Malam Lailatul Qadar adalah malam penuh keberkatan, tetapi ramai wanita yang sedang haid mungkin merasa bimbang kerana tidak dapat solat atau membaca Al-Quran. Sudah pasti kita akan mengejar malam tersebut dengan melakukan amalan malam lailatul qadar.
“Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah Al-Qadr: Ayat 3).
Pada malam tersebut adalah peluang untuk memperbanyakkan ibadah, menguatkan hubungan dengan Allah, dan memberi teladan kepada anak-anak tentang pentingnya mendekatkan diri kepada Allah.
Bagi Mama yang sedang period pula, jangan risau! Walaupun sedang uzur, masih banyak amalan malam lailatul qadar yang boleh dilakukan untuk meraih pahala besar pada malam istimewa ini.
10 Amalan Malam Lailatul Qadar untuk Dilakukan
1. Menyediakan Makanan kepada Orang Puasa

Bagi Mama period, ini adalah peluang untuk terus beramal dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Memberi makan, sama ada kepada keluarga, jiran, atau mereka yang memerlukan, mengeratkan hubungan silaturahim dan memberi pahala tanpa mengurangi sedikit pun ganjaran puasa orang lain.
Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang memberi makan untuk orang yang berbuka puasa, dia akan mendapat pahala yang sama seperti orang yang berpuasa itu.” (Hadis Riwayat Tirmizi).
Amalan ini bukan sahaja menambahkan pahala tetapi juga mengeratkan hubungan sesama manusia. Ia juga menjadi contoh kepada anak-anak tentang pentingnya berkongsi rezeki dengan orang lain.
2. Berzikir dan Mengingati Allah

Zikir adalah amalan yang mudah tetapi sangat besar ganjarannya, terutamanya pada malam Lailatul Qadar. Antara zikir yang boleh diamalkan adalah:
- SubhanAllah (Maha Suci Allah)
- Alhamdulillah (Segala Puji bagi Allah)
- La ilaha illallah (Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah)
- Allahu Akbar (Allah Maha Besar).
Mama yang sedang haid boleh meluangkan masa berzikir sambil melakukan aktiviti harian. Zikir bukan sahaja mendatangkan ketenangan hati tetapi juga memperkuatkan hubungan dengan Allah.
3. Mendengar Al-Quran

Mama yang sedang period tidak boleh membaca Al-Quran secara lisan, tetapi boleh membaca Al-Quran dalam hati. Ini termasuk melafazkan ayat-ayat Al-Quran dari buku agama.
Namun, Mama masih boleh membaca potongan ayat Al-Quran dengan niat berzikir, seperti membaca doa harian (al-Ma’thurat) atau hizib.
Kalau Mama perlu mengulang hafalan Al-Quran untuk mengelakkan lupa, itu juga dibolehkan asalkan niatnya untuk berzikir.
Selain itu, membaca terjemahan dan tafsir al-Qur’an untuk memahami maknanya juga merupakan ibadah yang besar ganjarannya.
4. Berdoa dengan Penuh Keikhlasan

Berdoa adalah amalan yang tidak memerlukan syarat tertentu seperti wuduk, maka ia sangat sesuai untuk dilakukan oleh mama yang sedang haid. Rasulullah SAW mengajarkan doa yang sangat dianjurkan pada malam Lailatul Qadar:
“Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni.”
(Maksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka kepada pengampunan, maka ampunilah aku).
Mama boleh memanfaatkan malam ini untuk memohon ampun, memohon kesejahteraan keluarga, dan berdoa untuk anak-anak agar menjadi insan soleh dan solehah.
Mama boleh mengajak anak-anak berdoa sekali, tidak kira siang atau malam. Doa yang datang dari hati yang ikhlas akan lebih mudah diterima oleh Allah, terutama pada malam penuh keberkatan ini.
5. Selawat ke atas Nabi SAW
Selawat adalah amalan yang sangat digalakkan, khususnya pada malam yang mulia ini.
Berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah tanda kecintaan kita kepada baginda dan cara untuk mendapatkan syafaatnya di akhirat kelak.
Mama Papa boleh memperbanyakkan selawat secara individu atau bersama keluarga. Ini juga peluang untuk mengajarkan anak-anak kepentingan mencintai Rasulullah SAW.
6. Bersedekah dengan Ikhlas

Sedekah adalah amalan yang sangat besar ganjarannya. Pada malam Lailatul Qadar, Mama boleh bersedekah kepada fakir miskin atau melalui platform-platform amal.
Mama yang period boleh membantu dengan merancang atau menguruskan sumbangan tersebut.
Sedekah bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima tetapi juga membuka pintu rezeki kepada pemberi. Dengan melibatkan anak-anak dalam aktiviti ini, Mama dapat mendidik mereka menjadi insan yang pemurah.
7. Qiamulail Bersama Keluarga

Mama Papa ajaklah anak-anak sekali untuk bersama-sama menghidupkan malam Lailatul Qadar.
Solat berjemaah, membaca al-Quran, atau berzikir bersama boleh menjadi pengalaman yang bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan tetapi juga memperkukuhkan iman dan kasih sayang sesama ahli keluarga.
Melibatkan anak-anak dalam ibadah malam ini sangat penting untuk menanamkan nilai cinta kepada Allah SWT dari usia muda.
Walaupun mereka mungkin belum memahami sepenuhnya kepentingan Lailatul Qadar, ajaran melalui contoh perbuatan dapat memberi kesan besar kepada pembentukan akhlak mereka.
Tip Mengajak Anak-anak untuk Qiamulail:
- Berikan galakan lembut tanpa paksaan.
- Ceritakan kisah keindahan malam Lailatul Qadar dan ganjaran yang Allah janjikan.
- Jadikan suasana ibadah menyeronokkan dengan membaca surah pendek secara bergilir atau menyertakan aktiviti zikir yang mudah.
- Pastikan anak-anak mendapat rehat yang cukup sebelum malam tersebut.
Jadikan ibadah ini sebagai tradisi keluarga yang membawa keberkatan dan nilai spiritual yang mendalam kepada semua. Pendedahan awal sebegini dapat melahirkan generasi yang mencintai Allah dan menghargai ibadah sepanjang hidup mereka.
8. Sekurang-Kurangnya Melakukan Solat Fardu Secara Berjemaah

Jika tidak mampu melakukan banyak ibadah lain, pastikan sekurang-kurangnya solat fardu dilakukan secara berjemaah pada malam Lailatul Qadar. Solat berjemaah bukan sahaja melipatgandakan pahala tetapi juga menyatukan hati dan mengeratkan hubungan sesama Muslim.
Rasulullah SAW bersabda:
“Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian dengan 27 darjat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dengan hanya meluangkan masa untuk solat berjemaah, seseorang masih berpeluang meraih keberkatan besar pada malam yang penuh kemuliaan ini.
9. Taubat Nasuha
Selain dari melakukan solat yang lain, jangan lupa solat taubat nasuha juga. Pada malam lailatul qadar pintu taubat akan lebih terbuka luas pada malam tersebut.
Mama Papa jangan sia-siakan peluang ini lakukan solat taubat dengan sesungguhnya, Mama Papa boleh lakukan solat taubat pada bila-bila masa. Tapi seeloknya sewaktu Mama Papa berqiamullail.
10. Melakukan Iktikaf

Iktikaf adalah amalan berdiam diri di masjid dengan niat beribadah sepenuhnya kepada Allah SWT, terutama pada 10 malam terakhir Ramadan.
Amalan ini disebut ‘Iktikaf Asyrul-Awahir’ dan merupakan sunnah muakkad yang sangat dianjurkan.Rasulullah SAW sentiasa melaksanakan iktikaf pada malam-malam tersebut bersama isteri, keluarga, dan para sahabat dengan mengisi malamnya dengan solat, zikir, serta bacaan al-Quran.
Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata:
Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan Baginda SAW.”
— Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah
Kelebihan Iktikaf:
- Meningkatkan hubungan rohani dengan Allah SWT.
- Berpeluang bertemu malam Lailatul Qadar.
- Menghidupkan sunnah Rasulullah SAW.
Cara Melakukan Iktikaf:
- Berniat iktikaf di masjid.
- Fokus pada ibadah seperti solat, zikir, dan membaca al-Quran.
- Elakkan perkara yang melalaikan.
Meskipun Mama sedang haid, pintu-pintu rahmat dan peluang untuk meraih pahala masih terbuka luas. Jangan biarkan malam-malam terakhir Ramadan berlalu begitu sahaja.
Mari kita jadikan malam Lailatul Qadar tahun ini sebagai malam yang penuh makna dan keberkatan untuk seluruh keluarga.
Semoga segala amalan kita pada malam ini diterima Allah dan memberikan keberkatan kepada keluarga kita di dunia dan akhirat.
Bilakah waktu mustajab untuk berdoa di bulan ramdan? Klik di SINI.