Pengalaman bersalin sama ada dengan atau tanpa epidural adalah detik-detik mendebarkan yang melibatkan fizikal, emosi, dan mental seorang Mama.
Bila tiba waktu bersalin, bukan sahaja barang bayi yang Mama siapkan, tapi juga kekuatan mental dan sokongan emosi untuk hadapi satu fasa penting dalam hidup.
Epidural, iaitu bius separuh badan yang bantu kurangkan sakit semasa bersalin, sering jadi topik perbualan. Walaupun semakin diterima, masih ada yang anggap ia jalan singkat atau tanda Mama “tak kuat”.
Pandangan seperti ni bukan sahaja tak adil, tapi boleh menambah tekanan kepada Mama yang sedang buat keputusan besar untuk diri dan bayinya.
Sebenarnya, memilih epidural bukan bermaksud Mama lemah tapi Mama berpengetahuan, tahu hak sendiri dan buat keputusan berdasarkan apa yang badan dan minda perlukan.
Ia bukan satu bentuk cheat code, tapi salah satu cara untuk menjadikan pengalaman bersalin lebih tenang, kurang trauma, dan lebih bermakna.
Epidural: Pilihan atau Kewajipan?
Suntikan epidural bukanlah satu kewajipan dalam proses bersalin, dan ia juga bukan satu-satunya cara untuk mengurangkan kesakitan.
Namun begitu, ia adalah salah satu pilihan yang diberikan kepada Mama untuk melahirkan secara normal dan inginkan sedikit kelegaan dari kesakitan contraction yang sangat kuat.
Bagi sesetengah Mama, tahap kesakitan bersalin boleh menjadi sangat luar biasa, sehingga mengganggu keupayaan mereka untuk fokus atau mengikuti arahan pasukan perubatan.

Dalam situasi sebegini, epidural bukan sahaja membantu Mama untuk kekal tenang, malah secara tidak langsung boleh menyumbang kepada proses kelahiran yang lebih selamat dan terkawal.
Tapi, bukan semua Mama sesuai untuk mengambil epidural. Ada juga risiko dan kesan sampingan yang perlu difahami terlebih dahulu, seperti penurunan tekanan darah, sakit belakang sementara, atau masalah dalam proses kelahiran jika ubat tidak berfungsi seperti yang diharapkan.
Kenapa Masih Ada yang Anggap Epidural Sebagai Cheat Code?

“Tak rasa sakit pun, senanglah nak cerita pengalaman bersalin.”
Pandangan macam ni selalunya buat epidural kelihatan seperti cheat code untuk Mama mengelakkan rasa sakit yang sebenar. Bukan sebab ia bahaya, tapi kerana stigma kononnya bersalin kena susah, baru betul-betul feel menjadi Mama.
Tapi bagi Mama Siti sendiri, setiap Mama ada pengalaman yang berbeza melahirkan anak. Tak ada siapa yang berhak tentukan pilihan siapa yang “lebih hebat”.
Hakikatnya, penggunaan epidural langsung tak mengurangkan nilai pengorbanan seorang Mama. Ia cuma satu bentuk bantuan perubatan untuk bantu Mama melalui proses kelahiran dengan lebih tenang, lebih selesa, dan insya-Allah kurang trauma.
“Kesakitan bukan syarat utama untuk buktikan kasih atau kekuatan seorang Mama.”
Stigma terhadap epidural ni mungkin datang daripada cara fikir lama kononnya bersalin itu memang patut sakit dan itu satu bentuk ‘pengorbanan suci’. Dalam sesetengah budaya, Mama yang bersalin tanpa ubat dianggap lebih gagah dan ‘asli’. Tapi pandangan macam ni dah tak relevan.

Lama-lama, wujud macam satu ranking tak rasmi siapa bersalin normal, siapa guna epidural, siapa pula bersalin czer. Persepsi ini bukan je tak adil, tapi boleh beri tekanan yang besar kepada Mama-mama yang tengah bergelut dalam membuat keputusan penting.
Paling sedih, ada Mama yang mula ragu-ragu dengan diri sendiri bila pilihan mereka dipersoalkan. Bila keyakinan mula goyah, pengalaman bersalin pun boleh jadi sesuatu yang menakutkan dan penuh tekanan padahal ia sepatutnya jadi detik yang penuh kasih dan kekuatan.
Mama Siti Menyokong Pilihan Mama-mama

Setiap Mama ada cerita bersalin yang tersendiri. Ada yang memilih untuk bersalin normal tanpa ubat, ada yang gunakan epidural, dan tak kurang juga yang melahirkan melalui pembedahan caesarean.
Apa pun cara yang dilalui, semuanya memerlukan kekuatan yang luar biasa. Yang paling utama? Keselamatan Mama dan bayi terjaga.
Sebagai orang sekeliling, peranan kita bukan untuk menghakimi. Tapi untuk terus memberi semangat, menyokong, dan meraikan setiap Mama tak kira bagaimana cara mereka melahirkan.
Kadang-kadang, satu kata pujian atau pelukan pun cukup buat Mama rasa dihargai ketika melalui detik paling mencabar dalam hidup.
Cukuplah dengan membanding-bandingkan. Bila Mama diberi ruang untuk membuat keputusan sendiri, tanpa tekanan, proses bersalin itu akan jadi lebih tenang, penuh yakin, dan insya-Allah lebih dipermudahkan.

Epidural bukan cheat code atau shortcut, ia adalah salah satu bentuk bantuan perubatan yang sah, selamat, dan terbukti membantu ramai Mama menguruskan kesakitan bersalin dengan lebih selesa.
Daripada sibuk menilai cara bersalin orang lain, lebih baik kita sama-sama angkat dan hargai semua Mama yang dah berjuang melahirkan zuriat dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan.
Tahniah untuk Mama yang telah berjuang! Mama Siti doakan agar Mama di luar sana diberikan pengalaman yang sama penuh dengan kekuatan, ketabahan, dan kebahagiaan sepanjang perjalanan menjadi Mama. Semoga detik-detik bersalin Mama menjadi kenangan indah yang tak terlupakan.
Ketahui info penting yang Mama perlu tahu semasa mengandung. Klik di SINI.