Sedap juga kan menu berbuka hari ini dengan ikan cencaru sumbat? Aroma sambal yang pedas dan sedikit manis, meresap ke dalam isi ikan, memang membuka selera!
Tapi, macam mana sebenarnya nak buat resipi ikan cencaru sumbat? Mesti Mama ingat susah nak masak, tapi rupanya senang je dan tak memerlukan banyak bahan.
Sesuai sangat untuk dijadikan juadah berbuka puasa kerana ia ringkas, tetapi penuh rasa. Ditambah pula dengan nasi panas, ulam-ulaman, dan sambal kicap, memang lengkap hidangan berbuka!
Kalau Mama belum pernah cuba buat sendiri, ini lah masa yang sesuai untuk mencuba. Jom kita tengok resipinya!
Resipi Cencaru Sumbat

Bahan-bahan
- 4 ekor ikan cencaru
- Sedikit garam
- Sedikit serbuk kunyit
- Minyak untuk mengoreng
Bahan untuk sambal
- *10-15 tangkai cili kering – buang biji dan rebus sebentar
- *4 ulas bawang putih
- *2 biji bawang merah besar
- *1 inci belacan bakar
- *1 inci halia
- *1 batang serai
- Sedikit minyak untuk menumis
- Gula secukup rasa
- Garam secukup rasa
- Sedikit air asam jawa
Cara-cara penyediaan:
- Mama siangkan ikan cencaru dengan membelah bahagian belakangnya di antara kedua-dua belah tulang.
- Kemudian, gaulkan ikan dengan garam dan kunyit. (Lebih sedap jika menggunakan kunyit hidup yang ditumbuk untuk perapan).
- Sementara itu, Mama kisar atau tumbuk semua bahan yang bertanda (*).
- Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar hingga harum dan garing.
- Mama perasakan dengan garam dan gula. Masak hingga sambal menjadi pekat dan kering.
- Setelah sambal sejuk, Mama sumbatkan sambal ke dalam belahan belakang ikan di kedua-dua bahagian.
- Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan goreng ikan sehingga masak. Gunakan minyak sedikit saja supaya sambal Mama tak terkeluar semasa menggoreng.
- Balikkan ikan supaya masak sekata di kedua-dua belah bahagian.
- Siap untuk dihidangkan sebagai menu berbuka puasa Mama.
Nota:
- Tumis sambal hingga garing dan pekat supaya tidak berair dan melekat elok pada ikan.
- Gunakan kunyit hidup untuk warna lebih cantik dan aroma yang lebih wangi.
Resipi: Buat Orang Lapo
Terpulang kepada Mama sama ada mahu menggoreng atau membakar ikan, ikut citarasa masing-masing. Kalau Mama Siti, memang lebih suka dibakar kerana rasanya lebih sedap dan beraroma. Tapi kalau nak cepat, goreng pun tetap menyelerakan!
Semoga menu ini menambah selera berbuka puasa seisi keluarga. Selamat mencuba!
Jom cuba resipi mee udang untuk menu moreh malam ni. Klik di SINI.