Meh sini ibu pakai benang hitam ni dekat anak kamu. Boleh elak cacing kalau pakai!
Hah?! Sejak bila pula pakai benang hitam ni dapat elakkan bayi kena cacing? Kalau ada sebarang penyakit kan seeloknya kita pergi hospital, ambil nasihat yang lebih arif. Mama Siti pun hairan dengan kepercayaan pakai benang hitam pada bayi ni.
Di Malaysia, masih ada lagi segelintir ibubapa yang amalkan adat kepercayaan benang hitam pada bayi. Katanya dapat ‘lindungi’ dan elakkan bayi daripada kerap menangis selain daripada elakkan mereka daripada terkena penyakit cacing.
Kita sebagai umat Islam tak boleh pandang ringan hal ni memandangkan ia melibatkan akidah kita. Seorang doktor yang bekerja di Hospital Kedah, Dr Farah Wahida Mohamad turut berkongsi hal ni melalui salah satu posting beliau di Facebook.
Jom baca perkongsian beliau selengkapnya di bawah ni.
Bayi muslim dipakai benang hitam/tali hitam oleh orang-orang tua
Menurutnya, beliau seringkali terjumpa bayi Muslim yang diikat dengan tali hitam pada tangan atau perut. Bila ditanya, jawapan “orang tua-tua yang ikatkan” diberi.
Ada yang tak tahu, ada juga yang pakaikan sebab anak kerap menangis. Dan yang paling pelik, katanya pakai benang hitam ni dapat rawat cacing.
HARAM pakai benang hitam pada bayi
Kalau ada parents yang pakaikan tali hitam tersebut pada baby, hukumnya adalah haram. Mohon tanggalkan segera.
Dr. Farah Wahida turut menegaskan bahawa jika bayi kerap menangis, ibu bapa sepatutnya bawa si manja ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Kemungkinan bayi itu mengalami kembung perut atau colic.
Beliau menambah bahawa pernah terjadi si kecil menangis kerana ada serangga kecil dalam telinga bayi yang menyebabkan si manja sering menangis.
Jelasnya, mustahil untuk seorang bayi yang usianya kurang dari enam bulan dijangkiti cacing jika bayi itu belum mengambil solid food melainkan rumah tu sangat kotor.
Kalau bayi yang dah start weaning, risiko untuk dijangkiti cacing hanya jika termakan makanan yang tak dimasak dengan sempurna, atau bayi yang mula berjalan dan dibiarkan berjalan atas tanah atau permukaan kotor.
Sedih sebab seminggu sekali pasti terjumpa bayi yang dipakai dengan benang hitam
Dr. Farah Wahida turut melafazkan rasa sedih terhadap segelintir ibubapa yang pakaikan benang hitam pada anak-anak mereka. Katanya, paling kurang seminggu sekali beliau akan terjumpa baby muslim dengan tali hitam ni.
Kalau mama still ragu-ragu dengan info ni, Mama Siti kongsikan penerangan dari Mufti Wilayah berkenaan hukum pemakaian benang hitam ni.
Hukum pakai benang hitam kepada bayi yang sering menangis
Soalan:
Apakah hukum penggunaan benang hitam yang dipakaikan kepada bayi yang sering menangis ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan sahabat baginda, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Menjadi suatu kebiasaan di negara kita, sejak puluhan tahun dahulu sehinggalah pada hari ini, terdapat segelintir ibubapa yang memakaikan benang hitam sama ada di kaki atau di pergelangan tangan bayi mereka yang masih kecil dengan tujuan untuk menjaga bayi dari terkena penyakit ‘ain, gangguan makhluk halus, dan seumpamanya.
Sebelum kami mengulas berkenaan hukum isu ini, suka untuk kami memberikan gambaran asas berkenaan dengan tamimah terlebih dahulu. Ini kerana, menurut pengamatan kami perbuatan tersebut sedikit sebanyak ada hubungkait dengan tamimah.
Di dalam Mukhtar Al-Sihah penulisnya mendefinisikan tamimah sebagai: Pelindung yang digantungkan kepada seorang manusia. Lihat Mukhtar Al-Sihah, Al-Razi (Hlm. 33).
Manakala al-Imam al-Khattabi pula mentakrifkan tamimah dengan katanya: Benang-benang yang golongan Arab terdahulu menggantungkannya kepada anak-anak mereka dengan tujuan untuk mengelakkan penyakit ‘ain menurut sangkaan mereka. Lihat Ma’alim Al-Sunan, Al-Khattabi (4/204).
Imam Ibn Abd Al-Barr Rahimahullah pula mendefinisikan tamimah sebagai: Setiap benda yang digantung di bahagian leher daripada rantai kerana takutkan penyakit ‘ain atau bala-bala selainnya. Rujuk Al-Tamhid, Ibn Abd Al-Barr (17/162).
Berdasarkan beberapa takrifan berkenaan tamimah yang kami kongsikan di atas, maka dapat dilihat hubungkait di antara tamimah dengan benang yang diletakkan di bahagian kaki anak-anak kecil atau di pergelangan tangan mereka. Perkara yang perlu kita perhatikan adalah, apakah hukum syarak berkenaan perbuatan ini?
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Isa bin Abd al-Rahman bin Abi Laila beliau berkata: Aku pergi menziarahi Abu Ma’bad Al-Juhani dan aku mendapati badannya kemerah-merahan. Lalu aku berkata kepadanya: Tidakkah kamu menggantungkan sesuatu ? Maka beliau menjawab:
الْمَوْتُ أَقْرَبُ مِنْ ذَلِكَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ
Maksudnya: Mati itu jauh lebih baik dari perbuatan tersebut. Nabi S.A.W bersabda: Sesiapa yang menggantung sesuatu nescaya dia akan diserahkan kepadanya (benda yang digantung).
Riwayat Al-Tirmizi (2072)
Syeikh Mulla Ali Al-Qari ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menukilkan kata-kata Ibn Al-Athir dalam kitabnya: Sesiapa yang menggantungkan sesuatu ke atas dirinya daripada pelindung-pelindung, tamimah, dan yang seumpama dengan keduanya dengan beriktikad bahawa kesemua itu mendatangkan manfaat atau menghalang kemudaratan nescaya dia akan diserahkan kepadanya. Iaitu dia akan dibiarkan bersama benda yang dijadikan pelindung itu dan akan ditinggalkan bersamanya. Lihat Mirqaat Al-Mafatiih, Mulla Ali Al-Qari (7/2882).
Imam Ahmad bin Hanbal juga ada meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً فَلَا أَتَمَّ اللهُ لَهُ
Maksudnya: Sesiapa yang menggantungkan tamimah maka Allah tidak akan menyempurnakan buatnya.
Riwayat Ahmad (4/154)
Imam Ibn Abd Al-Barr Al-Maliki apabila mengulas berkenaan isu ini berkata: Apabila seseorang itu beri’tikad bahawa benda yang dia gantung itu dapat menolak penyakit ‘ain maka sesungguhnya dia telah menyangka yang ia dapat menolak takdir (ketentuan).
Demikian juga terdapat sebuah riwayat daripada ‘Imran Bin Husain R.anh bahawa Nabi S.A.W pada suatu hari melihat seorang lelaki yang memakai gelang di tangannya. Lalu Nabi S.A.W bersabda:
مَا هَذِهِ الْحَلْقَةُ ” . قَالَ هَذِهِ مِنَ الْوَاهِنَةِ . قَالَ ” انْزِعْهَا فَإِنَّهَا لاَ تَزِيدُكَ إِلاَّ وَهْنًا
Maksudnya: Gelang apakah ini ? Maka lelaki itu pun menjawab: Ini disebabkan penyakit. Lalu baginda bersabda: Tanggalkanlah ia kerana sesungguhnya ia tidak menambahkan kepadamu melainkan kelemahan.
Riwayat Ibn Majah (3531)
Maka jelas daripada hadis di atas bahawa Nabi S.A.W memerintahkan supaya pemakaian gelang dengan tujuan dan keyakinan bahawa ia dapat menyembuhkan ditanggal dan dijauhkan kerana ia sama sekali tidak dapat memberi manfaat mahupun mengelakkan kemudaratan.
Kesimpulan
Setelah kami menekuni dalil-dalil dan hujah berkenaan isu ini dengan sebaiknya, maka kami berpandangan bahawa hukum pemakaian benang atau tali di tangan atau kaki bayi dengan keyakinan bahawa ia dapat mendatangkan manfaat atau mengelakkan kemudaratan adalah haram.
Ini kerana, perbuatan ini bercanggahan dengan akidah yang sejahtera sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Alhamdulillah, semoga perkongsian ni dapat beri pencerahan kepada mama serta keluarga tentang pemakaian benang hitam ni.
Jadi kalau orang tua-tua suruh mama pakaikan pada anak mama, at least mama dah boleh terangkan soal hukum pada mereka. Jangan pula terus tolak, ada yang bergaduh pula nanti!
Sumber: Dr Farah Wahida Mohamad , Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
BACA JUGA MAMA! SARUNG TANGAN BAYI JANGAN PAKAIKAN TERLALU LAMA.
Pesan Mama Siti:
Tak pernah lagi terjumpa dengan mana-mana family yang pakaikan benang hitam pada si manja mereka. Tapi jangan diikutkan sangat dengan kepercayaan macam ni. Kalau anak mama sakit, JUMPA DOKTOR. Jangan terlalu bergantung dengan tradisi pelik macam ni. Semoga kita sama-sama dilindungi Allah daripada perbuatan yang memesongkan akidah inshaAllah.