Apabila anak dilahirkan ke dunia, ibu bapa yang bertangungjawab menjaga kebajikan dan kesihatan mereka.Disebabkan bayi adalah individu yang masih kecil mereka memerlukan penjagaan dan perhatian yang baik daripada kedua ibu bapanya. Kebiasaannya bayi yang berumur antara kosong hingga enam bulan lebih berisiko mengalami insiden ini jika tiada pemantauan yang ketat dari keluarga kerana pada umur begini mereka masih kurang peka dan mengetahui bahaya yang menimpa di hadapan mata. Antara yang berkaitan adalah terjadi kepada bayi yang lahir pramatang, posisi tidur meniarap, tabiat ibu bapa yang merokok berdekatan dengan bayi mereka dan sebab-sebab jangkitan penyakit lain yang pada mulanya tidak serius sehinggalah penyakit tersebut mula menyerang sistem pertahanan dalam badan mereka serta jangkitan kuman.
- Selalunya bayi yang sedang mengalami kesakitan dapat dikenal pasti melalui beberapa petanda iaitu mereka didapati susah untuk bernafas, sedikit tertekan apabila tiba waktu ingin disusukan dan diserang demam panas yang melebihi daripada 38 darjah celcius.
- Beberapa kes bayi meninggal secara mengejut akibat tersedak susu semasa tidur juga sering berlaku di kalangan masyarakat kita. Ibu mempunyai pilihan untuk menyusukan bayi mereka dalam keadaan duduk atau sambil tidur. Jika bayi disusukan sambil berbaring ibu berperanan memantau dan peka dengan keadaan bayi ketika itu ditakuti mereka tertidur dan tersedak.
- Bayi yang mempunyai masalah kesihatan seperti sawan juga mempunyai risiko meninggal secara mengejut jika tidak diberikan rawatan dengan segera. Walaupun penyakit sawan susah dikesan pada bayi, ibu bapa masih boleh memantau keadaan bayi mereka melalui beberapa petanda seperti seluruh tubuh mereka kelihatan kejang, mata yang tiba-tiba memandang ke atas, bibir bertukar warna dan pernafasan mereka kelihatan terganggu dan tidak memberi respon apabila dipanggil mahupun disentuh pada bahagian badan.
- Amalan ibu bapa yang membedung bayi mereka semasa berusia bayi juga antara penyebab berlaku insiden ini. Seeloknya, apabila ingin membedung bayi, pastikan membalutnya tidak terlalu ketat dan kuat. Keadaan ini bertujuan mengelakkan bayi susah untuk bernafas dan bergerak.
- Bagi ibu yang tidur bersama bayi, berhati-hati kerana si kecil ini boleh lemas ketika anda menyusukan mereka, terhimpit atau muka mereka ditutupi bantal atau selimut. Pastikan ada ruang dan jarak antara bayi dengan anda bagi mengelakkan mereka lemas ketika tidur. Seeloknya, untuk keselamatan bayi, tidurkan mereka di dalam ruang tidur khusus seperti katil dan buaian yang berdekatan dengan anda.
- Jika anda ada sejarah keluarga yang pernah ada kes kematian bayi secara mengejut juga perlu sentiasa berhati-hati dengan keadaan tersebut selain belajar dari pengalaman yang pernah terjadi kepada mereka.
Sumber: Dr. Salehuddin Samsudin, Pakar Perunding Paediatrik & Neonatologi Parkcity Medical Centre & Utusan