Selalu kita dengar rintihan ibu bapa muda tentang anak-anak yang cemburu dengan adiknya yang baru lahir. Keadaan ni memang boleh sakit kepala kalau tak diselesaikan dengan baik.
Mama dan papa mesti tak nak mereka rasa cemburu, dengki iri hati dan macam-macam lagi lah dengan adik baru kan? Sebab tu lahbila mama nak dapat cahaya mata baru, mama dan papa kena prepare siap-siap si abang atau si kakak dari segi fizikal, mental, emosi dan jiwa.
Preparation apa yang mama kena buat? Perkongsian dari Ibu Rose akan bantu mama dan papa yang dalam dilema, bagaimana nak elakkan anak sulung cemburu dengan adik baru. Buat pengetahuan mama, kalau anak mama bawah umur 2 tahun, dia masih kecil dan cara menanganinya memang berbeza dengan anak yang berusia 4-5 tahun. Semoga bermanfaat!
Fizikal
Untuk anak bawah umur 2 tahun, ajar dia untuk belai adik. Sebab pada usia ini, anak tak pandai sangat kawal kekuatan tangannya. Sebab tu lah pada usia ni, bila berjumpa adik, selalunya dia akan nampak seolah mahu menampar adik tapi sebenarnya dia hanya hendak memegang.
Mama jangan selalu marah pada dia! Sebab bila berlaku perkara macam ni, dia akan benci pada adik sendiri.
Bila adik lahir, pada bulan pertama dukunglah dia jika dia minta. Apa yang mama buat pada adik, buat juga pada dia. Tak perlu sampai sebulan pun tak apa. Asalkan penuhi segala permintaan dia.
Kalau mama dah sediakan minda dan emosi dia sebelum adiknya lahir, anak tu cepat faham. Elakkan mengatakan: “Abang dah besar, tak boleh dukung-dukung lagi.”
Kalau anak yang umur lebih 3 tahun, mungkin dia takkan minta untuk didukung. Tapi mama kena banyak belai anak tu untuk elakkan cemburu.
Cium, belai, peluk, sikat rambut dia. Yes, ramai anak-anak yang mahu buat semua perkara ni sendiri sebab mereka nak jadi abang dan kakak. Ianya bagus tapi mama still kena cium dan peluk dia. Tunjukkan yang kasih sayang mama sama saja untuk dia dan anak yang akan lahir nanti.
Minda
Mama mesti tahu yang minda kita perlukan ilmu. Jadi, sebelum adik baru lahir, cuba ajar dia tentang pertumbuhan adiknya sebelum dan setelah lahir. Baca buku dan tunjuk gambar adik. Cerita macam mana rupa dia setiap bulan dan ajak dia pegang adik dalam perut. Selalu cerita apa yang mama akan buat bersamanya dan apa yang dia boleh buat dengannya bila adik baru dah besar.
Emosi
Keperluan hati pula ialah kasih sayang. Oleh itu, mama kena pastikan si abang atau kakak berasa lebih disayangi bila dah ada adik. Selalu kata pada dia, bila baby dah lahir, kasih-sayang mama pada dia lagi bertambah sebab dia sayang adiknya dan dia dah naik pangkat! Jadi mummy’s little helper atau daddy’s little helper. Ha gituu.
Waktu ni, emosi sangat penting dan perlu dijaga. Jadi, mama kena prepare emosi dia untuk terima kedatangan adik dia. Kalau ada yang cakap dekat dia: ” Nanti dah ada adik, mama tak ada masa nak layan kamu. Padan muka.”. Cepat-cepat counter balik kata-kata negatif tu, “Nanti kalau abang ada adik, mama lagi sayang sebab abang sayang adik dan suka layan adik baik-baik. Sebab dia berharga dan penting untuk mama dan ayah.”
Lepas tu cium tangan si kecil mama. Mama dan papa perlu bijak bekerjasama untuk pastikan ada masa khas untuk si kakak atau si abang. Adakan special time untuk spend masa dengan dia. Tak perlu lama pun, dalam 20 minit sehari pun dah mencukupi.
Jiwa
Jiwa memerlukan kita untuk lakukan amalan baik. Contohnya, mama boleh ajak anak untuk lakukan sesuatu untuk adiknya, atau papa ajak anak yang besar untuk sediakan sarapan, atau ambilkan barang untuk adik.
Selalu raikan perbuatan baiknya dan puji dia. Rajinnya, bagusnya, abang/kakak sayang mama, papa dan adik. Mama kena tahu bila dia dipuji macam tu, dia akan rasa sangat dikasihi dan bangga dengan apa yang dia buat. Tunjuk dekat dia pertolongan dia membantu memudahkan kerja mama.
Jangan terus mengarah, suruh si kakak dan abang buat itu dan ini. Tapi mama dan papa tak ajar mereka tentang kefahaman berbakti. Bila mereka tak faham, anak akan rasa tak disayangi lagi. Inilah yang menyebabkan dia memberontak dan mengamuk.
Anak yang besar tu pun perlukan ruang dan masa untuk sesuaikan diri dengan perubahan itu. Jadi, kalau dia mengamuk, SABAR dan tenangkan dia dengan kata-kata kasih. Jangan terus tembak dia dengan kata-kata pedas. Makin sedih dia nanti.
Semoga kita senantiasa menjaga perhubungan penuh kasih-sayang di dalam keluarga. Bila perhubungan ahli keluarga baik dan sihat , maka keluarga pun penuh kasih.
Sumber: Ibu Rose – Mesejnya Kasih
BACA JUGA JANGAN BIARKAN ANAK BERASA DISISIH & CEMBURU DENGAN KEHADIRAN ADIK BARU!
Pesan Mama Siti:
Susahkan jadi ibu bapa? Menjadi ibu bapa memerlukan kita untuk sentiasa belajar dan memperbaiki kelemahan yang berlaku. Yes, pada awal-awal memang kita akan risau, yalah abang/kakak bencikan adik, takkan kita nak biarkan saja kan?Tapi, percayalah semuanya akan baik-baik saja bila tiba waktunya nanti. Anak cuma perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Jadi, tugas mama dan papa hanya beri kefahaman pada mereka tentang perubahan ini saja.