Takziah Mama Siti dan team KelabMama ucapkan kepada kedua-dua pasangan dan ahli keluarga.
Khabar duka menyelubungi keluarga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha, dan pelakon Ayu Raudhah apabila anak bongsu mereka, Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha, telah kembali ke rahmatullah petang semalam.
Berita sedih ini dikongsikan sendiri oleh Zaquan menerusi Instagram Story miliknya.

“Salam semua, anak bongsu kami, Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha, telah kembali kepada penciptanya sebentar tadi.”
Sementara itu, kakak kepada Ayu Raudhah, Rozita Che Wan, juga meminta pihak media untuk memberi ruang kepada Zaquan dan Ayu dalam menghadapi detik sukar ini.
“Tolong fahami situasi yang sangat sedih ini,” katanya menerusi Instagram Story.
Muhammad Aisy Al Rees dilahirkan pada 2 Ogos 2024 dan menjadi permata hati ketujuh dalam keluarga Zaquan dan Ayu. Sejak berkahwin pada 21 Januari 2011, pasangan ini telah dikurniakan enam lagi cahaya mata iaitu Muhammad Aisy Qaiser (12), Muhammad Aisy Aryann (11), Laura Zuleykha (8), Muhammad Aisy Khaliq (6), Muhammad Aisy Al Jibreel (3), dan anak keenam mereka yang kini berusia dua tahun.
Terdahulu, keluarga ini pernah mencuri perhatian semua termasuk Mama Siti juga selepas memuat naik video ‘mesyuarat keluarga’ bagi merancang percutian mereka ke Legoland. Gelagat anak-anak yang tekun berbincang dengan pelbagai idea mencuit hati ramai.
Bagaimanapun, Zaquan tidak berkongsi maklumat lanjut mengenai pemergian anaknya itu. Dan keputusan proses bedah siasat masih belum dikongsikan bersama orang ramai.
Pemergian ini pastinya meninggalkan kesedihan yang mendalam buat pasangan ini, lebih-lebih lagi apabila si kecil pergi dalam lena tanpa sebarang tanda.
Takziah buat Zaquan, Ayu, dan seisi keluarga. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Al-Fatihah.
Untuk mengetahui acara dan berita yang sedang trending sekarang, klik di SINI.