Tekanan darah mama rendah ke ketika mengandung? Mama tahu tak apa punca tekanan darah mama rendah? Antara puncanya adalah disebabkan oleh kekurangan nutrisi akibat diet pemakanan yang tak seimbang dan kelemahan penyerapan nutrisi dalam badan.
Tekanan darah rendah ni biasanya menunjukkan mama kekurangan nutrisi yang penting untuk tumbesaran janin. Jadi, untuk elakkan daripada perkara tersebut berlaku, mama kena tahu makanan apa yang sesuai diambil untuk tambah balik zat-zat yang kurang dalam diet mama. Apa yang kurang sebenarnya?
Kekurangan Zat Punca Tekanan Darah Rendah
Pertama sekali, zat besi. Badan memerlukan zat besi untuk menghasilkan hemoglobin. Hemoglobin (hb) adalah protein dalam sel darah merah yang mengangkut oksigen dari paru-paru ke seluruh badan.
Tekanan darah rendah juga menunjukkan yang mama sebenarnya kekurangan asid folik (vitamin B9). Badan memerlukan asid folik untuk menghasilkan sel-sel baru. Kekurangan asid folik akan menyebabkan badan tak dapat menghasilkan sel darah merah yang mencukupi.
Selain itu, asid folik ni bagus untuk mengelakkan kecacatan kelahiran seperti spina bifida dan kekurangan berat semasa lahir. Jadi, tak boleh kurang tau!
Vitamin B12 juga sangat diperlukan untuk membantu proses pembentukan sel darah merah yang sihat. Kekurangan vitamin B12 boleh menyebabkan kecacatan kelahiran dan risiko kelahiran pra-matang.
Mama boleh cuba amalkan makanan ini dalam diet harian mama untuk bantu tingkatkan bacaan tekanan darah.
Diet Elak Tekanan Darah Rendah
1. Daging Merah
Daging merah mengandungi kadar zat besi dan protein yang tinggi untuk membantu menangani masalah anemia semasa hamil. Daging yang berwarna merah memiliki lebih tinggi kandungan zat besi.
2. Ikan Bilis
Walaupun saiznya kecil, ikan bilis kaya dengan kalsium iaitu mineral yang penting untuk pertumbuhan tulang & gigi. Selain itu, ia juga kaya akan protein, fosforus, zat besi, beberapa vitamin, serta mineral lain. Dan yang paling penting, ikan bilis sangat rendah merkuri untuk ibu hamil.
3. Kekacang
Kacang adalah salah satu sumber untuk mencegah anemia dan bagus untuk tambah darah. Beberapa jenis kekacang mengandung 18 mg zat besi dan jumlah tersebut sudah mencukupi keperluan zat besi untuk seharian.
4. Hati Ayam
Hati ayam dipercayai dapat menambah kepekatan darah. Satu hidangan hati ayam mengandungi 11 mg zat besi.
5. Bayam
Bayam merupakan makanan paling baik dan senang di dapati di dalam kalangan sayuran untuk ibu hamil. Bayam merah ataupun hijau, menyerap zat besi dan folat untuk menangani masalah anemia. Kalau buat sup bayam fuh… memang kegemaran Mama Siti!
6. Kerang
Kerang juga terkenal dalam mencegah anemia. Antara khasiat kerang atau makanan laut adalah kandungan omega-3 yang merupakan sumber DHA serta EPA yang sangat baik untuk perkembangan otak, saraf, dan mata bayi dalam kandungan.
7. Jambu Batu
Jambu batu kaya dengan vitamin C berbanding oren. Selain itu, ia juga tinggi kandungan zat besi, kalsium, thiamin, magnesium serta fosforus yang bagus untuk tubuh. Penyerapan yang baik untuk mengelakkan anemia dan sembelit.
8. Kurma
Makanan tambah darah yang menepati sunnah ialah kurma. Khasiat kurma tak dapat disangkal lagi kerana ia kaya dengan pelbagai sumber vitamin. Ini termasuk meningkatkan penghasilan sel darah merah. Kurma juga kaya dengan sumber karbohidarat yang memberi tenaga kepada ibu hamil.
Ambil Suplemen Tambahan
Ibu hamil yang mengalami anemia biasanya akan diberi pil zat besi yang berwarna coklat dan juga obimin berwarna merah oleh pihak klinik untuk tambah darah. Mama dinasihatkan untuk ambil ubat-ubatan ini berserta vitamin C agar lebih mudah diserap.
Kalau mama selalu pengsan, bila berdiri lama rasa macam nak pitam, cuba cek dengan doktor. Takut tekanan darah mama rendah. Nak tahu lebih lanjut simptom-simptom tekanan darah rendah, mama boleh klik artikel seterusnya di bawah. Kalau mama alami simptom-simptom yang disenaraikan, tunggu apa lagi. Cepat-cepatlah ke hospital!
Sumber: bidadari
BACA JUGA TANDA TEKANAN DARAH MAMA RENDAH KETIKA HAMIL
Pesan Mama Siti:
Selain daripada makan makanan yang seimbang, mama boleh bersukan dan elakkan diri daripada berdiri terlalu lama. Jangan lupa minum air masak banyak-banyak. Mama Siti dah bagi 8 jenis makanan untuk tambah darah yang mama boleh amalkan. Kalau mama jarang makan, jom cuba dulu. InshaAllah akan bertambah baik.