Kesihatan sistem penghadaman sering diabaikan sehingga ketidakselesaan timbul, namun kanser perut dan kanser esofagus mengingatkan kita tentang kepentingan penjagaan proaktif dalam menguruskan kesihatan sistem penghadaman kita.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kanser berada di tempat ketiga sebagai penyebab utama kematian di Malaysia pada tahun 2022, meningkat daripada tempat keempat pada 20211.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal
Walaupun bukan di antara kanser yang selalu didengar dan dihidapi, kanser perut dan kanser esofagus masih memberikan risiko kesihatan yang ketara, dengan kanser perut menyumbang 3 dalam 1002 dan kanser esofagus 1 dalam 1003 daripada semua kes kanser baharu pada tahun 2020.
Pakar Perunding Onkologi Klinikal daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Hafizah Zaharah Ahmad berkongsi, “Pengesanan awal adalah amat penting, tetapi kerana kanser perut dan kanser esofagus sering menunjukkan simptom tidak spesifik yang sering diabaikan, ia kerap didiagnosis pada tahap lanjut.”
Ini menekankan keperluan untuk pengecaman simptom awal, kerana peratusa diagnosis kanser pada tahap lanjut telah meningkat daripada 63.7% kepada 65.1%, menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-20214.
Memahami Kanser Perut dan Esofagus
Kanser perut dan esofagus terjadi apabila sel-sel abnormal tumbuh secara tidak terkawal dalam saluran penghadaman. Kanser perut menjejaskan badan utama perut, manakala kanser esofagus bermula daripada lapisan esofagus dan sering dikaitkan dengan refluks asid kronik dan esofagus Barrett — keadaan di mana lapisan paip makanan berubah akibat refluks asid yang berpanjangan.
Dr Hafizah berkongsi, “Simptom kedua-dua kanser ini mungkin kelihatan sama, terutamanya apabila tumor berkembang di persimpangan gastroesofagus.” Ini mungkin termasuk simptom seperti kesukaran menelan (disfagia), penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan, hilang selera makan, pedih ulu hati dan rasa senak yang berterusan, loya atau muntah, serta sakit dada atau sakit bahagian atas perut, jelas beliau.
Dr Hafizah juga menekankan bahawa peratus kelangsungan hidup lima tahun untuk kanser perut peringkat awal ialah 65%-75% namun boleh menurun kepada 5-7% pada Peringkat 4. Kanser esofagus setempat pula mempunyai peratusan kadar kelangsungan hidup lima tahun sebanyak 47-55% untuk diagnosis peringkat awal tetapi jatuh kepada 5-6% pada peringkat lanjut.
Faktor Risiko Utama Kanser Perut dan Kanser Esofagus

Pakar Perunding Gastroenterologi
dan Hepatologi
Kanser perut dan esofagus lebih banyak berlaku pada golongan berusia, dengan 6 dalam 10 kes kanser perut baharu didiagnos pada individu berumur 65 tahun ke atas2.
Walau bagaimanapun, umur bukanlah satu-satunya faktor yang boleh menyebabkan kanser kerana pilihan gaya hidup dan penyakit lain juga boleh menyumbang kepada peningkatan risiko.
Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Tan Yu Peng, menjelaskan bahawa individu yang mempunyai gaya hidup berisiko tinggi harus bersikap proaktif untuk menjalani saringan kesihatan kerana mereka berisiko lebih tinggi untuk menghidap kanser esofagus dan perut.
“Perokok tegar, mereka yang suka mengunyah buah pinang (tabiat yang dikaitkan sebagai penyebab kanser kerana buah pinang mengandungi bahan kimia berbahaya), kerap mengambil minuman yang terlampau panas, minum alkohol secara berlebihan, atau kerap makan makanan yang diawet lebih terdedah kepada kanser esofagus skuamosa yang bermula pada lapisan nipis dan sel-sel rata di dalam esofagus,” kata Dr Tan.
Manakala, mereka yang obes, merokok, menghidap penyakit refluks gastroesofagus (GERD) jangka panjang, atau menghidap esofagus Barrett lebih berkemungkinan mendapat adenokarsinoma esofagus yang bermula pada sel kelenjar yang melapisi bahagian bawah esofagus berhampiran perut.
Bagi kanser perut, faktor risiko termasuk GERD, mereka yang mengamalkan diet tinggi lemak dan rendah serat, kerap mengambil makanan bersalai, dan jangkitan Helicobacter pylori disebabkan oleh bakteria dalam lapisan perut yang menyebabkan gastritis dan meningkatkan risiko mendapat ulser peptik dan kanser perut.
Individu yang mempunyai sejarah keluarga kanser perut juga harus berhati-hati dan perlu melakukan pemeriksaan awal untuk menguruskan risiko mereka.
GERD dan Kanser Esofagus
GERD ialah sejenis penyakit di mana asid perut kerap mengalir kembali ke esofagus, menyebabkan kerengsaan dan dari masa ke masa, meningkatkan risiko kanser esofagus. Pendedahan asid yang berterusan boleh menyebabkan esofagus Barrett, keadaan pra-kanser di mana esofagus mengalami perubahan yang tidak normal5.
Merokok, makan berlebihan, pengambilan alkohol dan kopi secara berlebihan juga boleh menyebabkan GERD bertambah teruk. Pengurusan yang berkesan untuk penyakit ini amat penting, kata Dr Tan.
Walaupun pengubahsuaian gaya hidup dan pengambilan ubat dapat memberikan kelegaan, Dr Tan menekankan bahawa simptom yang berterusan atau semakin teruk mungkin memerlukan campur tangan endoskopik atau pembedahan seperti fundoplikasi yang melibatkan pembalutan bahagian atas perut di sekitar esofagus bawah untuk menguatkan sfinkter esofagus bawah dan mencegah refluks asid untuk mengurangkan komplikasi dan meningkatkan hasil rawatan pesakit.
Peranan Endoskopi dalam Pengesanan Awal
Prosedur endoskopik seperti gastroskopi dan kolonoskopi telah meningkatkan keupayaan untuk mendiagnosis dan merawat penyakit gastrousus dengan ketara.
Menurut Dr Tan, prosedur ini membolehkan doktor mengesan sebarang kelainan pada peringkat awal dan memudahkan sebarang intervensi perubatan dilakukan tepat pada masanya.

Gastroskopi membolehkan doktor melakukan pemeriksaan terperinci pada lapisan perut, manakala kolonoskopi memberikan maklumat mengenai tahap kesihatan kolon dan membantu doktor untuk mengenal pasti sebarang ketumbuhan atau keradangan kanser.
Pemeriksaan yang berkala disyorkan untuk individu yang berumur lebih 50 tahun atau mereka yang berumur lebih dari 40 tahun dan mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser perut atau kolorektal, kongsi Dr Tan.
Di negara yang mempunyai prevalens tinggi kanser ini seperti Jepun dan Korea Selatan, endoskopi atas disyorkan untuk dilakukan dari umur 40 tahun dan diulang setiap tiga tahun.
Manakala di Malaysia, saringan masih tertumpu terutamanya kepada individu yang mempunyai masalah gastrik, sejarah keluarga yang ramai menghidap kanser, atau mereka yang menunjukkan gejala amaran kanser seperti seperti kesukaran menelan, pendarahan, penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan atau sakit perut.
Pilihan Rawatan
“Rawatan untuk kanser perut dan esofagus sering bertindih, terutamanya untuk tumor di persimpangan gastroesofagus, dengan pembedahan, kemoterapi, dan terapi radiasi menjadi pilihan rawatan yang bergantung pada peringkat dan lokasi kanser tersebut,” jelas Dr Tan.
Imunoterapi telah menunjukkan kesan rawatan yang baik untuk kanser esofagus tahap lanjut, terutamanya dalam tumor jenis PD-L1-positif, dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup apabila kemoterapi tidak berkesan.
Untuk kanser perut, terapi sasaran semakin digunakan untuk merawat pesakit dengan mutasi genetik tertentu, seperti kes positif HER2, yang menyumbang 10-20% daripada kanser perut.
Dalam kes ini, terapi anti-HER2 telah terbukti berkesan dalam memperlahankan pertumbuhan tumor dan meningkatkan hasil rawatan pesakit.
Perkongsian Daripada Penjaga Pesakit Kanser Perut
Penting untuk umum mengetahui bahawa diagnosis kanser bukan sahaja memberi kesan kepada pesakit tetapi juga orang yang mereka sayangi.
Seorang penjaga pesakit kanser perut di SMCV berkongsi bagaimana diagnosis keluarganya mengubah hidup mereka secara drastik, tetapi dengan penyesuaian dan sokongan, mereka menemui cara untuk mengatasinya.
Beliau menekankan pentingnya mengingati bahawa kehidupan tidak berakhir dengan kanser, dan pesakit masih boleh mencari kegembiraan dan kepuasan semasa dan selepas rawatan.
Beliau juga menekankan bagaimana perubahan mudah seperti diet berasaskan cecair dan bubur, boleh membantu pesakit kanser perut dan esofagus mengekalkan nutrient mereka sambil memastikan proses makan kekal menyeronokkan walaupun mempunyai kesukaran untuk menelan.
Di luar kesihatan fizikal, beliau menekankan bahawa kesejahteraan mental dan emosi memainkan peranan penting dalam mengemudi proses rawatan, menjadikan sokongan dan galakan daripada orang tersayang tidak ternilai.

Pengesanan awal, pengubahsuaian gaya hidup dan pemeriksaan rutin adalah kunci dalam memerangi peningkatan kanser perut dan esofagus.
Walaupun kanser ini bukanlah yang paling biasa di Malaysia, kadar diagnosis peringkat akhir yang tinggi menekankan keperluan untuk mempunyai kesedaran yang lebih tinggi, mengenali simptom awal, dan mengutamakan pemeriksaan berkala.
Pengesanan awal, pengubahsuaian gaya hidup dan pemeriksaan rutin adalah kunci dalam memerangi peningkatan kanser perut dan esofagus.
Walaupun kanser ini bukanlah yang paling biasa di Malaysia, kadar diagnosis peringkat akhir yang tinggi menekankan keperluan untuk mempunyai kesedaran yang lebih tinggi., mengenali simptom awal, dan mengutamakan pemeriksaan berkala.
Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my/ (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).
Rujukan
- http://mrem.bernama.com/viewsm.php?idm=49020
- https://gleneagles.com.my/medical-specialties/oncology/stomach-cancer
- https://gleneagles.com.my/medical-specialties/oncology/esophageal-cancer
- https://codeblue.galencentre.org/2024/07/late-stage-cancer-detection-rises-to-65-malaysias-new-cancer-registry/
- https://emedicine.medscape.com/article/171002-overview?form=fpf
Mama Papa dapatkan berita dan acara yang trending sekarang di SINI.