Bubuh banyak sikit kasi terang warna tu! Ish tak cukup ni, mama tambah la lagi pewarna makanan ni…
Hmm, begitulah situasinya kalau nak buat biskut, kek dengan anak-anak. Kanak-kanak memang suka dengan makanan yang ceria dan berwarna-warni. Kalau boleh, lagi terang warna tu, lagi dia suka.
Seolah-olah, pewarna makanan di tangan tu menceriakan hati si kecil, “Ey, tambah la lagi. Lagi banyak lagi cantik!”. Tapi sebagai ibubapa, mama dengan papa tak boleh biarkan anak bebas menggunakan pewarna tiruan ni.
Eh, kenapa pula? Kan selamat saja? Selamat memang selamat, tapi ada beberapa perkara yang perlu kita faham tentang pewarna makanan yang terkandung dan mungkin juga ‘tersembunyi’ dalam makanan anak-anak kita.
1. Apakah Pewarna Makanan
Menurut Portal MyHealth, pewarna makanan tergolong dalam salah satu jenis bahan aditif dalam makanan yang selamat dimakan dan ditambah secara sengaja ke dalam makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi tidak termasuk vitamin dan mineral.
Buat pengetahuan mama, penggunaan pewarna atau bahan aditif dalam makanan ni telah dilakukan sejak beratus tahun dahulu untuk menyedapkan makanan, mengawet, serta mengekalkan kualiti makanan.
2. Kenapa Tambah Pewarna Tiruan Dalam Makanan?
Pewarna makanan ditambah untuk meningkatkan kualiti makanan dan persembahan (tekstur, warna, rupa, rasa dan konsistensi).
Dengan adanya pewarna tiruan ni, ia akan beri impak pada persembahan makanan dan merangsang selera makan. Terutama untuk kanak-kanak yang sangat menggemari makanan yang berwarna ceria.
3. Pewarna Tiruan Dalam Makanan Kanak-Kanak
Kita bukan tak nampak tapi kita TAK SEDAR dengan kewujudan pewarna ini.
Selain manisan dan gula-gula, kita juga terpedaya dengan minuman yang sudah ditambah dengan pewarna tiruan. Contohnya, jus buah-buahan, susu berperisa dan minuman yogurt / probiotik. Ingatkan warna asli buah, tapi sebenarnya ia hasil daripada pewarna yang ditambah saja.
Kajian juga mendapati penggunaan bahan pewarna semakin meningkat dalam pembuatan bijirin sarapan yang biasa kita lihat di pasaran. Contoh terdekat, Kellogs Unicorn Cereal!
4. Cara Mengesan Pewarna Tiruan Dalam Makanan
LABEL yang ada pada makanan akan menyenaraikan segala jenis aditif yang terkandung dalam makanan tersebut. Di bawah undang-undang sedia ada, apa-apa makanan yang telah ditambah dengan aditif makanan perlu mendedahkan jenis aditif makanan yang berkenaan yang dibenarkan di senarai ramuan. Contohnya “mengandungi pewarna yang dibenarkan“.
Kadang kala label juga memberikan maklumat tambahan berkaitan jenis aditif makanan secara spesifik yang telah ditambah ke dalam makanan. Contohnya “mengandungi pewarna yang dibenarkan (Ponceau 4R)”.
Ada juga label yang mengandungi maklumat tambahan di mana nombor rujukan aditif yang digunakan di peringkat antarabangsa dinyatakan pada label. Contohnya “mengandungi pengemulsi (sodium pyrofosfat(E450) sebagai kondisioner makanan yang dibenarkan”.
5. Bagaimana Pewarna / Aditif Makanan Dikawal Di Malaysia
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertanggungjawab mengawal dan meluluskan penggunaan aditif dalam makanan. Pewarna dan bahan aditif yang dijual di pasaran hanya dibenarkan dalam makanan tertentu sahaja dan kadar maksimum adalah ditetapkan seperti yang disenaraikan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
KKM akan luluskan aditif makanan untuk digunakan dalam makanan hanya apabila terdapat bukti kukuh bahawa ianya tak akan mendatangkan kesan bahaya kepada kesihatan manusia sekiranya digunakan.
Walaupun begitu, mama sebagai pengguna perlu sentiasa baca label dengan teliti sebelum membeli sebarang produk di pasaran.
6. Dikaitkan Dengan Kesan Hiperaktif & Alergik Pada Kanak-Kanak
Menurut beberapa kajian, kesan pengambilan pewarna makanan yang berlebihan boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi hiperaktif atau ADHD.
Terdapat juga beberapa dakwaan yang mengatakan bahawa pewarna tiruan ini boleh menyebabkan alahan serta menjadi punca kanak-kanak sukar tidur.
Sebab itulah, diet yang seimbang itu penting! Penggunaan pewarna tiruan ni memang selamat dimakan tapi ianya kurang bernutrisi. Contoh makanan yang mengandungi pewarna tiruan ni adalah kek, aising, biskut, gula-gula, minuman berkarbonat, aiskrim dan coklat.
7. Alternatif Pewarna Semulajadi Yang Boleh Digunakan
Mama Siti tahu ada sesetengah ibubapa seronok betul buat biskut dan kek. Apatah lagi bila anak-anak kita jadi peminat tegar masakan kita. Lagilah bersemangat nak memasak.
Tapi, ada pelbagai bahan alternatif yang semulajadi yang boleh kita gunakan untuk ganti pewarna tiruan ni. Antaranya:
- Warna merah – jus delima, buah naga
- Warna kuning – rempah saffron, kunyit
- Warna biru / ungu – bunga telang, blueberries
- Warna oren – lobak merah
Makanan Semulajadi Pun Banyak Yang Berwarna Ceria
Sebenarnya, makanan semulajadi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan boleh beri impak yang sama dari segi persembahan warna makanan. Ia juga lebih berkasiat sebab mengandungi nutrisi yang penting untuk kesihatan tubuh badan kita.
Jadi, bertukarlah kepada makanan semulajadi! Kalau nak dibandingkan dengan makanan proses, impak penggunaan makanan semulajadi ni jauh lebih besarkan?
Sumber: SirapLimau, Myhealth
BACA JUGA KETAHUI KHASIAT BUAH-BUAHAN & SAYURAN MENGIKUT WARNA
Pesan Mama Siti:
Mama Siti faham yang proses untuk buat pewarna makanan semulajadi agak leceh. Yalah, ada yang kena kisar, rebus, lepas tu tapis pula. Itulah yang menyebabkan ramai orang bertukar kepada pewarna tiruan saja. Bahan-bahannya pula kadang-kadang mahal dan sukar didapati, contohnya buah strawberi dan blueberry. Tapi, demi kesihatan keluarga, mama boleh limitkan penggunaannya. Buruk padahnya kalau diguna secara kerap!