Sebelum Mama Siti berkongsi tentang MyRadha’ah untuk ibu susuan, Mama Siti ingin berkongsi kisah pertemuan dua jiwa yang sama-sama melalui kehilangan insan tersayang.
Dalam sebuah kisah menyentuh hati. Bayi Faleeq, yang baru berusia dua bulan, kehilangan Mamanya yang meninggal dunia secara tiba-tiba dalam tidur. Selepas itu, keluarganya mula mencari ibu susuan untuk membantu menyusukan bayi Faleeq.
Masalah timbul apabila Faleeq diberi susu formula, yang menyebabkan dia mengalami sembelit dan kahak yang teruk. Keadaan ini mendorong Papanya untuk berusaha lebih gigih mencari Mama yang sudi menjadi ibu susuan demi kesihatan anaknya.
Tanpa disangka, sebuah panggilan harapan datang daripada Sri Wahyuni Rahman, seorang Mama yang juga sedang menghadapi duka. Puan Yuni baru sahaja kehilangan anaknya, Khairul Handzalah Sufi Khairul Azwan, yang berusia empat bulan. Bayi Handzalah ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah taska di Bandar Saujana Putra, baru-baru ini.
Puan Yuni menawarkan stok susu badan yang masih ada untuk diberikan kepada bayi Faleeq. Pertemuan antara dua keluarga ini membuka jalan kepada hubungan yang lebih mendalam apabila Puan Yuni kini menjadi ibu susuan kepada Faleeq. Kisah menyentuh hati ini dikongsikan oleh Puan Yuni sendiri menerusi beberapa hantaran di Instagram Story miliknya.
Bagi Puan Yuni, memberikan susu kepada Faleeq adalah satu cara untuk menyalurkan kasih seorang ibu selepas kehilangan anak tersayang. Kisah ini bukan sahaja menjadi inspirasi kepada orang lain, tetapi juga membuktikan bahawa kasih sayang seorang ibu adalah kekuatan luar biasa yang mampu menyembuhkan luka dan membawa harapan baru.
Apa Itu MyRadha’ah dan Kenapa Perlu Didaftarkan?
Dalam situasi seperti ini, penting untuk Mama Papa mengetahui tentang platform seperti MyRadha’ah, sebuah inisiatif khas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk para ibu susuan mendaftarkan anak yang disusukan.
Ia bukan sahaja berfungsi sebagai bukti sah hubungan susuan, tetapi juga untuk rujukan masa depan dalam menjaga kesahihan nasab, terutamanya apabila ia melibatkan urusan pernikahan atau warisan.
Mama jangan lupa ya! Dalam Islam, anak susuan adalah adik-beradik yang sah. Jadi, HARAM untuk mereka berkahwin. Dan untuk mengelakkan hal ini daripada berlaku, pihak JAIS telah melancarkan inisiatif ini sejak tahun 2018.
Bagi Mama Papa yang berada di sekitar Selangor, anda boleh membuat pendaftaran untuk anak susuan anda dengan mendapatkan borang MyRadha’ah di JAIS atau melalui laman rasmi di SINI.
Kredit Gambar: Harian Metro
Syarat untuk Pendaftaran Kad MyRadha’ah
Untuk mendapatkan kad MyRadha’ah, terdapat dua syarat utama yang perlu dipatuhi:
- Penyusuan Minimum 5 Kali – Bayi hendaklah menyusu sekurang-kurangnya 5 kali sehingga kenyang.
- Bayi di Bawah 2 Tahun – Umur bayi hendaklah di bawah 2 tahun.
Jangan risau, permohonan pendaftaran kad MyRadha’ah adalah PERCUMA.
Dengan pendaftaran yang betul, kekeliruan mengenai nasab dapat dielakkan, dan status ibu susuan dapat diiktiraf dengan tepat oleh pihak berkuasa agama.
Kisah bayi Faleeq dan Puan Yuni mengingatkan kita bahawa dalam setiap ujian, ada kasih sayang yang mampu mengubati luka. Penyusuan Mama bukan hanya memberi nutrisi kepada si manja, tetapi juga harapan buat mereka berdua.
Semoga kisah ini memberi inspirasi kepada Mama Papa untuk terus memberi yang terbaik untuk anak-anak dengan penuh kasih sayang.
Ketahui jenis pilihan susu formula bernutrisi tinggi untuk anak Mama. Klik di SINI.