Terung berlada merupakan salah satu hidangan kegemaran ramai kerana gabungan rasa pedas dan sedikit masam yang unik. Bagi Mama yang ingin mencuba sesuatu yang baru di dapur, resipi terung berlada sangat sesuai kerana ia mudah disediakan tetapi tetap memberi kepuasan rasa.
Jom kita tengok cara-cara untuk Mama yang baru pertama kali mahu mencuba resipi terung berlada.
Resipi Terung Berlada
Bahan-bahan
- 3 biji terung panjang – potong memanjang dan belah empat
- ½ – 1 cawan minyak masak
- 4 biji bawang merah kecil – hiris kasar
- 5 ulas bawang putih – hiris kasar
- 3 tangkai cili merah besar – hiris kasar
- 10 tangkai cili padi merah – patah dua (buang tangkai)
- 1 biji tomato – potong kasar
- ½ inci belacan
- 3 helai daun limau purut – koyak dan buang tengah
- Sedikit serbuk seasoning
- 1 cwn ikan bilis
- 1 – 2 sudu kecil garam
- 1 sudu kecil gula
Cara Penyediaan:
- Panaskan minyak dahulu, gorengkan terung separuh masak. Toskan.
- Gorengkan ikan bilis pula.
- Minyak yang sama, Mama goreng bawang merah, bawang putih, cili merah dan cili padi.
- Selepas bahan layu, Mama masukkan tomato dan belacan.
- Bila dah naik bau, Mama masukkan ke dalam chopper. Mama kisar kasar je.
- Tumiskan bahan kisar tadi dalam minyak yang sama sehingga sambal menjadi kering.
- Apabila sambal sudah kering, Mama masukkan gula, garam dan serbuk seasoning.
- Masukkan daun limau purut dan juga terung goreng.
- Sebatikan terung dan sambal.
- Taburkan ikan bilis. Siap untuk dihidangkan.
Nota: Sambal berlada kering boleh tahan lebih lama dan tidak cepat basi.
Resipi: Che Nom
Tips untuk Mama Menyediakan Resipi Terung Berlada
- Pastikan Mama memilih terung yang berkulit licin, tidak berkedut, dan berwarna ungu gelap. Terung yang segar memberikan rasa yang lebih enak dan tekstur yang lembut apabila dimasak.
- Sebelum menggoreng, rendam terung yang telah dipotong dalam air garam selama 10-15 minit. Ini dapat mengurangkan penyerapan minyak ketika Mama menggoreng dan juga menghilangkan rasa pahit pada terung.
- Goreng terung hingga layu dan sedikit keemasan sahaja. Terung yang terlalu lama digoreng akan menjadi terlalu lembik dan tidak sedap apabila dicampur dengan sambal.
Resipi terung berlada ini bukan sahaja mudah, tetapi sangat sesuai untuk diubah suai mengikut selera keluarga. Ia sesuai dihidangkan pada bila-bila masa, sama ada makan tengah hari atau makan malam.
Malah, terung juga berkhasiat untuk mereka yang sedang hamil. Dengan tekstur terung yang lembut dan sambal yang pedas, hidangan ini pasti akan menjadi kegemaran Mama sekeluarga.
Selamat mencuba, Mama!
Ada banyak resipi menarik yang Mama boleh cuba DI SINI.