Kematian pelakon siri drama TV popular Meteor Garden, Barbie Hsu pada usia 48 tahun, teah mengejutkan peminatnya di seluruh dunia. Punca kematian dikatakan pneumonia disebabkan influenza. Nyata, influenza ialah suatu penyakit yang tidak boleh diambil ringan.

Perunding Perubatan Dalaman & Pakar Respiratori
Ini menimbulkan persoalan penting: apakah sebenarnya pneumonia berkaitan selesema, bagaimana ia merebak, dan apakah langkah yang boleh kita ambil untuk melindungi diri kita?
Untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam, kami berbincang dengan Dr. Jurina Mohd. Hassan, Perunding Perubatan Dalaman & Pakar Respiratori dari Columbia Asia Hospital – Puchong.
Apakah pneumonia berkaitan dengan selesema?
“Pneumonia berkaitan dengan selesema adalah komplikasi serius selesema yang boleh berlaku apabila virus selesema menjangkiti saluran pernafasan. Ia boleh disebabkan virus selesema itu sahaja, atau jangkitan virus selesema bersama bakteria. Tanda-tanda yang menunjukkan perkembangan pneumonia berkaitan dengan selesema termasuk sesak nafas, demam berulang, takipnea (pernafasan cepat dan pendek), sianosis (kulit, bibir atau kuku menjadi kebiruan disebabkan kurang oksigen dalam darah), dan paru paru berbunyi semasa bernafas”
Bolehkah influenza menyebabkan sepsis, and jika ya, bagaimana ia berlaku?
“Jangkitan selesema pada saluran pernafasan boleh menyebabkan tindak balas keradangan yang teruk dalam tubuh, seterusnya membawa kepada sepsis. Selesema juga boleh memburukkan masalah kesihatan kronik. Contohnya, pesakit asma mungkin mengalami serangan asma ketika menghidap selesema, atau pesakit warga emas boleh mengalami kemerosotan kesihatan disebabkan selesema.”
Mengapa sesetengah individu lebih cenderung mengalami komplikasi serius seperti pneumonia dan sepsis akibat selesema?

“Sesiapa sahaja boleh jatuh sakit dengan selsema, termasuk mereka yang sihat, dan komplikasi serius disebabkan selsema boleh berlaku kepada individu tidak kira umur. Namun begitu, sesetengah individu mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi komplikasi serius sekiranya mereka dijangkiti selsema. Ini termasuk mereka yang berusia 65 tahun ke atas, individu tidak mengira usia yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti asma, diabetes, atau penyakit jantung, wanita hamil, serta kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, khususnya yang berumur kurang daripada 2 tahun.”
Apakah faktor yang menyumbang kepada penyebaran influenza yang berleluasa di Jepun dan negara lain?
“Tiga faktor utama yang menyebabkan penyebaran jangkitan ialah agen (patogen), perumah, dan persekitaran. Agen merujuk kepada patogen seperti virus, bakteria, parasit, atau mikrob lain. Perumah ialah manusia yang boleh dijangkiti. Sementara itu, faktor persekitaran termasuk keadaan yang memudahkan pendedahan kepada agen dan membantu penyebarannya. Apabila seseorang yang menghidap selesema bersin, batuk, bercakap, atau ketawa, virus selesema boleh tersebar ke udara dalam bentuk titisan. Titisan ini boleh bergerak ke arah orang atau permukaan lain sehingga 6 kaki jaraknya. Faktor ekologi (contohnya musim sejuk), persekitaran, atau demografi (kawasan yang padat penduduk) juga boleh meningkatkan risiko manusia terdedah mikrob baharu atau perumah semula jadi mereka (manusia lain), sekaligus menggalakkan penyebaran jangkitan.”
Adakah terdapat bukti yang COVID-19 merosakkan sistem imun?

“Tidak ada bukti kukuh bahawa COVID-19 menjadikan kita lebih terdedah kepada jangkitan. Hipotesis ‘hutang imuniti’ mencadangkan bahawa sistem imun memerlukan pendedahan berterusan kepada agen jangkitan, seperti bagaimana otot memerlukan senaman berterusan untuk kekal kuat dan berfungsi dengan baik. Walau bagaimanapun, kita tidak memerlukan pendedahan yang berterusan kepada agen jangkitan untuk sistem imun kekal berfungsi. Sistem imun kita adalah sangat kuat dan mampu bertahan tanpa pendedahan berterusan kepada jangkitan.”
Apakah tanda-tanda utama yang menunjukkan seseorang perlu mendapatkan rawatan perubatan segera semasa mengalami selesema?
“Tanda-tanda komplikasi selesema yang memerlukan perhatian perubatan segera termasuk demam dengan suhu tinggi, batuk dengan kahak berwarna kuning, hijau, atau berdarah, pernafasan laju, sesak nafas, degupan jantung pantas, berpeluh atau menggigil, sakit dada (terutamanya semasa batuk atau menarik nafas dalam), hilang selera makan, perubahan warna kulit, bibir, atau kuku menjadi kebiruan, serta kekeliruan atau perubahan keadaan mental.”
Bagaimanakah untuk membezakan antara selesema biasa dan komplikasi serius?

“Kebanyakan individu yang menghidap selesema akan pulih dalam beberapa hari hingga kurang daripada dua minggu. Namun begitu, sesetengah pesakit boleh mengalami komplikasi seperti pneumonia yang boleh mengancam nyawa. Komplikasi lain termasuk jangkitan sinus dan telinga, miokarditis (keradangan otot jantung), ensefalitis (keradangan otak), myositis (keradangan otot), serta kegagalan pelbagai organ.”
Apakah peranan vaksinasi dalam mencegah komplikasi serius akibat selesema?
“Vaksin selesema dapat mengurangkan risiko komplikasi serius seperti pneumonia dan kemasukan ke hospital. Ia berfungsi dengan melatih sistem imun untuk mengenali dan melawan virus selesema yang terdapat dalam vaksin, seterusnya mengurangkan kemungkinan dijangkiti selesema sekitar 50–60%. Setiap tahun, vaksin selesema baharu dihasilkan kerana virus selesema berubah dengan cepat.”
Apakah langkah berjaga-jaga khusus yang perlu diambil oleh rakyat Malaysia apabila melancong ke negara dengan kadar selesema tinggi seperti Jepun?
“Apabila melancong ke negara dengan kadar jangkitan selesema yang tinggi seperti Jepun, rakyat Malaysia perlu mendapatkan vaksin influenza bermusim sebelum perjalanan, mengamalkan kebersihan yang baik seperti kerap mencuci tangan, mengelakkan kontak rapat dengan individu yang sakit, memakai pelitup muka di kawasan sesak, dan memantau kesihatan dengan teliti, terutamanya jika mempunyai masalah kesihatan sedia ada. Mereka juga disarankan berunding dengan doktor jika mengalami gejala selesema ketika berada di luar negara.”
Apakah tabiat harian yang mudah dilakukan untuk melindungi diri daripada selesema?

“Mendapatkan vaksin selesema setiap tahun adalah langkah pencegahan yang penting. Selain itu, amalan seperti kerap mencuci tangan, menutup mulut ketika batuk atau bersin, tinggal di rumah jika tidak sihat, serta membersihkan permukaan yang sering disentuh seperti tombol pintu, pemegang, dan papan kekunci juga membantu mencegah penyebaran selesema. Ianya juga penting untuk mengelakkan tempat yang sesak, mendapatkan rehat yang cukup, kekal aktif secara fizikal, menguruskan tekanan, minum air secukupnya, dan makan makanan berkhasiat untuk menguatkan sistem imun.”
Kesimpulannya, kes Barbie Hsu mengingatkan kita untuk sentiasa berjaga-jaga dan mengambil tahu tentang situasi jangkitan semasa.
Dengan memahami risiko komplikasi serius seperti pneumonia dan sepsis, serta mengambil langkah pencegahan seperti vaksinasi dan menjaga kebersihan diri, kita dapat melindungi diri dan orang tersayang daripada ancaman influenza.
Kesihatan adalah aset yang berharga, dan tindakan pencegahan adalah kunci untuk mengekalkannya. Jangan abaikan tanda-tanda amaran dan dapatkan rawatan perubatan segera jika perlu—kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat.
Ketahui lebih banyak informasi mengenai kesihatan Mama Papa dan anak-anak di SINI.