jaga.
- Anda tidak harus mengambil ibuprofen semasa dalam trimester ketiga kehamilan. Pengambilan ibuprofen yang kerap pada peringkat ini boleh mengurangkan tahap cecair amniotik (air ketuban), menjejaskan perkembangan jantung bayi dalam kandungan dan melambatkan permulaan proses pelahiran. Walau bagaimanapun, jika anda mengambil ibuprofen hanya sesekali semasa hamil, ia tidaklah membahayakan.
- Jangan ambil ubat-ubatan yang mengandungi codeine kecuali jika doktor anda yang mengesyorkannya.
KETIDAKCERNAAN
Ketidakcernaan dan pedih ulu hati boleh jadi satu masalah sepanjang kehamilan. Pada minggu pertama, salur penghadaman anda menjadi lemah menyebabkan makanan sukar dicernakan. Menjelang akhir kehamilan pula, bayi anda yang semakin membesar mula menolak perut anda ke atas. Ini boleh menyebabkan pedih ulu hati. Untuk melegakan keadaan ini, anda boleh cuba:
- Antasid yang mengandungi magnesium dan aluminium.
- Antasid yang mengandungi alginate.
- Antasid berasaskan kalsium. Tetapi jangan kerap menggunakannya.
- Periksalah dengan doktor anda sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan lain untuk merawat ketidakcernaan dan pedih ulu hati.
MERAWAT SAKIT PERUT
Jika anda mengalami sakit perut beserta cirit-birit, anda pasti tidak selesa tetapi ini tidak akan membahayakan bayi anda. Anda boleh merawatnya dengan mengambil solusi rehidrasi oral untuk mengelakkan anda daripada ternyahhidrat. Jangan ambil ubat anti cirit-birit yang mengandungi loperamide.
BUASIR
Buasir (pendarahan) ialah perkara biasa dalam kehamilan. Doktor anda boleh mempreskripsi minyak ataupun ubat supositori untuk melegakan punggung anda.Anda akan dapati banyak produk untuk merawat buasir di farmasi-farmasi berdekatan. Jika doktor tidak mempreskripsikan apa-apa ubat kepada anda, periksalah dengan doktor anda atau ahli farmasi tentang ubat manakah yang selamat untuk digunakan.
KEPUTIHAN
Anda tidak boleh membeli ubat di farmasi untuk merawat keputihan. Ahli farmasi tidak akan memberi ubat untuk merawat keputihan kepada anda jika anda hamil. Jumpalah doktor anda untuk mendapatkan nasihat dan rawatan.
BATUK DAN DEMAM SELESEMA
- Penyakit ini boleh membuat anda tidak selesa tetapi ada rawatan yang boleh anda cuba sendiri untuk melegakan simptom-simptomnya. Madu dan lemon dalam air panas telah digunakan sejak zaman berzaman untuk melegakan batuk.
- Untuk hidung tersumbat, cubalah rawatan wap air panas.Jika ini tidak berkesan dan anda benar-benar sengsara kerananya, mungkin doktor anda atau ahli farmasi dapat mengesyorkan semburan hidung yang sesuai.
- Jika anda demam, anda boleh ambil paracetamol untuk menurunkan suhu badan. Jika ini tidak berkesan, hubungilah doktor anda. Beliau mungkin akan mengesyorkan ubat seperti ibuprofen, tetapi hanya jika kehamilan anda berusia di antara 14 minggu dan 27 minggu.
- Sentiasa gunakan sukatan paling sedikit ubat untuk jangka masa yang paling pendek. Periksa dengan doktor anda sebelum mengambil ubat batuk atau selesema yang lain, dan jangan ambil ubat yang mengandungi codeine.
KUTU RAMBUT
Kutu rambut memang menjengkelkan. Jika salah seorang ahli keluarga mendapatnya, amat mudah untuk anda dijangkiti. Mula-mula sekali, cuba sikat rambut anda semasa basah dengan menggunakan penyikat kutu. Anda mungkin perlu melakukannya beberapa kali selepas mencuci rambut untuk menghapuskan kesemua kutu dan telur-telurnya. Mintalah seseorang memeriksa rambut anda untuk memastikan ia sudah bebas daripada kutu. Anda mungkin dapati bahawa rambut anda lebih lebat semasa hamil. Oleh itu, jika terlalu sukar untuk menyikatnya, atau kaedah itu tidak berkesan, ada beberapa kaedah rawatan lain yang boleh anda gunakan:
- Pertama, guna losyen dimethikon.
- Jika ini tidak berkesan, cubalah malathion dalam persediaan berasaskan air.
KECACINGAN
Bagaimanakah saya dapat menghapuskan cacing benang dengan selamat?
Jika anda dikelilingi anak-anak kecil, cacing benang, seperti mana kutu rambut, adalah pelawat yang menjengkelkan dan mudah menjangkiti anda. Anda tidak boleh membeli sebarang ubat di pasaran untuk menghapuskan cacing ini. Ahli farmasi tidak akan memberikan ubat untuk merawat masalah ini kepada anda semasa anda hamil. Jumpalah doktor anda untuk mendapatkan nasihat dan rawatan.
Sumber: Utusan Malaysia