Berkahwin dan memiliki anak pada usia muda ketika era sebelum merdeka mungkin merupakan perkara biasa berdasarkan keadaan ekonomi, taraf pendidikan dan sosial ketika itu. Jika pernah mendengar cerita zaman dahulu, ada dalam kalangan masyarakatnya berkahwin seawal usia 15 tahun dan menjadi ibu bapa pada umur yang dikira masih mentah. Namun, keadaan itu dilihat bukan satu masalah, malah dijadikan sebagai kayu pengukur dan pendorong kepada golongan remaja hari ini untuk berkahwin dan memiliki anak pada usia muda. Maka, tidak hairanlah jika peratusan ibu bapa muda dalam negara hari ini menunjukkan peningkatan setiap tahun.
Tidak salah berkahwin dan mempunyai anak pada usia muda, namun adakah anda benar-benar yakin bahawa keputusan itu paling tepat? Ramai remaja hari ini menganggap perkahwinan itu mudah dan memiliki anak juga tidak menjadi masalah untuk mereka menikmati kehidupan sebagai remaja. Namun, perlu diingatkan bahawa tanggungjawab dan cara hidup mungkin sedikit berbeza apabila sudah berkahwin dan memiliki anak. Hal ini kerana, jika sebelum berkahwin mungkin anda gemar keluar menonton wayang bersama rakan-rakan, namun aktiviti itu perlu dikurangkan apabila sudah berkahwin dan memiliki anak.
KEBAIKAN KAHWIN DI USIA MUDA
- MENGELAK DARI BERLAKU SEKS BEBAS – Bagi golongan remaja yang sudah melepasi 18 tahun, kebiasaannya nafsu mereka mudah teransang dan membuak-buak. Apabila berlaku pergaulan antara lelaki dan wanita, perasaan sayang dan nafsu akan mula timbul. Mereka akan keluar berjalan beriringan jalan bersama, menonton wayang, berbalas mesej hingga lewat malam yang boleh menjerumus ke arah maksiat. Jika mereka sudah tertarik antara satu sama lain, seelok-eloknya eloklah dilangsungkan perkahwinan supaya tidak berlaku perkara yang tidak didendang, antaranya anak luar nikah, pembuangan bayi dan kahwin lari.
- BERUBAH MENJADI LEBIH BERTANGGUNGJAWAB – Jika ketika bujang dahulu, segala usaha dan hidup kita lebih terarah kepada kita sahaja. Kepada yang datang dari keluarga berada, mungkin segala keperluan dan kemudahan sudah disediakan oleh ibu bapa anda untuk anda. Apabila anda dan pasangan anda sudah menjengah ke alam perkahwinan, kini anda berkongsi hidup dengan pasangan anda. Adalah cabaran besar bagi yang menetap di kota metropolitan yang memerlukan kos hidup yang kita. Ia juga akan mendatangkan cabaran yang lebih besar bagi anda dan pasangan anda yang masih belajar. Pada siang hari, anda perlu pergi ke kuliah, kemudian kemungkinan pada waktu malam anda perlu pergi ke kerja sambilan dan masa yang sama meluangkan masa dengan isteri anda. Apabila anda dan pasangan anda mempunyai anak sendiri juga memerlukan kos yang tinggi, kerana barang-barang keperluan bayi adah tinggi harganya. Jadi apabila berlakunya situasi ini, anda dan pasangan anda mula menjadi lebih bertanggungjawab dan berusaha kerasa untuk menyara hidup anda sekeluarga. Tiada lagi masa lagi untuk berfoya-foya dan melepak bersama rakan anda. Perkara yang baik ini jika tidak diterima secara positif, ia akan menjadi satu tekanan pada remaja yang telah berkahwin.
- DIRI BERUBAH KE ARAH KEBAIKAN – Menjadi lumrah bagi pada sesiapa yang sudah berkahwin, pasti akan berubah menjadi seorang yang lebih positif. Pasti tabiat lama yang berunsurkan negatif seperti merempit dan melepak, lama kelamaan pasti akan terhakis sedikit demi sedikit. Bagi yang yang beragama Islam, kesempatan yang ada ini apa kata anda dan pasangan melakukakan solat jemaah apabila ada kelapangan, secara langsung akan menyuntik suasana tenang dan harmoni. Ia akan mengeratkan lagi hubungan anda dan pasangan anda. Lebih awal seseorang itu berkahwin, kemungkinan besar lebih mudah untuk kita melihat perubahan diri sesorang itu bukan?
- PLAN JANGKA PANJANG – Jika berkahwin muda, sudah tentu memperoleh cahaya mata awal. Belum sampai waktu persaraan pun tanggungjawab untuk anak-anak sudah selesai kerana mereka semua sudah besar panjang. Dengan tubuh yang masih cergas, ekonomi yang kukuh, dan anak-anak pun sudah dewasa, suami isteri bolehlah menghabiskan masa-masa yang selebihnya berdua ataupun pergi honeymoon tanpa gangguan
- HUBUNGAN INTIM YANG LEBIH BERKUALITI – Pastinya tenaga di usia muda lebih kuat berbanding lewat umur. Tahukah anda, menurut kajian perubatan, antara faktor utama kemandulan adalah berkahwin lambat? Kaum hawa juga perlu waspada di mana jika anda berkahwin di usia lingkungan 35 tahun, anda mungkin dinasihatkan untuk tidak mengandung kerana bimbang berlaku komplikasi.
- REZEKI BERTAMBAH – Antara alasan mereka yang mahu melambat-lambatkan perkahwinan ialah kerana kebutuhan kewangan. Makan minum, pakaian, ansuran kereta dan rumah, lampin anak, kirim duit kepada mentua dan macam-macam lagi yang selalu memukul kotak fikiran. Tapi percayalah, Tuhan tidak akan membebankan hambanya melebihi apa yang bisa ditanggung oleh mereka. Berkahwin adalah tuntutan agama, dengan sendirinya rezeki itu akan datang kepada anda walaupun pada mulanya sedikit, tapi kelak anda akan dapat mengatasi kesulitan itu selagi anda percaya dan bepegang kepada rahmat-Nya.
CARA UNTUK BAHAGIA DALAM RUMAHTANGGAN
Namun, kesan-kesan positif perkahwinan cuma akan dinikmati jika ia satu perkahwinan yang membahagiakan. Sesetengah ikatan perkahwinan gagal mencapai matlamat ini. Satu aspek yang ingin ditekankan adalah perkongsian yang berjaya, dalam apa-apa bentuk, termasuk perkahwinan adalah tanggungjawab bersama. Dalam menunaikan tanggungjawab bersama tersebut, persefahaman berkenaan peranan yang perlu dimainkan haruslah ada dan kedua belah pihak harus mengambil sikap lebih memberi berbanding menerima untuk memastikan bukan sahaja kebahagiaan rumahtangga, bahkan kesihatan dan kesejahteraan diri yang baik. Kebahagiaan rumahtangga adalah salah satu tajuk yang sering di ulas dalam pelbagai bentuk dan perspektif.
- Komitmen terhadap pasangan dan keluarga yang tidak berbelah bagi.
- Percaya-mempercayai antara satu sama lain.
- Bantu-membantu dalam menguruskan rumahtangga.
- Memahami kelebihan dan kekurangan diri masing-masing.
- Berinteraksi dan berkongsi.
- Menerima pasangan dengan seadanya merupakan beberapa petua yang sering diutarakan dalam memastikan kebahagiaan rumah tangga dicapai.
FAKTA BERKAHWIN VS BUJANG
Perkahwinan adalah sangat digalakkan dalam konteks agama. Pelbagai bentuk kebaikan boleh diperoleh melalui ikatan perkahwinan terutamanya jika ia satu ikatan perkahwinan yang bahagia. Gesaan dan galakkan agama bagi mereka yang mampu untuk melangsungkan perkahwinan ini jelas dari pelbagai dapatan kajian yang menyokong kesan positif dari ikatan perkahwinan.
- Kajian empirikal terhadap kesan perkahwinan telah dijalankan seawal tahun 1936 mendapati bahawa, pesakit skizofrenia dalam kalangan mereka yang tidak berkahwin adalah lima kali lebih tinggi daripada mereka yang telah berkahwin.
- Kajian-kajian lanjutan dan terkini turut menyokong kepelbagaian kesan positif perkahwinan terhadap individu. Ini termasuk kesihatan fizikal yang lebih baik, lebih berdaya tahan terhadap jangkitan, mempunyai risiko yang lebih rendah terhadap penyakit berbahaya seperti serangan jantung, mempunyai kesihatan emosi yang lebih baik dan risiko yang rendah terhadap gangguan psikologi seperti kemurungan, kebimbangan, dan gangguan psikologi yang lain.
- Kajian yang di terbitkan dalam European Journal of of Preventive Cardiology tersebut mendapati bahawa individu yang belum berkahwin mempunyai risiko serangan jantung yang lebih tinggi tanpa mengira usia dan jantina. Selain itu, penyelidik juga mendapati bahawa mereka yang berkahwin mempunyai peluang kesembuhan atau prognosis yang lebih baik berbanding kumpulan lain selepas serangan.
- Kadar kematian pula didapati 60-168 peratus lebih tinggi dalam kalangan lelaki yang belum berkahwin dan 71-175 peratus lebih tinggi dalam kalangan wanita yang belum berkahwin.
- Selain kesan positif terhadap kesihatan fizikal, corak kesihatan emosi yang lebih baik juga dilihat dari kumpulan mereka yang sudah berkahwin berbanding mereka yang tidak pernah berkahwin dan hidup bersendirian. Perkahwinan didapati menyumbang terhadap kesejahteraan mental yang positif manakala perceraian menyumbang terhadap kemerosotan kesihatan emosi dan meningkatkan risiko gangguan psikologi seperti kemurungan.
Sumber: Utusan / WOW.my