Kebanyakkan ibu bapa apabila ditanyakan tentang apa yang mereka mahu pada anak-anak mereka pasti memberikan jawapan ini – berjaya dalam pelajaran! Dalam dunia yang penuh saingan ini ibu bapa sanggup berusaha bagi memastikan anak mereka mendapat pendidikan terbaik. Namun ramai ibu bapa yang terlepas pandang satu cara yang mudah dan berkesan untuk merangsang pencapaian anak-anak mereka iaitu sarapan pagi yang berkhasiat.
Gaya hidup yang semakin sibuk, ramai ibu yang agak sukar menyediakan sarapan pagi yang berkhasiat untuk mereka. Akibatnya ramai kanak-kanak yang tidak mendapat keperluan zat harian mereka untuk membesar dengan sempurna. Kesuntukan masa ibu bapa di sebelah pagi sering dijadikan alasan tidak sempat bersarapan. Untuk sarapan ibu bapa tidak perlu menyediakan hidangan yang berat atau rumit. Sebaliknya, anak-anak boleh memulakan kegiatan harian mereka dengan sarapan pagi yang ringkas dan berkhasiat.
- Sarapan memberikan kesan yang dramatik terhadap kemampuan belajar anak-anak. Sarapan menguatkan daya tumpuan, masa tindak balas, kebolehan belajar, perasaan dan ingatan. Manakala kanak-kanak yang tidak bersarapan akan mengakibatkan turunnya prestasi pelajaran mereka di sekolah.
- Satu kajian yang dijalankan di Universiti Cardiff, Wales menunjukkan mereka yang makan sarapan berserat tinggi kurang mengalami keletihan sebanyak 10 peratus. Golongan ini juga berkebarangkalian mendapat kemurungan yang paling rendah dan menunjukkan kemahiran kognitif yang lebih baik.
SEDIA SARAPAN SIHAT & BERKHASIAT
Sebagai ibu bapa kita perlu menanamkan tabiat pemakanan sihat untuk anak dan amalan itu perlu digalakkan sejak mereka masih kecil. Bak kata pepatah Melayu, `melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Selain itu, adalah penting bagi ibu bapa mengamalkan dan menunjukkan teladan baik dalam mengamalkan pemakanan sihat untuk anak. Justeru, kepekaan ibu bapa terhadap pemakanan si anak amat penting termasuk menentukan sumber, jenis dan masa makan mereka. Antara sumber makanan penting untuk tumbesaran kanak-kanak termasuklah protin, karbohidrat, vitamin dan kalsium.
- Pengambilan makanan tidak seimbang seperti menumpukan karbohidrat semata-mata tanpa protin atau vitamin boleh menjejaskan tumbesaran kanak-kanak. Oleh kerana itu bagi memastikan tumbesaran mental dan fizikal sejajar usia, ibu bapa sendiri perlu tahu jenis atau kumpulan makanan.
- Karbohidrat misalnya, merangkumi nasi, ubi dan roti, begitu juga dengan kumpulan yang lain. Sekiranya si anak enggan makan nasi, ia boleh digantikan dengan mi atau roti. Pengetahuan ini penting bagi memastikan anak mendapat khasiat dalam kelas yang diperlukan kerana peranannya bukan sahaja sebagai pemberi tenaga, tetapi juga untuk pertumbuhan, pembaikan serta melindungi tubuh.
- Serat membantu memperlahankan penyerapan makanan dalam perut, menyebabkan seseorang yang mengambilnya mempunyai tenaga lebih lama berbanding mereka yang tidak mengambil sarapan. Hidangan untuk sarapan sebaiknya mudah, namun mempunyai nilai khasiat yang tinggi. Ini amat penting terutama pada waktu pagi sebab pada waktu pagi kanak-kanak mungkin tidak ada selera untuk makan. Jadi sebagai ibu perlu tahu untuk bangkitkan selera anak dengan memberi minuman suam atau panas.
- Ramai ibu bapa mengabaikan pengambilan sarapan sedangkan keperluannya amat mustahak. Sebagai contoh, kalsium yang terdapat dalam segelas susu membantu membina tulang yang kuat manakala serat membantu melancarkan penghadaman.
- Selain itu, bijirin sarapan pagi yang diambil memberi tenaga yang diperlukan oleh anak anda untuk memulakan kegiatan harian mereka.
CARA TARIK ANAK BERSARAPAN
- Ibu bapa sendiri digalakkan agar makan bersama dengan anak mereka bagi menunjukkan contoh yang baik mengenai pentingnya bersarapan pagi.
- Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab menjadikan sarapan pagi itu sesuatu yang menyeronokkan selain menyediakan makanan yang digemari si anak.
- Sarapan pagi yang berkhasiat walau hanya dengan segelas susu atau milo bersama sekeping roti sudah cukup untuk mengalas perut si anak.
- Kegagalan mengambil sarapan pagi bukan sahaja menyebabkan kandungan glukosa dalam darah menjadi rendah, tetapi juga boleh membawa kepada pelbagai masalah fisiologi dan fizikal seperti pening, lesu dan hilang tumpuan.
Sumber: Internet