Sebagai Mama Papa, sudah pasti kita ingin melihat anak-anak membesar dengan sihat dan aktif. Dan ini membuatkan ada sesetengah daripada kita mengenalkan penggunaan baby walker kepada si manja. Namun, sebenarnya, terdapat bahaya tersembunyi baby walker pada si manja!
Penggunaan baby walker sebenarnya bukan sahaja tidak membantu, malah boleh membawa kesan negatif kepada perkembangan bayi.
Tetapi masih ramai Mama Papa yang menganggap walker ini sebagai alat bantu anak-anak untuk belajar berjalan.
Banyak kajian dan pakar kesihatan mencadangkan agar Mama Papa mengelakkan penggunaan baby walker kerana ia tidak memberikan manfaat kepada perkembangan fizikal bayi dan malah boleh membawa kepada kecederaan serius.
“Eh, Kenapa Bahaya Baby Walker Ni?”
Sebenarnya, walker ini tidak membantu kemahiran berjalan anak Mama kerana walker bukan sekadar menggerakkan kaki ke hadapan tetapi ia melibatkan beberapa elemen lain seperti:
- Keupayaan menolak badan untuk berdiri
- Keseimbangan tubuh
- Koordinasi pergerakan
Bayi yang menggunakan walker cenderung untuk tidak menggunakan otot-otot utama mereka yang diperlukan untuk belajar berdiri dan berjalan. Proses ini mengganggu perkembangan semula jadi bayi dalam menguasai fasa pertumbuhan mereka.
Selain tu, walker ini bukan hanya tidak membantu perkembangan bayi, tetapi meningkatkan risiko kecederaan yang berlaku kepada bayi. Antara kecederaan yang selalu dilaporkan seperti:
- Bayi jatuh dari tangga
- Bayi terjunam ke dalam kolam
- Kecederaan pada tengkuk dan kepala
Kecederaan sering berlaku kerana bayi yang menggunakan baby walker dapat bergerak dengan cepat ke kawasan berbahaya tanpa kawalan Mama Papa.
Malah, ada juga bayi yang terlalu aktif sehingga cuba memanjat keluar dari baby walker, meningkatkan risiko jatuh dan kecederaan serius.
Ini adalah satu risiko keselamatan yang besar, dan Mama Papa seharusnya lebih peka tentang bahaya ini.
Walaupun sudah banyak kes kecederaan, baby walker masih popular di kalangan Mama Papa kerana ia memberi kelonggaran kepada mereka – bayi kelihatan lebih gembira kerana boleh bergerak bebas, dalam masa yang sama Mama Papa juga mendapat sedikit masa untuk berehat.
Larangan Penggunaan Baby Walker di Negara Lain!
Kalau Mama Papa nak tahu di Kanada, sudah pun mengharamkan penggunaan baby walker sepenuhnya kerana risiko keselamatannya yang tinggi.
Negara tersebut juga telah mengambil langkah tegas dengan mengenakan denda kepada sesiapa yang menjual, membeli atau memiliki baby walker.
Langkah serupa juga sedang dipertimbangkan di Amerika Syarikat atas desakan daripada persatuan pakar kanak-kanak.
Di Eropah, standard keselamatan untuk peralatan bayi juga semakin diperketatkan bagi mengurangkan risiko kecederaan kepada si manja.
Alternatif yang Lebih Selamat dan Bermanfaat
Daripada membelanjakan wang untuk membeli baby walker, Mama Papa boleh pertimbangkan untuk membeli:
- Playpen yang membolehkan bayi bergerak dengan bebas tetapi dalam persekitaran yang terkawal. Playpen memberi ruang kepada bayi untuk belajar berdiri, merangkak, dan akhirnya berjalan dengan lebih selamat.
- Car seat yang selamat untuk perjalanan, memberikan perlindungan maksimum kepada bayi ketika di dalam kereta.
- Mainan montessori untuk merangsang perkembangan mental dan motor halus bayi. Contohnya, blok bangunan, mainan yang boleh digenggam, atau alat muzik kecil.
- Tikar latihan bayi (baby activity mat) untuk menggalakkan pergerakan bebas sambil memperkukuhkan otot mereka.
Panduan untuk Mama Papa
Untuk membantu bayi belajar berjalan, Mama Papa boleh lakukan beberapa perkara seperti:
- Memberi masa untuk tummy time bagi menguatkan otot-otot leher, bahu, dan badan bayi.
- Membiarkan bayi bermain di lantai dengan selamat, supaya mereka dapat belajar merangkak dan berdiri sendiri.
- Menggunakan perabot rendah yang stabil untuk bayi berpaut ketika cuba berdiri.
- Sentiasa memberikan galakan dan bimbingan ketika bayi mencuba langkah pertama mereka.
Sebagai Mama Papa, tanggungjawab kita untuk memastikan keselamatan dan perkembangan anak-anak berada pada tahap terbaik. Elakkan penggunaan baby walker dan pilihlah alternatif yang lebih selamat dan bermanfaat.
Ingatlah, perkembangan anak Mama Papa adalah lebih penting daripada keseronokan sementara. Bayi memerlukan masa dan ruang untuk belajar mengikut rentak semula jadi mereka.
Semoga perkongsian Mama Siti ini, Mama Papa dapat memastikan anak-anak membesar dengan sihat dan keselamatan si kecil terjamin.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Macam mana cara untuk Mama menjaga kebersihan gigi anak-anak? Klik di SINI.