Ha, mama dan papa tahu tak anak mama pun boleh menghidap kencing manis? Biasa kita dengar orang dewasa saja yang kena, eh tiba-tiba kanak-kanak pun boleh kena juga?
Macam mana kanak-kanak boleh ada kencing manis, kan mereka masih muda, baru saja lahir. Mestilah sihat walafiatkan? Ha, buat pengetahuan mama, berbeza dengan orang dewasa, biasanya Diabetes Type 1 akan berlaku pada kanak-kanak.
Hmm, berjenis pula diabetes ni? Ada berapa jenis lagi? Kalau nak tahu, jom kita ikuti perkongsian daripada Dr. Noor Shafina tentang masalah kencing manis, terutamanya Diabetes Type 1 yang biasa berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja ini.
Apakah Diabetes?
Seperti yang kita tahu, diabetes menyebabkan paras gula dalam darah seseorang lebih tinggi daripada normal.
Umumnya terdapat dua jenis diabetes yang utama iaitu Diabetes Type 1 dan Diabetes Type 2.
Diabetes Type 1
- “Diabetes atau Insulin Dependent Diabetes Mellitus” (bergantung pada insulin)
- Biasanya berlaku pada kanak-kanak dan remaja dimana kelenjar pankreas mereka gagal menghasilkan hormon insulin untuk mengawal paras gula darah.
- Pesakit diabetes jenis ini bergantung sepenuhnya kepada suntikan hormon insulin setiap hari.
Diabetes Type 2
- “Diabetes atau Non-Insulin Dependent Diabetes Mellitus” (tak bergantung pada insulin)
- Jenis paling biasa ditemui dan lebih daripada 90% penghidap diabetes adalah penghidap jenis ini.
- Selalunya pada orang yang berumur dan berat badan berlebihan.
- Pesakit boleh dirawat dengan memakan ubat yang diberikan oleh doktor atau pun juga dengan penambahan suntikan insulin untuk mengawal paras gula darah supaya berada pada tahap yang baik.
Punca Diabetes di Kalangan Kanak-Kanak
Menurut Dr Shafina, Diabetes Type 1 terjadi apabila sistem imuniti badan seseorang menyerang dan memusnahkan sel-sel pankreas mereka sendiri.
Ini akan menyebabkan penghasilan hormon insulin terganggu. Dalam istilah perubatan, proses ini dikenali sebagai proses ‘autoimmune’.
Menurut beliau, punca sebenar yang menyebabkan keadaan ini berlaku masih belum dikenal pasti dengan jelas dan masih diselidiki oleh pakar. Antara faktor-faktor yang cuba dikaitkan dengan proses ini adalah faktor genetik dan persekitaran.
Sebaliknya, Diabetes Type 2 pula lebih berpunca akibat faktor genetik.
Maksudnya, kalau ibu bapa menghidap diabetes jenis ini, anak-anak juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapatnya.
6 Tanda Kencing Manis Pada Kanak-Kanak
Antara tanda awal kencing manis yang boleh dilihat pada bayi dan kanak-kanak adalah seperti berikut:
1. Kerap Kencing
Bila anak mama ada kencing manis, kadar gula darah dalam tubuh anak mama secara automatik akan meningkat. Tubuh mereka pula akan bagi respon melalui air kencing untuk hilangkan lebihan glukosa.
Ini yang buat anak mama kerap betul buang air kecil dalam jumlah yang banyak.
2. Cepat Haus
Bila dah asyik kencing saja, mestilah banyak cecair yang dikeluarkan dari tubuh. Anak-anak pun akan rasa cepat haus.
Minum air dalam jumlah yang banyak dapat bantu anak untuk jaga kadar air dalam tubuhnya.
3. Selalu Lapar
Bila tubuh anak tak hasilkan insulin yang secukupnya, glukosa atau gula dari makanan yang masuk ke tubuh anak mama tak mampu diserap oleh tubuh secara efisien.
Tu yang anak mama cepat betul rasa lapar.
4. Sentiasa Kelihatan Letih
Anak mama jadi letih dan lesu sebab tubuh mereka tak dapat serap glukosa dengan baik, yang menyebabkan sel-sel dalam tubuh si manja kekurangan tenaga untuk melakukan aktiviti tak kiralah aktiviti ringan atau berat.
5. Kehilangan Berat Badan
Yang ni mama dan papa perlu alert! Kalau berat badan si manja tetap menurun walaupun makan sampai 6 kali sehari, ia petanda anak mama mempunyai kencing manis!
Bila tubuh anak tak dapat serap gula dalam darah, jaringan otot dan lemak menyusut sehingga terjadi penurunan berat badan. Ha, kalau mama dan papa nak tahu, penurunan berat badan ni biasanya dikaitkan dengan diabetes Type 1.
6. Cepat Marah/Murung
Dalam sesetengah kes, kanak-kanak yang mengalami diabetes ni boleh menjadi marah atau murung secara tiba-tiba.
Bahaya & Komplikasi Jika Tak Dikenalpasti Sejak Awal
Sekiranya gejala ni berlarutan dan paras gula dalam darah pun berterusan meningkat, akan berlaku pengumpulan asid yang dinamakan ‘ketone’ dalam darah.
‘Ketone’ yang tinggi akan menyebabkan kanak-kanak mendapat komplikasi serius yang dipanggil ‘diabetic ketoacidosis’ (DKA) yang sangat berbahaya.
Antara komplikasi DKA ialah:
- Muntah-muntah
- Mual
- Mulut berbau
- Sakit perut
- Bernafas laju
- Pengsan / pitam
*DKA ni sangat berbahaya dan rawatan di hospital amat diperlukan pada kadar segera.
Rawatan
Malangnya, setakat ni masih belum ada langkah pencegahan Diabetes Type 1. Tapi lain pula untuk Diabetes Type 2. Mama dan papa boleh pastikan anak-anak mengambil makanan sihat dan pastikan mereka mempunyai berat badan yang ideal sesuai dengan tumbesaran badan.
Rawatan bagi Diabetes Type 1 adalah dengan suntikan insulin bagi memastikan kawalan gula dalam darah kekal pada kadar optimum. Diabetes Type 2 boleh dirawat dengan memakan ubat yang diberikan oleh doktor atau suntikan insulin serta mengawal paras gula darah supaya berada pada tahap yang baik.
Kalau mama jaga pemakanan anak mama, galakkan mereka lakukan aktiviti fizikal dan riadah secara berkala, pesakit diabetes kanak-kanak boleh membesar dengan baik dan menjalani hidup yang normal seperti kanak-kanak yang lain.
Sumber: Dr. Noor Shafina Binti Mohd Nor
BACA JUGA KENAPA ANAK SAYA KERAP MUNTAH?
Pesan Mama Siti:
Mama tahu tak yang Diabetes Type 1 ni boleh menyebabkan kematian jika tak dirawat dengan lebih awal. Jadi, kalau nak selamat, kalau anak mama ada gejala seperti yang tertera diatas, bawa terus anak untuk mengikuti ujian glukosa darah. Sekurang-kurangnya tindakan mama dapat selamatkan nyawa insan tersayang dengan lebih awal.