Sama ada objek, makanan atau mainan yang dimasukkan ke dalam mulut, anak-anak kecil boleh tercekik dalam sekelip mata. Dalam situasi cemas seperti ini, setiap saat amat berharga, dan sebarang tindakan memainkan peranan besar dalam usaha menyelamatkan nyawa.
Pakar Perubatan Kecemasan dari Columbia Asia Hospital – Setapak, Dr Suhash Damodaran memberi penerangan tentang punca, risiko dan langkah pencegahan berkaitan topik ini.

Pakar Perubatan Kecemasan
Mengapa kejadian tercekik biasa berlaku di kalangan kanak-kanak kecil?
“Kejadian tercekik biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak berumur satu hingga lima tahun. Salur kerongkong dan pernafasan kanak-kanak lebih kecil and sempit berbanding orang dewasa.
Lidah dan epiglotis mereka juga lebih besar dan tidak stabil. Oleh itu, makanan untuk anak biar dipotong kecil-kecil dan dikunyah dengan betul. Jangan benarkan anak-anak makan sambil bercakap, berlari-lari atau berbaring kerana makanan dalam mulut itu boleh menyebabkan ia tercekik.”
Apakah objek-objek asing yang sering ditelan kanak-kanak menyebabkan mereka tercekik?
“Makanan adalah salah satu punca kejadian tercekik. Makanan yang boleh menjadi risiko ialah anggur, tulang, kekacang, biji durian, bebola ikan, serta gula-gula seperti lolipop, jeli cawan dan gula-gula keras yang sangat besar dan sukar dikunyah.”
“Selain daripada makanan, objek seharian juga boleh menyebabkan kejadian tercekik. Jenis-jenis mainan yang membawa risiko termasuklah mainan blok binaan, guli, plastisin yang menyerupai makanan, dan bahagian kecil mainan yang mudah tercabut seperti tayar kereta mainan. Oleh itu, pastikan mainan anak mengikut usia bersesuaian dan sentiasa periksa mainan tersebut supaya setiap bahagian dalam keadaan yang baik, tidak longgar atau hampir tercabut.”
“Objek-objek lain yang membawa risiko termasuk butang, bateri, tudung botol plastik, manik, duit siling, penutup marker dan ‘earphone’ tanpa wayar. Objek-objek kecil ini berisiko tinggi, dan perlu disembunyikan atau diletakkan di suatu tempat yang tidak boleh dicapai oleh anak kecil.”
Apakah tanda-tanda kanak-kanak yang sedang mengalami kerongkong tercekik?
“Tanda-tanda yang menunjukkan kanak-kanak sedang tercekik ialah dia tidak batuk, atau batuknya lemah, tidak menangis atau menangis dengan lemah, juga wajah, bibir, dan hujung jari bertukar menjadi biru dan mungkin juga tidak sedar atau tidak dapat memberikan sebarang respons.”
Apakah langkah-langkah kecemasan yang harus diambil oleh ibubapa apabila anak tercekik?
“Dalam situasi tercekik, buat panggilan kecemasan di talian 999 dan lakukan bantuan pernafasan kecemasan atau CPR (Cardiopulmonary Resuscitation) secepat mungkin. Semasa melakukan CPR, periksa saluran kerongkong setiap dua minit untuk meninjau jikalau objek yang tersekat itu kelihatan. Sekiranya objek tersebut dapat dilihat, gunakan jari dan keluarkannya dengan cermat dan hati-hati. Jika objek tidak dapat dilihat, sambung CPR sehingga bantuan sampai.”
“Sekiranya kanak-kanak yang tercekik itu berumur setahun ke bawah, dan masih ada nadi, alihkan mukanya ke arah bawah, dan ampu badannya dengan lengan anda. Sokong kepala anak dengan memegang bawah rahangnya. Pastikan kepala anak lebih rendah daripada dada mereka dan tepuk bahagian belakang di antara bilah bahu. Jika anak anda masih tidak dapat bernafas, alihkan mukanya ke atas sambil memegang anak dan pastikan kepala mereka lebih rendah daripada dada. Letakkan dua jari di tengah dada mereka dan berikan lima tolakan. Ulang prosedur pukulan belakang dan tolakan dada sehingga objek kelihatan dan boleh dikeluarkan.”

“Jika anak anda berusia lebih daripada satu tahun, lakukan Heimlich maneuver. Berdiri di belakang anak dengan lengan anda di sekeliling pinggangnya. Anda harus membuat penumbuk dengan satu tangan, dan letakkan sisi ibu jari penumbuk tersebut ke atas perut anak, di bahagian bawah tulang rusuk dan atas pusat. Pegang penumbuk dengan tangan yang lain. Tolak penumbuk dengan cepat ke arah dalam dan atas perut. Lakukan pergerakan ini sebanyak lima kali dan bergantian dengan tamparan belakang sebanyak lima kali untuk cuba mengeluarkan objek tersebut.”
“Untuk kanak-kanak yang lebih tua dan masih responsif, galakkan dia untuk batuk bagi mengeluarkan objek tercekik. Jika tidak berjaya, buat Heimlich maneuver untuk mengeluarkan objek tersebut. Heimlich maneuver adalah satu prosedur yang boleh menyelamatkan nyawa dan sewajarnya dilakukan secepat mungkin. Prosedur ini secara keseluruhannya selamat untuk dilakukan, namun terdapat dua ke tiga peratus kemungkinan untuk mendapat komplikasi. Komplikasi yang boleh berlaku ialah tulang rusuk patah atau usus berlubang. Walau bagaimana pun, risiko komplikasi seperti patah tulang belakang atau tulang belikat adalah terlalu rendah. Dalam situasi kecemasan, melakukan Heimlich maneuver adalah lebih penting untuk menyelamatkan nyawa berbanding komplikasi yang mungkin boleh berlaku.”
PERHATIAN:
“Semasa kanak-kanak tercekik, jangan berikan mereka air untuk diminum, jangan suapkan sebarang makanan seperti nasi yang dikepal, dan jangan jolok jari atau objek lain seperti straw ke dalam kerongkong untuk memancing keluar punca sekatan saluran pernafasan.”
Apakah langkah-langkah kecemasan sebaik pesakit tiba di hospital dalam keadaan tercekik?
“Sekiranya pesakit masih sedar dan tidak tercekik dengan serius, bantuan pernafasan akan diberikan dalam bentuk oksigen. Pakar kecemasan akan memeriksa salur pernafasan untuk memastikan lokasi objek yang tersekat di kerongkong. Jika objek tersebut dapat dilihat, pakar akan mengeluarkannya dengan peralatan yang sesuai. Jika objek tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar, pemeriksaan menggunakan fleksiskop (tiub dengan kamera digunakan untuk mengenalpasti lokasi benda asing dan mengeluarkannya) akan dilakukan untuk mengenal pasti kedudukan objek asing dan ia akan dikeluarkan dengan bantuan skop tersebut.”
“Sekiranya kanak-kanak yang dibawa ke zon kecemasan berada dalam keadaan tidak sedar atau responsif, CPR akan dilakukan dengan segera. Tiub pernafasan akan dimasukkan ke dalam kerongkong dan akan disambung ke mesin pernafasan untuk memastikan oksigen dapat diberikan kepada kanak-kanak secara berterusan. Jika CPR berjaya dan pesakit tersebut mempunyai nadi yang stabil, pesakit akan diperiksa secara menyeluruh, dan distabilkan sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi. Seterusnya, pesakit akan dirujuk kepada pakar kanak-kanak dan pakar respiratori untuk rawatan lanjut.”
Apakah rawatan selanjutnya untuk kes kanak-kanak tercekik?

“Faktor utama yang menentukan jenis rawatan yang diperlukan ialah tahap keseriusan insiden tercekik tersebut. Jika keadaan tercekik tidak serius dan salur pernafasan tidak tertutup penuh, pesakit akan diberikan bantuan pernafasan dan prosedur untuk mengeluarkan objek asing melalui fleksiskop.”
“Kanak-kanak yang tercekik memerlukan bantuan pernafasan. Mereka perlu menjalani prosedur skop ke dalam salur pernafasan untuk mengeluarkan objek asing tersebut. Jika ini tidak berjaya, pesakit perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan objek tersebut. Mereka perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi dan memerlukan rawatan daripada pakar bidang rawatan rapi, pakar otorhinolaryngology (ENT), pakar paru-paru dan pakar kanak -kanak.”
“Jika keadaan tercekik serius dan salur pernafasan tertutup penuh atau kanak-kanak tidak responsif, rawatan CPR perlu dilakukan dengan segera. Mereka juga memerlukan bantuan pernafasan mekanikal, rawatan rapi dan prosedur bronkoskop untuk mengeluarkan objek asing atau pembedahan. Aliran oksigen terjejas lebih dari beberapa minit boleh menyebabkan kecederaan otak yang serius.”
Mama Papa dapatkan lebih banyak ilmu keibubapaan di SINI.