Walaupun terdapat peningkatan kesedaran tentang kesan jangkitan cacing sebagai masalah kesihatan umum, namun ia masih kerap diabaikan khususnya di kawasan bandar. Berjangkit melalui tanah; cacing kerawit, cacing gelang dan cacing cambuk adalah tiga jenis cacing yang paling biasa menjangkiti usus seseorang. Cacing juga boleh berjangkit melalui sentuhan dengan permukaan yang tercemar serta makanan dan juga air. Setelah menjangkit, cacing-cacing ini akan membinasakan nutrien yang diperlukan oleh tubuh dan secara langsung mengurangkan selera makan, penghadaman dan pencernaan mangsa yang dijangkiti. Parasit ini akan menjadi ancaman serius kepada perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak.
- Kesan daripada jangkitan cacing tidak ketara, kronik dan kumulatif. Malangnya, tiada tanda-tanda atau gejala sampingan yang boleh dikenal pasti dengan mata kasar, di samping itu tiada aduan khusus selain hilang selera makan, loya, muntah dan sakit perut. Tambahan pula, gejala-gejala ini tidak berlaku dalam masa yang singkat, tidak seperti kes keracunan makanan atau lain-lain jangkitan pada perut atau usus yang serius.
- Kerap kali, cacing meninggalkan perumah tanpa dia menyedari akan jangkitannya. Ini memandangkan kesan jangkitan cacing yang mungkin mengambil masa di antara 3-4 tahun untuk dirasai atau dilihat. Adalah tidak mustahil bagi kanak-kanak di kawasan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti cacing sepanjang usia kanak-kanak mereka tanpa disedari oleh ibu-bapa.
- Cacing yang terdapat di dalam tubuh kanak-kanak yang sedang membesar akan menggugat penggunaan nutrien tubuhnya. Tahukah anda bahawa cacing gelang dewasa memakan makanan separuh hadam di dalam usus dan memusnahkan nutrien yang amat diperlukan oleh anak anda? Di kawasan yang mengalami jangkitan cacing yang tinggi, adalah tidak mustahil kanak-kanak mempunyai antara 50 – 100 ekor cacing di dalam ususnya.
KESAN TUMBESARAN
Tetapi bagaimana jangkitan ini memberi kesan kepada tumbesaran kanak-kanak? Antara kesan biasa jangkitan adalah hilang selera makan akibat rasa loya, mutah, sakit perut dan cirit-birit. Kanak-kanak yang dijangkiti akan mengambil sedikit makanan, dan pada masa yang sama perlu berkongsi dengan parasit. Ini akan mengurangkan lagi nutrien yang diperlukan oleh tubuh untuk menampung tumbesaran kanak-kanak .Kelesuan akibat jangkitan cacing akan mengurangkan keupayaan kanak-kanak untuk belajar. Jangkitan cacing menjejaskan fungsi kognitif kanak-kanak secara langsung dengan menjejaskan keupayaan untuk memberi tumpuan ketika belajar, serta daya mengingati apa yang dipelajari. Adalah penting untuk diketahui bahawa pencapaian markah yang rendah dalam ujian dan pelajaran berkait rapat dengan kes jangkitan cacing sederhana dan serius.
RAWATAN
Setakat ini tiada vaksin untuk menghapuskan cacing. Setelah dijangkiti cacing, ia sememangnya sukar dihapuskan tanpa menggunakan ubat pencegah cacing. Ubat pencegah cacing seperti Zentel mampu menghapuskan kebanyakan cacing biasa pada setiap peringkat kitaran hidupnya – daripada telur hingga larva dan juga cacing dewasa.
- Ambillah setiap enam bulan sekali, untuk memastikan anak anda bebas daripada ancaman jangkitan cacing. Ubat pencegah cacing mudah di dapati daripada farmasi di seluruh negara, tanpa preskripsi. Bagaimanapun, sumber maklumat terbaik tentang jangkitan cacing boleh diperolehi daripada doktor anda.
SIMPTOM-SIMPTOM KECACINGAN
- Cacing keluar dari lubang najis atau ada cacing pada najis.
- Punggung terasa gatal terutama pada waktu malam.
- Badan menjadi lemah dan hilang selera makan, serta sakit perut atau cirit birit dan kembung.
- Pucat dan berat badan menjadi kurang walaupun selera makan ada.
- Batuk-batuk yang berpanjangan.
- Demam, ruam di badan, alahan, kaki gatal dan bengkak.
- Mengetap gigi ketika tidur malam.
- Kedutan dan lingkaran hitam pada kelopak mata.
- Hiperaktif.
- Sakit kepala.
- Sensitif terhadap cahaya.
- Gusi dan hidung berdarah.
INFO!
CACING KERAWIT
Biasa dijumpai di kawasan pedalaman terutama jika kanak-kanak berkaki ayam. Cacing kerawit memasuki badan melalui kulit. Larva (anak cacing yang baru ditetaskan) memasuki usus kecil dan tinggal selama beberapa tahun. Jangkitan cacing kerawit boleh menyebabkan kehilangan darah yang kronik dan pesakit mengalami anemia serta kekurangan zat besi. Jika tidak dirawat dengan segera, tumbesaran seseorang kanak-kanak terjejas.
CACING PITA
Jangkitan berlaku apabila seseorang memakan daging yang dijangkiti larva cacing. Bagaimanapun, ia jarang berlaku dan biasanya hanya dialami individu yang kerap makan daging atau produk berasaskan daging. Gejala jangkitan termasuk penurunan berat badan tanpa sebab, hilang selera makan, perut buncit dan sebahagian daripada cacing terkeluar apabila membuang air besar.
CACING CANGKUK
Lazimnya menjangkiti penduduk luar bandar dan kurang kemudahan kebersihan. Kanak-kanak berumur di antara lima hingga 15 tahun paling berisiko tinggi dan biasanya jumlah cacing di dalam usus mereka lebih banyak berbanding orang dewasa. Jika jangkitan tidak serius, ia tidak menunjukkan sebarang kesan tetapi kanak-kanak boleh mengalami cirit-birit berdarah dan kadangkala dubur terkeluar jika jangkitan sampai ke peringkat serius. Malah, kanak-kanak juga kelihatan pucat dan tidak sihat akibat kekurangan zat.
CACING BENANG
Paling biasa berlaku pada kanak-kanak berumur di antara lima hingga 14 tahun. Walaupun jangka hayat cacing ini pendek, pesakit biasanya mendapat jangkitan berulang. Cacing benang sangat halus dan kecil, berukuran di antara dua hingga empat milimeter sahaja, berwarna putih dan biasanya ditemui dalam satu kumpulan. Ia tinggal di dalam usus besar dan gejala gatal pada dubur akibat pengeluaran telur. Apabila kanak-kanak menggaru duburnya, telur tadi berpindah ke jari dan kuku. Selain gatal pada dubur, pesakit akan mengalami anemia, cirit-birit, muntah, letih dan hilang selera makan, batuk dan sukar bernafas.
Sumber: Utusan Malaysia