Benarkah sentuhan sangat penting bagi kanak-kanak? Pernahkah kita dengar hadis yang sangat popular mengenai anak yatim iaitu, “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap.” (Hadis riwayat Ahmad)
Bila kali terakhir Mama, Papa peluk cium anak?
Menurut Felo Senior di Akademi Trauma Kanak-Kanak di Houston, Dr Bruce Perry yang menjalankan kajian mengenai kepentingan sentuhan terhadap kanak-kanak mendapati apabila sentuhan dan hubungan mata tidak wujud, korteks pada bahagian hadapan otak tidak membesar.
Sentuhan dan pelukan adalah keperluan biologi dalam kehidupan manusia. Ia sama seperti udara yang diperlukan untuk bernafas serta salah satu keperluan yang memberikan kebaikan kepada bayi. Namun tak semua ibu bapa tahu mengenai kebaikan sentuhan, pelukan dan terlalu mengambil mudah mengenai perkara ini.
Sebab tu tak hairan apabila kita sering melihat anak daripada keluarga ibu bapa biasa-biasa tetapi memiliki peribadi yang baik, ceria dan penuh kasih sayang. Walaupun mereka kelihatan biasa, tapi mungkin cara komunikasi mereka penuh dengan keceriaan, pelukan, dan kasih sayang. Berbeza bagi ibu bapa yang sibuk biasanya anak mereka hidup tertekan dan terbabit dengan masalah sosial disebabkan kurang sentuhan yang diterjemahkan sebagai tanda kasih sayang.
- Satu kajian dijalankan untuk melihat implikasi urutan kepada bayi yang berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (ICU) dengan bayi yang mempunyai pelbagai kecacatan tumbesaran, ketidakupayaan atau tidak cukup bulan. Selepas beberapa bulan pakar kesihatan mendapati sentuhan dapat meningkatkan imunisasi bayi dan membentuk emosi bayi menjadi lebih tenang.
- Satu lagi kajian bagi membuktikan perkara ini ialah pada 1248, Maharaja Frederick II, Jerman, berminat untuk mengkaji mengenai kesan kanak-kanak yang dibesarkan tanpa sentuhan sejak bayi. Malangnya dia tidak dapat melihat apa-apa keputusan eksperimen kerana semua kanak-kanak itu meninggal sebelum mereka boleh bercakap. Dia tidak sedar kanak-kanak yang meninggal dunia tanpa sentuhan adalah sebagai hasil eksperimennya itu.
- Satu lagi contoh yang berlaku di rumah anak yatim Romania pada 1995 apabila kanak-kanak ini mempunyai pelbagai masalah kesihatan, kecacatan tumbesaran sehingga menyebabkan kematian. Ia menjadi perbualan hangat dan dihebahkan di televisyen sehingga siasatan dibuat. Siasatan mendapati kanak-kanak yang mempunyai masalah ini, katil atau buaian terletak di bahagian belakang hujung rumah anak yatim. Mereka juga mendapati kanak-kanak di bahagian berdekatan dengan pintu tidak mempunyai masalah sama seperti itu. Mereka membesar dengan sihat dan mempunyai peluang lebih cerah untuk berjaya.
Secara logiknya, kanak-kanak berdekatan pintu masuk tentu yang pertama berjumpa orang luar atau orang yang melawatnya. Mereka dapat bercakap dan menyentuhnya. Ini berbeza dengan kanak-kanak berada di bahagian hujung. Oleh itu, bagi sesiapa yang ingin melawat ke rumah anak-anak yatim, cubalah memberi usapan kepada yang paling hujung dulu kerana mereka selalunya tidak mendapat perhatian berbanding dengan yang berada di depan.
MANFAAT SENTUHAN
- Berbanding orang dewasa, bayi mempunyai deria sentuhan yang kuat kerana kulitnya lima kali lebih sensitif berbanding kulit dewasa. Urutan bayi yang betul dapat mengeluarkan hormon positif dan mengurangkan hormon negatif. Ia menyembuhkan tubuh bayi. Secara tidak langsung ia memudahkan bayi untuk tidur sekali gus memberi peluang si ibu tidur dengan aman.
- Sentuhan mempunyai kuasa yang sangat magis. Tidak kira anak autisme, cerebrum palsi, ADHD, hiperaktif, Sindrom Down atau spina bifida semuanya mempunyai kaedah mengurut yang sesuai demi merangsang penyembuhan mereka. Apa lagi bagi kanak-kanak normal yang sihat dan cergas.
- Sentuhan adalah naluri pertama yang muncul di alam rahim dan pusat untuk semua deria rasa. Bayi mempunyai lebih banyak kelenjar deria sentuhan di bawah kulit sehingga mereka berumur tiga tahun. Kemudian kelenjar ini mula berkurangan seperti kulit dewasa. Sebab itu tahap sensitiviti sentuhan bayi adalah lebih tinggi dan kuat berbanding dewasa.
- Apabila mengusap bayi corak sentuhan, kelembutan sentuhan menghasilkan corak pergerakan dan usapan tersendiri. Ritma usapan itu dapat dikenal pasti oleh bayi. Ini membezakan kita dengan individu lain. Bayi kita menyedari perbezaan ini. Apa lagi jika usapan itu diikuti dengan suara berirama dari si ibu yang sangat positif dalam doanya.
Pentingnya urutan, sentuhan & pelukan dalam keluarga:
- Apa yang Mama buat apabila si kecil mengadu sakit perut atau kembung? Sebagai seorang Mama, sepatutnya anda mempunyai kemahiran mengurut, walaupun kemahiran itu hanya sedikit. Ada pelbagai sebab mengapa kanak-kanak sakit perut. Jika anak anda memang tidak mempunyai masalah pada bahagian perut yang dimaklumkan doktor sebelum itu, kemungkinan besar anak anda mempunyai masalah sembelit atau angin. Urutan boleh membantu mengatasi masalah ini.
- Dari segi fisiologi, apabila seseorang mengurut perut bayi, sebenarnya dia mengurut perut mereka sendiri. Sebenarnya urutan pada bahagian badan dapat mengatasi keadaan usus. Usus besar ini bertanggungjawab menggerakkan sisa kumuhan keluar dari badan. Perjalanan keluarnya mengikut arah jam. Oleh itu jangan tersalah urut kerana ia akan menyebabkan segalanya balik ke tempat asal dan memburukkan keadaan atau kesakitan yang mereka alami. Urutan arah jam yang bermula dari kanan akan membantu melancarkan saluran tersumbat.
- Beberapa pengamal perubatan Cina menyatakan perut adalah ruang emosi yang kuat. Buktinya kita tidak boleh berpura-pura gembira ketika sakit perut. Oleh itu jika anak diurut ketika mereka tidak sakit perut ia akan menenangkan mereka.
Sumber: Pengasas Islamic Parenting Network Mazlina Karim