Tanda Malam Lailatul Qadar adalah sebagai penanda untuk Mama Papa melebihkan melakukan amalan pada malam tersebut. Malam Lailatul Qadar akan berlaku pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan.
Malam Lailatul Qadar adalah malam istimewa yang dinanti-nantikan oleh umat Islam. Digambarkan sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan, ia menjadi detik penuh keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.
Malam tersebut adalah peluang emas untuk kita sama-sama tingkatkan ibadah, memperbanyakkan doa, dan memohon keampunan daripada-Nya.
Tanda Malam Lailatul Qadar
1. Malam yang Tenang dan Damai

Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiada tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Antara tanda-tandanya adalah matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut. [Umdah al-Qari 11/134]
Pada malam Lailatul Qadar, suasana akan terasa sangat tenang. Udara malam terasa nyaman, tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Hati juga akan merasa damai, dan jiwa terasa lebih dekat dengan Allah SWT.
2. Matahari Pagi yang Lembut

Berdasarkan riwayat daripada ucapan Ibn Mas’ud berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.” [Umdah al-Qari 11/134]
Selepas malam Lailatul Qadar, matahari pagi akan terbit dengan sinar yang lembut dan tidak menyilaukan. Ia adalah tanda yang sering disebut oleh ulama sebagai petunjuk bahawa malam istimewa itu telah berlaku.
Tips Berdoa Qiamulail Lailatul Qadar

Pengampunan Dosa:
- Minta diampunkan dosa sendiri, pasangan, anak-anak, keluarga, dan muslimin/muslimat.
Keperluan Kehidupan:
- Dimurahkan rezeki.
- Diberi ketenangan dalam keluarga.
- Anak-anak dijaga oleh Allah.
- Dijauhkan dari musibah dan ujian.
- Dihindarkan dari orang yang dengki.
- Diberikan kasih sayang dari orang lain.
Urusan Ketika Kematian:
- Mohon mati dalam husnul khatimah dan dalam keadaan beribadah.
- Dapat mengucap syahadah.
Alam Barzakh:
- Kubur menjadi taman syurga dan lapang.
- Diberikan rezeki di kubur dan dilindungi dari fitnah.
Padang Mahsyar:
- Selamat di padang mahsyar dan diberikan maqam mahmudah.
- Diberikan suratan amal dari tangan kanan.
- Ditutup aib dan dosa-dosa.
- Dimasukkan ke syurga tanpa hisab.
Lintasan Titian Sirat:
- Permudahkan melintasi titian sirat.
- Dijauhkan dari jatuh ke dalam neraka.
Masuk Syurga:
- Kurniakan Syurga Firdaus.
- Bangkit bersama Nabi Muhammad SAW.
- Diberikan tempat berdampingan dengan Nabi Muhammad SAW.
- Dijauhkan dari azab api neraka.
Doa Lailatul Qadar
Mama Papa boleh amalkan doa malam lailatul qadar ini untuk menghidupkan malam yang penuh keberkatan. Doanya sangat ringkas dan mudah dihafal, boleh juga Mama Papa ajarkan kepada anak-anak.
Hadith Tentang Perbanyakkan Ibadah Malam Lailatul Qadar

Berikut adalah bagaimana Rasulullah SAW dan salaf as-soleh beribadat di sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan:
Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ ، أَحْيَا اللَّيْلَ ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ ، وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ
Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri isterinya)” [Riwayat Muslim: 2015]
Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ
Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh akhir (Ramadan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain” [Riwayat Ahmad]
Imam Sufyan al-Thauri Rahimahullah berkata:
أحب إلي إذا دخل العشر الأواخر أن يتهجد بالليل و يجتهد فيه و ينهض أهله و ولده إلى الصلاة إن أطاقوا ذلك
Maksudnya: “Apabila masuknya sepuluh akhir Ramadan, aku lebih suka untuk melakukan tahajjud pada waktu malam dan bersungguh-sungguh melakukannya. Sufyan al-Thauri Rahimahullah juga akan mengejutkan ahli keluarganya untuk mendirikan solat seandainya mereka mampu melakukannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 160).
Bagaimana Mencari Malam Lailatul Qadar?

Malam Lailatul Qadar biasanya berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan, terutamanya pada malam-malam ganjil seperti 21, 23, 25, 27, dan 29 Ramadan.
Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadah pada setiap malam dalam tempoh ini, agar tidak terlepas peluang mendapat keberkatan malam tersebut.
Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar bagi mereka yang beribadah pada malam Lailatul Qadar.
Dalam surah Al-Qadr, Allah menyatakan bahawa malam ini adalah malam yang penuh keberkatan di mana malaikat dan roh turun ke bumi untuk membawa rahmat kepada hamba-hamba-Nya.
Amalan yang Disarankan untuk Kita Lakukan

Antara amalan yang digalakkan untuk Mama Papa laukan pada malam Lailatul Qadar:
- Solat Sunat: Dirikan solat tahajud, hajat, dan taubat.
- Zikir dan Istighfar: Banyakkan menyebut nama Allah dan memohon keampunan.
- Membaca Al-Quran: Luangkan masa untuk membaca dan menghayati maksud ayat-ayat suci Al-Quran.
- Berdoa: Doa apa sahaja, untuk dunia dan akhirat. Jangan lupa doa yang Nabi ajar: “Allahumma innaka afuwwun karim tuhibbul afwa fa’fu anni” (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, suka memaafkan, maka maafkanlah aku).
Sebagai umat Islam, mengenali tanda-tanda Malam Lailatul Qadar adalah satu petanda untuk kita lebih menghargai malam yang penuh keberkatan ini.
Marilah kita sama-sama manfaatkan peluang ini dengan meningkatkan ibadah dan memohon keampunan, mengejar malam berharga ini. Semoga usaha ibadah kita diterima oleh Allah SWT.
Idea untuk Mama masakan menu sahur ekspres penghujung ramadan. Klik di SINI.