Terung atau eggplant merupakan salah satu sayuran yang sering ada di dapur, tetapi kadang-kadang Mama Siti sendiri pun buntu nak buat resipi masak terung apa lagi selain rebus dan masak kari.
Lagi pun, terung sebenarnya kaya dengan khasiat yang baik, terutama untuk Mama mengandung. Mengandungi nutrien penting yang boleh menyokong kesihatan Mama serta bayi dalam kandungan.
Mama Siti dah sediakan dua resipi masakan terung yang Mama mesti cuba! Resipi-resipi ini sangat mudah dan cepat, sesuai sangat untuk Mama yang sedang mengandung dan nak hidangan yang ringkas tapi sedap.
Kebaikan Terung kepada Mama Mengandung
Terung adalah makanan yang kaya dengan nutrien dan bermanfaat untuk wanita hamil. Ia mengandungi folat, penting untuk mencegah kecacatan tiub saraf pada bayi dan membantu pembentukan sel darah merah.
Terung juga merupakan sumber vitamin C, niasin, vitamin B kompleks, A, dan E, serta mineral seperti kalium, kuprum, mangan, dan zat besi, yang penting untuk metabolisme dan tenaga.
Dalam terung juga kaya dengan serat dan karbohidrat kompleks, membantu mengekalkan rasa kenyang lebih lama dan mengawal paras gula darah, terutama bagi Mama mengandung yang mengalami diabetes.
Serat ini akan membantu Mama untuk mengatasi sembelit, masalah umum semasa mengandung.
Oh ye, terung mengandungi nasunin, sebatian anthocyanin yang bertindak sebagai antioksidan untuk melawan radikal bebas, melindungi sel dan DNA daripada kerosakan, serta meningkatkan daya tahan tubuh Mama.
Tetapi tidak disarankan untuk Mama mengambil terung yang berlebihan di awal kehamilan mungkin berisiko menyebabkan keguguran atau kelahiran pramatang kerana kandungan phytohormon yang boleh merangsang pengecutan otot rahim.
Pengambilan terung dalam kuantiti sederhana, seperti seminggu sekali, dianggap selamat.
Resipi Masak Terung yang Mudah Tapi Sedap!
1. Terung Goreng Pedas Korea
Bahan-bahan
- Terung – 4 keping sederhana
- 5 ulas bawang putih
- 1 ulas bawang holland
- 4 tangkai cili api
- 2 sudu besar kicap
- 2 sudu besar sos tiram
- 2 sudu besar gula
- 2 sudu besar sos tomato
- 1 sudu kecil lada hitam
- 1 sudu kecik garam
Cara Penyediaan:
- Mama potong terung menjadi dua bahagian. Hiris menyerong.
- Rendamkan terung dalam air sejuk selama 15 minit.
- Cincang halus bawang putih dan bawang holland. Hiris kasar cili kering.
- Mama panaskan minyak, goreng terung sehingga menjadi keperangan. Terbalikkan dalam 2 atau 3 minit. Toskan.
- Buangkan sedikit minyak untuk menumis.
- Kemudian, masukkan bawang holland dan bawang putih, goreng sehingga menjadi sedikit keperangan.
- Masukkan kicap, sos tiram dan gula. Gaul rata.
- Tambahkan sedikit air.
- Masukkan sos tomato, lada hitam, garam dan cili api. Gaul rata sehingga kuah pekat.
- Akhir sekali, masukkan terung goreng tadi, gaul serata.
- Siap dihidang.
Nota: Mama boleh tambahkan cili api lagi kalau Mama suka makan pedas.
Resipi: TWO FORKS
2. Masak Lemak Putih Terung dengan Sawi
Bahan-bahan
- 1 biji terung – dipotong
- 1 rumpun sawi – dipotong
- 1 biji bawang besar – hiris
- 3 ulas bawang putih – hiris
- 2 biji cili merah – hiris
- Segenggam udang kering – hiris
- 2 cawan air
- 250 ml santan kotak
- Secukupnya garam
- Sedikit serbuk perasa
Cara Penyediaan:
- Mama masukkan terung, bawang besar, bawang putih, cili merah, udang kering dan air ke dalam periuk.
- Kemudian, Mama didihkan sehingga terung berubah warna.
- Masukkan sawi.
- Mama masukkan santan, garam dan serbuk perasa. Masak sehingga mendidih.
- Sedia untuk dihidangkan.
Resipi: cookpad.com
Sayur terung bukan sahaja memberi pelbagai manfaat kesihatan untuk Mama mengandung, tetapi resipi masak terung juga boleh dimasak dengan cara yang lazat dan mudah.
Daripada masak lemak hingga pajeri, terdapat banyak cara untuk menikmati sayuran ini sambil mendapat nutrien penting yang diperlukan semasa kehamilan. Selamat mencuba resipi-resipi ini dan nikmati kebaikan terung!
Selamat mencuba!
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Apa lagi resipi-resipi yang Mama boleh cuba? Klik di SINI.